Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Kekuatan politik tunjang kecekapan pemerintahan

PARTI politik yang baik adalah yang banyak memberi sumbangan kepada
PARTI politik yang baik adalah yang banyak memberi sumbangan kepada rakyat dan negara selain tidak menyusahkan kehidupan mereka. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (tengah) dalam satu program bantuan kepada petani di Pendang, Kedah, 26 Oktober tahun lalu.

PERCATURAN politik sesama umat Islam semakin hari kian menunjukkan sikap tidak matang dalam mengendalikan sesuatu masalah atau isu. Sesebuah kerajaan yang kuat tidak akan gentar menghadapi pelbagai tohmahan dan tuduhan daripada pihak pembangkang dan seumpamanya. Perjuangan politik perlu dilihat dalam aspek kebajikan dan pembangunan negara yang boleh memberi faedah dan kebaikan kepada rakyat.

Keikhlasan dalam melaksanakan tugas rakyat dan negara adalah senjata utama yang boleh memperkukuhkan kedudukan pemimpin dan parti politik yang diterajui. Setiap pemimpin dan parti politik yang memerintah mempunyai sejarah baik dan buruk ketika memimpin negara. Perkara berkaitan politik sentiasa berubah berdasarkan kepada konteks dan realiti yang wujud ketika itu.

Peristiwa baik dan buruk yang berlaku pada masa lalu mempunyai sebab dan musabab yang perlu dikaji sebelum melaungkan suara untuk menegakkan sesuatu yang sukar untuk dikendalikan ketika ini. Ia adalah satu sejarah yang perlu dijadikan sebagai panduan untuk memerintah, bukan dijadikan sebagai umpan untuk meraih undi ketika pilihan raya.

Dalam suasana masyarakat terdedah dalam era globalisasi yang tidak menghiraukan identiti keagamaan dan bangsa, perkara berkaitan sensitiviti agama kurang mendapat perhatian masyarakat. Perkara yang sudah berlaku berpuluh tahun lamanya usah dibahaskan dan dikemukakan demi menunjukkan keburukan dalam sistem pemerintahan ketika itu. Tidak ada satu parti politik pun sama ada berlabelkan Islam atau seumpamanya tidak melakukan kesilapan dalam menerajui parti politik.

Setiap parti politik sentiasa berubah berdasarkan kepada arus dan nada para pemimpin mereka. Dalam tahun 1980-an, semangat kebangkitan Islam bergema di masjid dan surau meminta umat Islam supaya kembali kepada Islam sehingga berlaku peristiwa takfir (menghukum orang Islam yang tidak menyokong parti politik mereka sebagai kafir). Ketika itu saudara-mara berpecah lantaran perbezaan parti politik sehingga sembelihan binatang yang dilakukan oleh orang yang bukan dari ahli politik mereka tidak sah untuk dimakan.

Peristiwa pemisahan umat Islam berdasarkan kepada perbezaan parti politik adalah sejarah yang paling buruk perlu dijadikan teladan oleh umat Islam masa kini. Hukum hakam akidah dipersendakan demi kepen­tingan politik sehingga perkara yang menjadi hak Allah untuk ­menghukum keimanan seseorang Islam itu telah diambil alih oleh pemimpin parti politik tersebut.

Umat Islam berpecah dan bermusuhan sesama sendiri akibat kerakusan terhadap kuasa sehingga sanggup mengambil alih hak Allah terhadap hambanya. Hanya Allah sahaja yang layak menilai dan menghukum keimanan umat Islam. Hak Allah ini diambil oleh pemimpin politik yang ekstrem bagi menilai dan menghukum umat Islam berdasarkan kepada ideologi parti politik yang sempit dan fanatik.

Tambahan pula jika idea-idea politik yang dikeluarkan itu bertentangan dengan konteks dan realiti kehidupan masyarakat masa ini.

Corak pemikiran masyarakat Islam masa ini amat berbeza. Mereka kurang berminat untuk mengekalkan sesuatu institusi atau parti politik yang tidak boleh memberi sumbangan kepada keperluan asas dalam kehidupan. Bagi mereka, parti politik yang baik adalah yang banyak memberi sumbangan kepada rakyat dan negara selain tidak menyusahkan kehidupan mereka.

Setiap parti politik mempunyai peranan dan agenda ­ma­sing-masing yang mana difahami rakyat. Kekuatan mereka bergantung kepada kebijaksanaan menyakini rakyat bahawa mereka mampu untuk meneguhkan politik, ekonomi dan sosial melalui kegiatan dan perlaksanaan dasar atau objektif perjuangan mereka. Sebagai parti kerajaan, usaha untuk membangunkan negara dan kegigihan menyelami permasalahan rakyat sepatutnya dijadikan agenda utama.

Pidato yang berkobar-kobar tanpa menepati realiti dan konteks masa ini bukan sahaja boleh menunjukkan kelemahan pemidato dalam membahaskan isu negara malah juga boleh menjadikan rakyat hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap individu tersebut. Tahap pendidikan masyarakat juga menentukan corak pemikiran dan penilai­an mereka terhadap kebolehan pemimpin. Kemajuan teknologi komunikasi membantu mereka mendapat sebarang maklumat yang dikehendaki merentasi sempadan geografi. Oleh itu, usah terlalu emosi ketika berpidato kerana masyarakat masa ini tidak suka melihat pemimpin politik seperti ‘berkokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi’.

Rakyat lebih gemar melihat pemimpin yang kurang berpidato tetapi menumpukan perhatian kepada pembangunan negara dan sibuk menyediakan pelbagai kemudahan asas kepada mereka. Dalam era yang mana masyarakat Islam mudah mendapat maklumat mengenai ilmu Islam ­merentasi sempadan melalui media masa elektronik, maka pemimpin parti politik yang memperjuangkan parti Islam usah menggunakan isu atau sensitiviti agama untuk mendapatkan sokongan umat Islam. Usaha untuk membangkitkan sensitiviti agama bagi meraih undi sukar untuk memenangi hati masyarakat Islam jika keadaan kehidupan mereka sekadar untuk mengisi perut yang lapar.

Tugas utama pemimpin adalah mengisi perut rakyat dan menyediakan kemudahan asas seperti mana sabda Rasulullah SAW:

“Seorang pemimpin itu adalah pemelihara dan ia akan diminta bertanggungjawab terhadap pe­meliharaannya (rakyatnya)’’.

Berdasarkan kepada penjelasan tersebut maka setiap pemimpin parti politik perlu bermuhasabah sejauh manakah mereka telah menepati tugas sebagai pemelihara rakyat ­seperti mana dituntut oleh Allah SWT dan Rasul.

PROFESOR MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain