Ia bermula dengan Ketua Staf White House, Reince Prebius meletak jawatan pada Khamis minggu lalu dengan Trump menerimanya. Ini diikuti dengan pelantikan Setiausaha Keselamatan Tanah Air, John Kelly menggantikan Priebius. Kelly terus meminta Pengarah Komunikasi White House, Anthony Scaramucci meletak jawatan dan beliau akur.

Apa yang berlaku ialah Trump tidak berpuas hati dengan perjalanan White House sejak beliau menjadi Presiden. Tetapi banyak kalangan di Amerika melihat kelam kabut di White House adalah kerana kepimpinan Trump itu sendiri. Begitu juga dengan dunia, negara-negara asing pun melihat Washington tidak mengikut perjalanan diplomatik dan dasar luar AS yang biasa selama ini.

Apabila melihat orang yang dilantik Trump, mereka kelihatan berkelayakan dan berkemampuan tetapi kemudian didapati tidak dapat mengikut rentak presiden, yang tidak seperti pemimpin biasa.

Walaupun Trump mempunyai kuasa yang besar sebagai Presiden tetapi pelaksanaan arahannya memerlukan kecekapan jentera White House. Itulah yang membuatkan Trump tidak senang dengan perjalanan White House. Sungguhpun begitu, beliau menyatakan penghargaan kepada Priebius apabila Ketua Staf White House itu meletak jawatan.

White House bukan saja kediaman dan pejabat Presiden AS. Ia juga merujuk kepada jentera eksekutif pentadbiran kerajaan negara itu, bermakna ia merupakan pelaksana kekuasaan Presiden. White House terdiri darpada West Wing dan East Wing. West Wing atau sayap barat adalah pejabat pentadbiran Presiden sementara East Wing atau sayap timur adalah kediaman Presiden dan keluarganya. Kuasa jentera pentadbiran itu terletak pada Ketua Staf White House yang menggerakkan petugas di situ bagi pelaksanaan kehendak Presiden melalui kementerian-kementerian yang di AS disebut sebagai jabatan. Menterinya pula dipanggil setiausaha selaras dengan sifat republik negara itu.

Priebius dilantik enam bulan lalu oleh Trump ekoran pelantikannya sebagai Presiden. Beliau adalah bekas Ketua Jawatankuasa Kebangsaan Parti Republikan. Sejak enam bulan lalu Trump mengalami pelbagai cabaran dasar baik dari luar negara atau dalam. Tetapi cabaran yang merupakan perkara biasa bagi mereka yang bekerja dengan Presiden menjadi luar biasa kerana Trump adalah Presiden yang luar biasa.

Sentimen

Sikap luar biasa Trump, antaranya kerana beliau bukan ahli politik telah membolehkannya menang Pilihan Raya Presiden, di luar jangkaan kebanyakan orang. Apa yang dikatakan sebagai sikap luar biasa itu termasuklah cara beliau memimpin bukan seperti kebiasaan seorang Presiden AS, baik dari Parti Republikan, mahupun Demokrat. Beliau mengikut sentimen sendiri tanpa akur dengan cadangan para penasihatnya.

Ditambah pula beliau tidak teliti mengikut laporan yang disediakan oleh para pegawainya. Lebih-lebih lagi beliau tidak cukup pengetahuan mengenai politik dan geopolitik, suatu perkara yang amat penting bagi seorang ketua kerajaan kuasa besar utama dunia.

Maka tidak hairanlah beliau banyak melakukan atau mengatakan sesuatu yang memalukan dalam kata-kata dan perbuatan dalam acara serta majlis di dalam dan luar negara. Keadaan ini mengakibatkan berlaku gangguan hubungan AS dengan negara-negara luar yang penting seperti Rusia, Kesatuan Eropah dan China.

Dalam menghadapi perwatakan Trump yang tidak menentu ini, timbul pula kumpulan-kumpulan dalam kalangan para pegawai tinggi White House yang mempunyai pandangan berbeza serta bersaing bagi memperoleh pengaruh daripada Trump.

Perbalahan dan kekeliruan dalam White House ini membawa kepada khabar-khabar angin mengenai kemungkinan Priebus dipecat. Terdapat usaha dalam kalangan sekutu politik Trump yang melobi supaya ketua staf White House itu dipecat. Serangan terhadapnya mencapai kemuncak apabila Pengarah Komunikasi White House, Scaramucci secara terang-terangan dengan kata-kata kesat membidas Priebus.

Perbuatannya itu memalukan White House. Kedudukan seorang pengarah komunikasi adalah di bawah ketua staf. Lebih memalukan ialah beliau baru dilantik oleh Trump, tidak sampai seminggu. Maknanya serangan Scaramucci yang dipanggil oleh pihak wartawan sebagai The Mooch dengan nada memperkecilkannya telah memperlihatkan pentadbiran White House sebagai berpecah dan kelam kabut.

Tetapi perkembangan itu berkait juga dengan Trump. Beliau melantik Scaramucci walaupun dibantah oleh Priebus. Tetapi bukan saja Prebius membantah. Dengan pelantikan Scaramucci, Setiausaha Akhbar Presiden, Sean Spicer yang telah berkhidmat selama enam bulan telah meletak jawatan kerana pelantikan Scaramucci itu. Ada satu ketika Spicer memegang jawatan kedua-dua jawatan Pengarah Komunikasi dan Setiausaha Akhbar.

Selama enam bulan, beliau bertungkus lumus mempertahankan tindakan Presiden yang sering menjadi kontroversi dan kecaman daripada pihak media. Sungguhpun Trump menyatakan penghargaan kepada Spicer tetapi jelas beliau tidak berpuas hati dengan prestasi Setiausaha Akhbarnya itu apabila Scaramucci dilantik sebagai Pengarah Komunikasi. Scaramucci kemudian melantik Timbalan Setiausaha Akhbar Utama White House, Sarah Huckabee Sanders bagi menggantikan Spicer.

Disiplin

Tetapi Scaramucci sendiri hanya bertahan selama 10 hari apabila tindakan pertama Kelly apabila dilantik Ketua Staf White House adalah memecat beliau. Tindakan Kelly yang berpangkat Jeneral itu adalah untuk mewujudkan disiplin dengan semua petugas White House berada di bawahnya seperti sepatutnya. Ini kerana pada masa Priebus, suasana tidak disiplin berlaku kerana pegawai-pegawai White House boleh terus masuk ke Oval Office iaitu pejabat presiden bagi mendapat sokongan presiden.

Inilah antara sebab yang menimbulkan kumpulan kumpulan bertentangan dalam White House. Sama ada Kelly dapat mendisiplinkan stafnya kelak bergantung pula dengan perwatakan Trump itu sendiri.

Ada yang berpendapat bahawa tidak ada sesiapa yang boleh mengawal Trump. Mungkin itu yang akan menjadi cabaran pada Kelly. Beliau juga tidak akan dapat mengawal Trump. Tetapi sekurang-kurangnya Kelly dapat mengawal staf White House supaya dasar, visi dan aspirasi Presiden dipenuhi. Bukan sahaja AS tetapi dunia juga memerlukan ketenangan, kelicinan dan kejelasan White House dan presidennya.

Lebih-lebih lagi dalam seminggu lalu, dunia menghadapi cabaran dari Korea Utara. Cabaran Pyongyang itu adalah ditujukan kepada Washington. Walaupun ia merupakan perbalahan antara AS dan Korea Utara tetapi jika ia menjadi satu pertempuran senjata, yang turut terlibat bukan saja kedua-dua negara itu tetapi juga Korea Selatan dan Jepun.

Ia juga pasti mengheret China dan Rusia. Lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan senjata nuklear. Dunia mengharapkan Trump, White House, West Wing dan Kelly menjalankan peranan yang menjadi bebanan kepada AS sebagai kuasa besar utama.