Komitmen Malaysia untuk le­bih terlibat dan terikat dengan UNESCO pada masa depan - malah sebagai ahli yang lebih aktif - menjadi tarikan dan mendapat perhatian delegasi negara-negara lain.

Delegasi Malaysia, diketuai Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berjaya menjalankan misi kali ini.

Sebagai maklumat latar, Malaysia ialah ahli anggota Lembaga Eksekutif UNESCO dan Naib Pengerusi Kumpulan Elektoral (IV) yang mewakili Asia Pasifik.

Mahdzir dengan gaya bersahaja, tetapi dengan nada tegas membentangkan penyata nasional secara jelas, bertertib dan berimpak.

Yang sudah ada ditambah baik, yang tidak berdaya - misalnya kanak-kanak gelandangan Ro­hingya dibantu dan yang berpotensi terus digilap.

Tidak seperti banyak negara lain yang masih mengelamun dengan sentimen survival, isu kemiskinan dan keciciran, Malaysia telah membentang kemajuan, kematangan dan futuristik, malah menawarkan pelbagai formula dan bantuan kepada badan yang menaungi banyak negara-negara di bahagian sfera bumi itu.

Penduduk Malaysia mencecah 36 juta dan kadar celik huruf semakin bertambah. Bilangan lelaki yang celik huruf juga lebih tinggi berbanding perempuan.

Itulah antara statistik yang dapat diambil daripada sebuah dokumen atas talian semasa di Paris baru-baru ini.

Bukan sahaja Malaysia yang mendapat nikmat daripada kerjasama Malaysia UNESCO, malah negara-negara kecil dan negara di kepulauan Pasifik juga mendapat bantuan dari segi pendidikan dan sebagainya.

Sebagai contoh, Malaysia te­lah mencapai tahap pendidikan sepanjang hayat bersendikan pendidikan untuk semua dan berpegang kepada prinsip tiada yang tercicir walaupun dalam hal menyentuh anak-anak gelandangan.

Resipi Malaysia itu terserlah apabila Malaysia berjaya mempromosikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 yang komprehensif sebagai membuktikan Malaysia te­lah berjaya melaksanakan semua yang digariskan oleh UNESCO.

Kali ini, Mahdzir telah me­nyatakan PPPM Gelombang Dua, simbol dinamisme perancangan pendidikan negara.

Penglibatan Malaysia dalam UNESCO bukanlah sembarangan. Beberapa tokoh dan personaliti di Malaysia mempengerusikan beberapa agenda penting di UNESCO - pengerusi, pengarah dan sebagainya.

Pada masa yang sama, Malaysia mahu apa sahaja wacana semasa perhimpunan seperti Persidangan Umum (General Conferences) menjadi perbinca­ngan yang memberi makna dan akhirnya menjadikan UNESCO lebih inklusif dan telus.

Usaha rasmi melobi status Kuala Lumpur Kota Buku Dunia 2020 UNESCO bermula pada persidangan kali ini di Paris.

Usaha melobi akan berlaku dalam dua pusingan, bermula tahun ini dan pada 2019.

Kini, Kota Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dinobat Kota Buku Dunia sehingga 2019. Bangkok adalah rakan serantau yang pernah mendapat status serupa.

Sungguh besar maknanya jika Kuala Lumpur dinobatkan sebagai kota buku dunia.

Buku akan membina kota itu, atau dalam istilah lain, ilmu akan berlegar, isi kandungan akan bertambah, pedagogi berkembang dan berkepelbagaian dan nama ibu kota semakin harum.

Kajian pernah menunjukkan rakyat Malaysia hanya membaca satu halaman buku selama setahun. Itu kajian pada 1997. Selepas ini, kita berharap buku pula tidak cukup untuk dibaca.

Dengan memperkenalkan slogan Read - you are in Sharjah (Baca - anda sekarang berada di Sharjah), program yang dirangka akan merangkumi enam tema: inklusifiti, pembacaan, warisan, outreach, penerbitan dan juga kanak-kanak. Antara aktiviti program tersebut termasuklah persidangan mengenai kebebasan bersuara, peraduan untuk penyair muda dan bengkel penghasilan Braille dan buku sentuh.

Kota tersebut juga akan melancarkan Bandar Penerbitan Sharjah (Sharjah Publishing City), zon yang didedikasikan khas untuk tujuan penerbitan dan percetakan.

Direka khas untuk memenuhi keperluan syarikat penerbitan dan instutusi yang berbeza, kota ini bermatlamat untuk memperkasakan industri buku dengan menggalakkan pengeluaran yang lebih luas dan penyebaran penerbitan dalam Dunia Arab.

Sharjah kota ke-19 yang dinamakan sebagai Kota Buku Dunia mengikuti 18 kota terdahulu iaitu, Madrid (2001), Alexandria (2002), New Delhi (2003), Anvers (2004), Montreal (2005), Turin (2006), Bogota (2007), Amsterdam(2008), Beirut (2009), Ljubljana (2010), Buenos Aires (2011), Erevan (2012), Bangkok (2013), Port Harcourt (2014), Incheon (2015), Wroclaw (2016), Conakry (2017) dan Athens (2018).

Impak gelaran itu daripada UNESCO sangat besar, khusus­nya dalam memajukan pelanco­ngan negara.

Jika kita berjaya melobi untuk gelaran itu, DBP akan menghasilkan banyak buku dengan kan­dungan yang boleh membawa impak kepada masyarakat.

Apabila kita mendapat gelaran itu, kita akan diminta oleh pihak UNESCO untuk melaksanakan promosi buku yang ada kaitan dengan kesusasteraan, kesenian dan kebudayaan.

Usaha memperkasa pendidikan negara turut menjadi fokus di UNESCO kali ini, apabila Malaysia mengadakan mesyuarat bersama Organisasi Untuk Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) berkenaan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2018.

Hal ini penting memandangkan penilaian PISA merupakan sebahagian daripada Petunjuk Pres­­tasi Utama (KPI) Menteri Pendidikan.

Di samping itu, Menteri Pendidikan mengambil kesempatan untuk mengadakan lawatan kerja di Cambridge, dan menghadiri mesyuarat berkenaan Penilaian Cambridge English.

Antara intipati mesyuarat tersebut ialah membincangkan hala tuju kerjasama dengan pusat Pusat Pengajaran Bahasa English (ELTC) di bawah penyeliaan Kementerian Pendidikan.

Sudah tentulah, Mahdzir akan meninjau potensi kerjasama terkini dalam usaha menjayakan PPPM 2015-2025.