Namun insiden pasangan sua­mi isteri cedera apabila motosikal yang ditunggangi mereka dihempap pokok di hadapan Menara Berkembar Petronas KLCC pada Isnin lalu menunjukkan pokok-pokok besar juga boleh membahayakan orang ramai dan harta benda jika tidak dijaga de­ngan baik.

Kita tidak seharusnya menekan butang panik akibat kejadian itu sehingga mengambil langkah mudah menebang pokok-pokok yang difikirkan tidak lagi selamat akibat saiz atau usia.

Kejadian ini sepatutnya menjadi peringatan tegas kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) tentang keperluan untuk mengamalkan pelan pengurusan pokok serta amalan penyelenggaraan yang baik bukan sahaja di Kuala Lumpur tetapi di seluruh negara.

Mungkin ada pihak yang me­nganggap kejadian ini sebagai kemalangan ‘luar biasa’ meman­dangkan ia berlaku secara tiba-tiba dan tiada siapa yang mampu menduga. Namun jika kita masih ingat, kes serupa telah beberapa kali dilaporkan sebelum ini.

Antara insiden yang pernah dilaporkan termasuk pada 4 Mei 2017 melibatkan seorang pelajar tingkatan lima terbunuh apabila motosikal yang ditunggangnya ditimpa dahan pokok di Jalan Ayer Molek, Melaka.

Kes yang lebih menyayat hati berlaku pada 12 Oktober 2014 yang mengorbankan dua anggota polis apabila sebatang pokok tumbang di atas pondok kawalan stor simpanan barang kes di Kampung Attap, Kuala Lumpur semasa kejadian ribut petir.

Insiden-insiden sebegini mem­buktikan bahawa keselamatan orang awam sering diambil mudah meskipun ada kejadian maut yang berlaku sebelum ini. Segala kebimbangan dan cadangan yang dibuat oleh pelbagai pihak mengenai keperluan untuk memantau dan memeriksa tahap ke­selamatan pokok tua di kawasan bandar perlu diberikan perhatian berat oleh pihak berkuasa. 

Sebelum ini saya telah mencadangkan supaya semua PBT terutamanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memastikan pokok-pokok yang berada di bawah bidang kuasa mereka tidak membahayakan orang ramai terutamanya ketika hujan lebat dan ribut petir.

Ini penting kerana di bawah inisiatif Greener KL, DBKL me­nya­sarkan untuk menanam 30,000 pokok setiap tahun selain mengekalkan pokok-pokok sedia ada. Usaha murni seperti ini harus disokong, namun malangnya kita masih dapat melihat kontraktor menebang pokok untuk pelbagai projek pembangunan. Amat menyedihkan apabila pokok-pokok yang mengambil masa puluhan tahun untuk matang ditebang demi projek pembinaan baharu atau peningkatan infrastruktur sedia ada.

Saya percaya dengan pengu­rusan pokok yang betul, teknologi terkini dan nasihat da­ripada agensi-agensi seperti Ins­titut Penyelidikan Perhutanan Malaysia dan pakar-pakar pokok seperti arboris kita dapat memastikan pokok-pokok tua yang menghiasi jalan-jalan utama dapat dikekalkan apabila diuruskan dengan betul dan selamat.

Pakar-pakar tumbuhan ini sudah tentu mempunyai kemahiran dan peralatan untuk me­ngetahui keadaan setiap pokok dan mencadangkan langkah-langkah pe­mulihan yang sewajarnya. Se­bagai contoh, mereka boleh mengenalpasti lebih awal pokok yang sedang mengalami pereputan akar seperti pokok yang tumbang berdekatan KLCC tersebut.

Semua PBT juga perlu menu­buhkan sebuah unit khas untuk memastikan pokok-pokok di bawah seliaan mereka sentiasa diperiksa dan dicantas supaya tidak menghalang lampu isyarat, tanda jalan dan kemudahan awam lain. Pokok-pokok dan tumbuhan yang menghalang papan tanda jalan raya sudah tentu akan menyusahkan dan membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang mencari arah jalan untuk destinasi mereka.

Bagi PBT yang sudah mempu­nyai unit khusus seperti itu, mereka perlu memantapkannya dengan memastikan ia mempunyai inventori penuh pokok di bawah bidang kuasa mereka termasuk menggunakan pangkalan data dalam talian. Saya difahamkan ada PBT yang telah pun membangunkan aplikasi dan pangkalan data sendiri yang mampu membantu mereka memantau setiap pokok yang berada dia bawah kawasan seliaan mereka.

Dilaporkan bahawa Jabatan Landskap Negara turut memba­ngunkan sistem e-landskap yang dapat membantu PBT yang tidak mempunyai sistem sendiri me­nguruskan inventori pokok dan penyelenggaraan landskap mereka. Kita juga perlu meningkatkan kefahaman mengenai penyelenggaraan pokok dalam kalangan PBT kerana tahap kesedaran mengenainya masih rendah pada masa ini.

PBT juga harus mengamalkan budaya penyelenggaraan yang baik untuk memastikan pokok-pokok mereka sihat dan selamat dan tidak akan tumbang atau gugur dahannya terutama dalam keadaan cuaca buruk seperti hujan lebat dan ribut.

Saya juga ingin menyarankan orang ramai supaya  memainkan peranan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dan membuat laporan segera jika ternampak po­kok yang boleh menjejaskan ke­selamatan orang awam. Saya sendiri pernah menghubungi DBKL jika ternampak dahan atau pokok besar yang boleh membahayakan ­keselamatan orang ramai.

Sebenarnya ramai yang tidak tahu bahawa mereka boleh membuat tuntutan daripada PBT jika mengalami kecederaan atau me­ngalami kerugian jika mereka atau harta benda mereka ditimpa oleh pokok atau dahan di kawasan awam.

Namun saya percaya jika semua pihak berganding bahu menjaga pokok-pokok yang menghiasi segenap ceruk bandar, kita akan mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang dipenuhi kehijauan dan selamat.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah bekas Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.