Ia sekali gus memberi tanggapan istilah `monopoli’ itu sebagai sesuatu yang taboo dan jelik. Namun, dunia perniagaan juga mengerti dalam sesetengah bidang atau perniagaan, wujud keperluan ‘monopoli’ jika kewujudannya mampu mengenepikan isu orang tengah dan seterusnya mengawal harga produk yang mampu dibeli rakyat.

Malah, dalam sistem kerajaan negara terdapat Suruhanjaya Persaingan Malaysia atau MyCC, sistem monopoli totok tidak mungkin dibiarkan berleluasa. Sekurang-kurangnya wujud pemantauan jitu pihak berkuasa dalam konteks ini.

Jadi, berkaitan hal Tradewinds Plantation ini, apakah salah untuk sebuah entiti swasta mengemukakan cadangan seumpama­nya, khusus bagi mengawal selia pengimportan dan penjualan bi­jirin, sekali gus mengurangkan kawalan asing ke atas rantaian bekalan makanan negara?

Tradewinds Plantantion dalam kertas cadangannya itu berhasrat untuk membina terminal bijirin berpusat bernilai AS$68 juta de­ngan kapasiti 500,000 tan. Terminal itu akan mengurangkan aliran keluar mata wang bernilai RM1.1 bilion, mengurangkan harga pengguna selain menambah baik jaminan makanan negara.

Pada masa ini, negara membayar kira-kira RM42 bilion untuk mengimport makanan setiap tahun dan terdapat lapan terminal bijirin termasuk di Pulau Pinang, Perak, Johor, Sabah dan Sarawak dengan gabungan kapasiti pe­nyimpanan 438,000 tan.

Namun, lima daripada pe­ngendali simpanan bijirin terbesar di negara ini ketika ini adalah 95 peratus dikuasai firma asing, atau 13 daripada 14 gedung dimiliki pelabur asing.

Fakta di atas inilah yang sewajarnya diberi penekanan. Ma­­langnya, sesetengah pihak me­milih untuk mempolitikkan ca­dangan yang pada dasarnya, adalah untuk memastikan rantaian bekalan bijirin tidak lagi dikuasai pihak asing.

#PERSOALAN

Persoalannya ialah bila wujud tawaran untuk meleraikan rantaian bekalan makanan dari ta­ngan asing oleh syarikat Malaysia sendiri, apakah ini menjadi isu? Mengapa begitu mudah melabel ‘monopoli’ tanpa menganalisis sudut positifnya?

Persoalan kedua yang harus ditanya ialah mengapakah sekian lama negara ini tidak memiliki sistem simpanan negara untuk bijirin sama seperti beras? Apakah ada pihak beranggapan gandum bukan makanan ruji orang Malaysia? Mungkin ada yang hairan dan mempersoalkan sejak bila pula orang Malaysia makan gandum seperti orang Barat?

Kita beri kursus kilat di sini: gandum merupakan komponen yang diguna untuk memproses tepung. Tepung adalah bahan utama dalam roti canai, mi dan roti iaitu makanan kegemaran anda sekalian!

Begitu tinggi yang dimaksudkan juga bukan perkataan bombastik tetapi realiti. Pengimportan gandum pada tahun 2016 adalah pada tahap 1.7 juta tan metrik (MT) berbanding beras iaitu pada 1.15 juta tan metrik. Bijirin diimport dari luar negara 100 peratus. Di sini jelas bahawa pengimportan gandum lebih ba­nyak daripada beras.

Apakah gagasan ‘pengimport pusat’? Ia bermatlamat un­tuk mengawal bekalan komoditi ter­sebut dan memastikan ‘ke­selamatan bekalan makanan’. Ia juga berperanan memastikan wujud mekanisme kawalan harga diwujudkan.

Ia juga memastikan proses perdagangan bijirin lebih lancar dan mengekang elemen kawalan kartel, sekali gus menurunkan harga bijirin. Negara jiran iaitu Singapura, Thailand dan Indonesia telah mengamalkan konsep pengimport pusat atau tunggal dan telah terbukti lebih cekap berbanding pelbagai pengimport.

#KARTEL

Kebergantungan sepenuhnya kepada situasi di mana pengimportan bijirin gandum dipegang oleh beberapa syarikat terhad, berkemungkinan mewujudkan se­­­nario kartel. Senario ini mengehadkan persaingan serta menjurus kepada situasi di mana harga dan bekalan komoditi dapat dimanipulasi dan dikawal oleh syarikat-syarikat terhad.

Memandangkan situasi sekarang, apakah akan berlaku sekiranya bekalan bijirin gandum ini terganggu atau terputus disebabkan apa-apa kejadian seperti bencana alam di negara-negara pengeksport atau tindakan tertentu yang diambil oleh syarikat-syarikat peng­import yang terhad ini.

Senario ini bakal menggugat bekalan gandum negara serta bakal memberi impak kenaikan harga. Seharusnya, negara ini memper­kenalkan langkah penyimpanan stok bijirin gandum bagi menjamin bekalan yang mencukupi bagi tahun-tahun akan datang.

Namun, langkah penyimpanan stok ini hanya akan berjaya sekira­nya pengimportan gandum dikendalikan oleh pihak yang menguta­makan kepentingan pengguna serta situasi keselamatan makanan negara tanpa terlibat dalam aktiviti perniagaan berunsur kartel. Persoalannya, wajarkah kawalan pengimportan gandum dialihkan dari tangan syarikat-syarikat terhad, kepada suatu entiti berpusat yang juga berperanan mewujudkan pe­nyimpanan stok bagi bijirin gandum.

Menurut Majlis Rangkaian Ke­satuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-Malaysia Labour Centre) atau UNI-MLC, dari penyelidikan berterusan yang dijalankan pihaknya, boleh disimpulkan bahawa bijirin gandum ini dikawal secara pukal oleh beberapa syarikat terhad. Kilang memproses gandum kepada tepung juga terletak pada tangan syarikat yang sama atau yang berkaitan.

Difahamkan juga bahawa de­ngan terminal bijirin berpusat, Tradewinds Plantation mengemukakan cadangan untuk membentuk kerjasama atau usaha sama dengan beberapa negara pengeksport bijirin bagi menjamin bekalan serta kos lebih rendah. Syarikat itu juga menjanjikan 90 hari ruang inventori jaminan makanan dan 35 peratus pengurangan kos rantaian bekalan.

Sewajarnya kertas cadangan Tradewinds Plantantion ini diteliti secara mendalam terlebih dahulu, bukan dilabel sebagai cadangan monopoli semata-mata. Ada monopoli sebenar yang patut diberi perhatian. Cuma dalam aspek bijirin ini, mewujudkan pengimport pusat boleh memastikan wujud­nya ketelusan. Perspektif lebih luas diperlukan dalam membuat keputusan dalam bidang yang ada kena mengena terus dengan ke­sejahteraan rakyat.

Malah, soalan lagi penting ialah bagaimana kedudukan kerajaan pada masa ini dari segi bajet dan kepakaran? Tentunya perkongsian bijak kerajaan dengan swasta wajar dipertimbangkan, yang turut menjamin aspek pengimportan dan penetapan harga kekal dalam tangan kerajaan.