Apakah ini kerana kita sebagai satu bangsa bersifat begini? Bercakap dengan orang yang berbangsa Melayu, ramai menyatakan bahawa bangsa Melayu memang mempunyai sifat PHD (penyakit hasad dengki) yang amat tinggi. Siapa yang tidak tahu apa itu PHD? Tersangat ramai yang memahami maksud PHD ini. Maka itu besarlah kemungkinannya bahawa bangsa kita ini memang mempunyai sifat PHD.

Pada 2017 kita dapati seramai tiga orang berbangsa Melayu daripada enam orang telah memenangi Anugerah Merdeka. Apakah ini tidak mencerminkan pencapaian gemilang bangsa Melayu?

Mereka ialah Datuk Dr. Abdul Halim Ismail dalam bidang pendidikan dan komuniti, Datuk Seri Tengku Zainal Adlin Tengku Mahamood (alam sekitar), dan Profesor Ir. Dr. Masjuki Hassan dalam sumbangan ilmu baharu melalui penerbitan bidang kejuruteraan.

Masjuki dari Universiti Malaya adalah bekas Pengerusi Majlis Profesor Negara Chapter Universiti Malaya; Presiden Pengasas Malaysian Tribology Society dan Naib Presiden International Tribology Council, UK; berkolaborasi dengan organisasi penyelidikan seperti United State Agency for International Aid Agency, ASEAN-Australian Energy Efficiency and Conservation Program, ASIAN Development Bank, Japanese Society for the Promotion of Science and AUN-Seed Net Program and Universities; dan pengulas artikel terbitan jurnal terkemuka.

Kelayakan akademik dan profesional Masjuki adalah seperti berikut: B. Sc.(Hons.), M. Sc. dan Ph.D. dari Universiti Leeds, CEng (UK), MSAE (USA), PEng/Ir (Malaysia) and FIMechE (UK).
Saya lihat Masjuki ini mempunyai sebanyak 2,500 rujukan ke atas penerbitan-penerbitannya oleh pakar-pakar dalam ­bidangnya dari seluruh dunia mengikut Thomson Reuter. Beliau berusia antara 64 hingga 65 tahun pada waktu ini.

Pada pendapat saya sekiranya universiti-universiti di Malaysia inginkan kedudukan taraf (ranking) yang menyerlah, maka universiti hendaklah mengekalkan perkhidmatan profesor yang cemerlang tanpa mengira usia.

Ini bermakna selagi profesor itu sihat walafiat dan berprestasi tinggi dalam bidang akademik, maka ia baiklah dikekalkan dalam perkhidmatan. Pekerjaan seseorang profesor bergantung kepada kecerdasan otaknya dan bukan sama sekali kepada kekuatan fizikal seperti mana yang dikehendaki daripada pekerja buruh. Di negara-negara Barat yang maju, seorang profesor dinilai di atas kewibawaan ilmunya dan bukan usianya.

Berbalik kepada Masjuki, pada 2006, sewaktu beliau masih menjadi pensyarah yang muda usia, jumlah rujukan mengikut Thomson Reuter kepada penerbitannya adalah lebih kurang 100 sahaja, berbanding setelah beliau menjadi sangat matang pada usia 64 hingga 65 tahun.

Ini bermakna bahawa pengalaman dan usia seseorang profesor mampu menaikkan kewibawaan seseorang profesor, kalau aktif dan kreatif. Ini sekali gus boleh menaikkan nama atau ran­king universiti yang mana beliau berkhidmat.

Oleh kerana kerja-kerja penyelidikan awal seseorang profesor itu akan terus dirujuk beberapa tahun kemudiannya, maka universiti akan terus mendapat manfaat melalui peningkatan rankinguniversiti, walaupun seseorang profesor itu telah bersara.

Saya sarankan supaya Kementerian Pengajian Tinggi mengkaji tahap kekuatan setiap fakulti dalam setiap universiti dari segi kewibawaan kakitangan akademik, terutama sekali setiap Fakulti Pergigian yang ada di universiti awam.

Kenaikan pangkat di dalam sesebuah universiti tidak harus diasaskan hanya kepada kekuatan penyelidikan dan penerbitan sahaja. Sumbangan selainnya se­perti pengajaran, pentadbiran dan sumbangan kepada masyarakat hendaklah dikira sebaik-baiknya.

Benarlah sesetengah universiti meletakkan pemberatan kepada setiap sumbangan yang dinyatakan di atas. Tetapi janganlah kalau satu sumbangan itu terendah markahnya daripada yang dimahukan, tetapi pada keseluruhan markahnya adalah tinggi, maka kakitangan yang seperti ini dinafikan daripada kenaikan pangkat. Begitulah juga halnya di dalam perkiraan untuk menga­nugerahkan seorang profesor yang telah bersara menjadi profesor emeritus.

Seperkara lagi, kriteria bagi setiap disiplin atau fakulti tidak boleh disamaratakan dalam pertimbangan kenaikan pangkat ke­rana setiap bidang tidaklah sama. Untuk menghasilkan sesuatu penerbitan di dalam sesetengah bidang tidaklah semudah berbanding bidang lain. Umpamanya untuk menghasilkan penerbitan dalam bidang Matematik amatlah sukar. Kakitangan akademik mengetahui dan faham hal ini.

Sewaktu saya berjawatan profesor dan dianugerahkan gelaran Datuk dulu, saya memakai nama ‘Datuk Profesor Hashim Yaacob’. Ramai bertanya mengapa tidak ‘Profesor Datuk Hashim Yaacob’, seperti mana yang selalu digunakan oleh orang lain.

Saya berpendapat bahawa yang saya pakai itu adalah betul. Gelaran yang dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Sultan hendaklah didahulukan daripada gelaran yang diberikan oleh Lembaga Pengarah Universiti.

Itu sebabnya pada zaman dahulu orang menyebut ‘Dato Bendahara’ atau ‘Dato Laksamana’ dan bukannya ‘Bendahara Dato’ atau ‘Laksamana Dato’. Saya ingin me­ngukuhkan pendapat saya ini de­ngan merujuk kepada Surat Pekeliling Am Kerajaan Bilangan 4 Tahun 2014 yang menyatakan pemakaian anugerah seperti berikut:

Yang Berbahagia Tan Sri Profesor Dr. diikuti dengan nama.
Yang Berbahagia Datuk Profesor Madya diikuti dengan nama.

DATUK PROFESOR EMERITUS DR. HASHIM YAACOB ialah bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM).