Katanya, selain mengekalkan 22 kerusi Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) sedia ada, berkemungkinan besar ada tambahan kerusi sekurang-kurangnya dua khususnya di kawasan-kawasan tradisi BN yang sebelum ini telah dirampas oleh pihak pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Angka ini juga menjadi sasaran ideal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau mengadakan lawatan kerja ke Negeri Sembilan 26 Februari lalu.

Itu secara teori namun dari segi hakikatnya banyak tugas dan kerja perlu dibereskan jika BN mahu kekal memerintah di Negeri Sembilan. Ini bukan tugas mudah, le­bih-lebih lagi dalam konteks PRU-14 yang menuntut setiap jentera BN sama ada daripada UMNO mahu pun parti-parti komponen lain berusaha lebih keras berban­ding beberapa siri PRU sebelum ini.

Hakikat ini tidak boleh disangkal dan inilah situasi yang terpaksa dihadapi oleh BN. Cuba kita imbas kembali ucapan dasar Najib yang juga Presiden UMNO ketika me­rasmikan Perhimpunan Agung parti itu pada 7 Disember tahun lalu. Dalam ucapan tersebut beliau me­nyifatkan PRU-14 sebagai ‘bapa segala pilihan raya’.

Kepada Najib, PRU-14 adalah penentu nasib negara dan paling penting PRU-14 adalah penentu untung nasib orang Melayu. Inilah mesej yang ingin disampaikan oleh Perdana Menteri tentang PRU-14. Lihatlah betapa pen­ting dan kritikalnya PRU-14. Sememangnya PRU-14 adalah satu perkara besar dan Negeri Sembilan tidak terkecuali.

Berbalik kepada usaha untuk merampas semula beberapa kerusi daripada pihak pembangkang, sebanyak 22 kerusi yang dimenangi oleh BN dalam PRU-13 sebelum ini perlu dipastikan benar-benar selamat. Ingat, daripada 22 kerusi itu terdapat tiga kerusi yang majoriti kemenangannya sangat tipis.

Tiga kerusi itu ialah N14-Ampangan (89 undi), N18-Pilah (113 undi) dan N04-Klawang (282 undi). Mahu tidak mahu sesuatu perlu dilakukan pada PRU-14 kali ini dalam usaha memastikan majoriti kemenangan BN di ketiga-tiga kerusi DUN itu dapat ditingkatkan sekurang-kurangnya lebih 1,500 undi. Sungguhpun begitu, penulis yakin angka itu boleh dicapai asalkan semua jentera BN bekerja keras, ikhlas dan paling penting tiada unsur-unsur sabotaj.

Untuk rekod, jumlah keseluruhan kerusi DUN di Negeri Sembilan adalah sebanyak 36, yakni 22 kerusi dimenangi oleh BN, manakala 14 kerusi lagi dimenangi oleh pembangkang. Bagi memperoleh kemenangan dua pertiga majoriti, BN perlu menang sekurang-kurangnya 28 kerusi.

Seperkara lagi ialah tentang pemilihan calon. Ini juga satu isu yang sering diperdebatkan. Oleh itu pemilihan calon terutama di 22 DUN yang dimenangi oleh BN hendaklah tepat dan paling penting pucuk pimpinan sewajarnya memilih calon-calon yang disenangi dan dikenali penduduk setempat.

Bukannya apa, tujuannya adalah untuk memastikan 22 DUN ini tidak terlepas ke tangan pembangkang. Justeru, amatlah diharapkan pemilihan calon turut mengambil kira pandangan serta kehendak penduduk setempat.

Jangan ketepikan pandangan mereka. Pendapat penduduk akar umbi amat penting. Sebab mereka ini yang akhirnya akan mengundi. Dengan izin Allah SWT di ta­ngan mereka terletaknya kuasa untuk memilih wakil rak­yat sama ada daripada BN atau pembangkang.

Bimbang nanti sekiranya calon yang mereka suka tidak terpilih, BN pula menjadi mangsa. Terdapat dua kemungkinan sama ada mereka tidak keluar mengundi atau mereka memilih calon pembangkang. Itu sahaja. Jika ini berlaku petaka mungkin akan menimpa BN di kawasan berkenaan.

Tiada salahnya pucuk pimpinan sama ada negeri mahupun Pusat mengambil pandangan penduduk akar umbi kerana tujuannya untuk menampilkan calon terbaik, calon boleh menang, calon yang dekat di hati rakyat dan calon yang bersih.

Apabila seorang calon itu tidak disukai oleh penduduk setempat, sudah tentu ada sebabnya. Mungkin calon ber­kenaan pernah terbabit dengan skandal atau tidak mesra rakyat atau sombong atau apa-apa sahaja.

Dalam satu hal lain pula, tolonglah elak tampilkan calon kitar semula. Dengar-dengar cerita terdapat seorang dua pemimpin yang sebelum ini pernah ditolak oleh pengundi telah beria-ia melobi jadi calon BN . Sudah-sudahlah. Be­rilah peluang kepada muka-muka baharu.

Kepada pucuk pimpinan, diharap calon-calon kitar semula ini tidak disenaraikan sebagai calon yang akan mewakili BN pada PRU-14 nanti. Apa pun secara peribadi penulis yakin dengan kredibiliti Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menjadi nakhoda pada PRU-14 di Negeri Sembilan terutama dalam mengenal pasti calon-calon berwibawa.

Seperti mana kata sahabat penulis, jika calon yang terpilih itu disukai oleh penduduk setempat, insya-Allah BN boleh menang termasuk kawasan-kawasan dikuasai pembangkang sebelum ini (yang berpotensi untuk dirampas) seperti Sikamat, Chennah dan Temiang.

Ditanya pula kawasan-kawasan lain (kubu kuat pembangkang) antaranya Bahau, Nilai, Lobak, Bukit Kepa­yang, Senawang dan Lukut, sahabat penulis secara jujur berkata, BN sukar menembusi kawasan-kawasan itu me­lainkan berlaku ‘tsunami’ pengundi Cina di saat-saat akhir.