Menurut Center on Media, Politics and Public Policy yang berpusat di Harvard Kennedy School, USA, berita palsu boleh digolongkan dalam tujuh kategori seperti (1) satira atau sindiran (satire or parody), (2) maklumat yang mengelirukan (misleading content), (3) menyamar (imposter content), (4) pemalsuan atau reka (fabricated content), (5) mengaitkan dengan perkara yang tidak berkaitan (false connection) dan kandungan tidak betul (false context), serta (7) manipulasi atau licik (manipulated content).

Namun, berita palsu di Malaysia lebih menjurus kepada penyebaran fitnah, pembohongan dan dakwaan tidak berasas yang disebar luas kepada kepentingan politik. Sekiranya menyusur galur asal usul berita palsu di negara ini, pasti peristiwa Demonstrasi Baling 1974 akan terlintas dalam pemikiran rakyat Malaysia.

Menurut catatan, pada 1 Disember 1974, hampir 30,000 orang penduduk sekitar Baling, Kedah berkumpul di hadapan Pejabat Daerah Baling untuk tunjuk perasaan ke­rana terhasut berita palsu kononnya beberapa orang penduduk kampung di Baling mati akibat makan ubi gadung, kesan harga getah jatuh.

Sebenarnya, tidak ada kes kematian kerana makan ubi gadung seperti didakwa pihak yang menyebar berita palsu. Malahan ubi gadung kini menjadi industri tempatan penduduk Baling.

Dalam pada itu, rakyat Malaysia masih ingat lagi bagaimana seorang pemimpin parti politik utama di Malaysia mengaku mencipta gambar palsu yang mengaitkan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan seorang wanita Mongolia dalam laman blog miliknya untuk mencemarkan imej Najib yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri.

Baru-baru ini, Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Pengerusi Pakatan Harapan menyeru rakyat Malaysia mengadakan demonstrasi jalanan sekiranya Najib mengisytiharkan darurat untuk tidak mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Sedangkan Najib sudah menyeru rakyat bersedia keluar mengundi bagi memilih kerajaan mengikut pilihan mereka dalam PRU-14.

Menurut pakar perundangan dan perlembagaan Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi, Najib tidak boleh mengisytihar darurat dan hanya Yang di-Pertuan Agong berkuasa berbuat demikian. Dengan itu, apakah kenyataan Dr. Mahathir mengelirukan rakyat?

Meskipun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sudah dilengkapi dengan undang-undang untuk mengawal kandungan media (The Communications and Multimedia Act 1998), masih terdapat fake news berlegar dalam media sosial secara amnya dan di WhatsApp secara khususnya.

Misalnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Skmm) mendapati hampir 84 peratus fake news adalah disebar melalui saluran WhatsApp, Facebook (lapan peratus) dan blog (empat peratus). Malah pihak SKMM dilaporkan menyekat hampir 1,861 laman sesawang portal di Malaysia kerana didapati melanggar undang-undang tersebut.

Meskipun, gejala berita palsu umumnya dikaitkan de­ngan individu-individu yang menghadapi masalah psikologi, ada berpendapat bahawa pihak yang berkepen­tingan politik didapati lebih terlibat dalam gejala berita palsu.

Baru-baru ini, World Association of Newspapers and News Publishers (Wan-Ifra) yang bersidang di Singapura dengan tema Keep it Real: Truth and Trust in the Media te­lah menyarankan agar setiap negara menggubal undang-undang untuk mencegah dan membendung gejala fake news. SKMM pula mewujudkan laman portal sebenarnya.my bagi membolehkan rakyat menyemak kesahihan be­rita yang ditular dalam media sosial.

Sehubungan itu, rakyat perlu bukan sahaja mengenali pihak-pihak yang menyebar fake news untuk mencapai agenda politik masing-masing, malah bersatu bertekad menolak kumpulan dan parti-parti politik yang terlibat dalam mengeluar dan menyebarkan berita palsu.

DATUK M. PERIASAMY ialah penganalisis politik yang juga Pensyarah Komunikasi Strategik, Kementerian Komunikasi dan Multimedia.