Negeri Serambi Mekah ini adalah kubu kuat Pas sejak sebelum merdeka bermula dari pilihan raya umum 1959 sebelum tumbang pada 1978 dengan cara yang agak dramatik. Pas tumbang berpunca daripada masalah dalamannya yang membiak tanpa boleh dibendung lagi.

Pertembungan di antara dua pemimpin Pas, Tan Sri Mohd. Asri Muda dan Datuk Mohamad Nasir tidak dapat di­elakkan sehingga negeri kedua-dua penyokong merusuh dan Kelantan diisytihar darurat. Masalah dalaman juga menyebabkan Pas secara tersendirinya gugur daripada keanggotaan dalam BN pada penghujung 1977. (Rujuk tesis PhD, Kamarul Zaman Yusoff, Pas dalam era kepimpinan Ulama, 1982-2004 dan buku Perjuangan tanpa noktah tulisan Ibrahim Ali untuk perincian krisis Kelantan 1977-1978).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-5 1978, UMNO dengan bantuan Berjasa - parti pimpinan Mohamad Nasir - menerajui Kelantan. Kelantan berubah wajah. Kota Bharu disusun semula. Kawasan setinggan di Buluh Kubu dan tebing sungai Kelantan dibangunkan. Pasar Siti Khadijah dibina. Disusuli dengan Pasar Buluh Kubu yang kini ter­kenal dengan pusat batik dibangunkan. Setinggan diberikan penempatan baharu, flat Buluh Kubu, flat Kampung Sireh dan flat Jalan Bayam dibina. Kawasan yang dulunya hanyir menjadi semakin harum.

Lorong-lorong gelap di Jalan Hamzah juga berubah wajah. Kemajuan itu dibawa oleh BN yang dipimpin oleh Allahyarham Tan Sri Mohamed Yaacob. Malangnya, ­kerancakan untuk membangun hanya seketika. Tiba pula giliran BN berperang sesama sendiri pada 1987.

Natijahnya, BN tumbang kepada gabungan Pas dengan Semangat 46 - parti pimpinan bekas pemimpin UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah. Pengaruh Tengku Razaleigh amat kuat di negeri ini. Seorang anak raja berjiwa rakyat ditambah dengan imej Islamik yang dibawa oleh Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. BN kalah di semua kerusi pada pilihan raya umum 1990. Kekalahan yang memalukan.

Sejak itu, Pas terus berkubu di Kelantan. Tidak dapat ditandingi langsung oleh BN, cuma sekali pada 2004, BN hampir-hampir menang dengan perbezaan dua kerusi Dewan Undangan Negeri. Kini Pas pula berhadapan de­ngan perpecahan. Orang kuat yang menjadi tulang belakang dibuang parti. Beliau yang dikatakan perancang utama Kerajaan Pas Kelantan kini bersama dengan Parti Amanah Negara (PAN). Datuk Husam Musa dibantu oleh bekas Spekear DUN Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang menjadi pengasas PAN di negeri ini.

Justeru, dikatakan akan berlaku pertembungan tiga penjuru di negeri ini di antara BN, Pas dan Pakatan Harapan yang dianggotai PAN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PKR dan DAP yang telah membuka cawangan di Kota Bharu. Dikhabarkan lagi, orang BN khususnya UMNO sudah gembira dengan perkembangan terbaharu itu. Mereka mengandaikan peluang lebih cerah untuk menang kerana undi Pas sudah berpecah kepada PAN.

Soalnya apakah orang UMNO ini sudah bersatu? Apakah mereka akan akur dengan calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan parti? Apakah akan ada lagi frasa ‘maruah ambo’ jika tidak terpilih sebagai calon. Atau mungkin orang UMNO juga lupa bahawa Pas, PAN, PPBM dan DAP mempunyai satu matlamat iaitu menjatuhkan BN. Matlamat yang mungkin akan menyatukan kesemua parti-parti itu seperti pilihan raya umum sebelum ini.

Politik adalah seni serba kemungkinan. Setiap ruang ada peluang. Cuma jangan terikut lagak ayam jantan, kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi. BN hampir pasti akan berhadapan dengan saingan dua penjuru. Tetapi dalam masa sama tidak boleh ditolak kemungkinan wujud satu lagi proksi baharu yang dianggotai oleh golongan NGO mewujudkan blok bebas.

Persaingan di antara BN, Pas dan Pakatan Harapan agak sengit. Kesemuanya mempunyai peluang. Namun persoalan yang paling besar apakah ‘Kelantan milik BN’ akan menjadi realiti? Masih ramai yang tersenyum sinis.