RISIKONYA amat besar kerana pembongkaran yang dibuat adalah berkaitan ekonomi pasaran gelap bernilai ratusan juta Dollar Australia setahun melibatkan peladang generasi ketiga Itali yang menjadi ‘mafia’ di kawasan pedalaman Swan Hill. Pemain utamanya adalah kartel kontraktor pembekal buruh haram berketurunan Afghanistan yang bermaharajalela di kawasan berkenaan.

Namun jika takut mengambil risiko, pastinya tiada apa yang mampu dibuat untuk membuka mata masyarakat mengenai realiti bekerja di ladang-ladang buah dan sayur di Australia yang digambarkan sebagai ‘mudah buat duit’. Iklan-iklan oleh ejen di Malaysia mendakwa, setakat RM10,000 sebulan memang dalam tangan.

Bagaimanapun, penulis mendapati ‘kemewahan’ yang dijaja ejen sebenarnya bersalut penderitaan. Tidak dinafikan ada yang berjaya membuat duit kerana masuk melalui rakan-rakan yang lebih awal bekerja di sana.

Tetapi sebahagian besar daripada buruh haram berdepan dengan pelbagai kesulitan sebelum ‘dapat bernafas’, itupun selepas beberapa bulan atau setahun disepak terajang ke sana sini. Kumpulan yang paling berisiko adalah mereka yang masuk melalui ejen di Malaysia kerana pelbagai tipu helah dilakukan oleh orang tengah (majoritinya adalah rakyat Malaysia sendiri) yang mengambil peluang terhadap kenaifan buruh haram yang baru tiba di negara itu.

Sejak beberapa tahun lalu, ejen yang tamak menghantar buruh haram secara besar-besaran. Tanpa mengira musim, ejen berkenaan menghantar mereka walaupun tiada peluang pekerjaan sehingga berlaku lambakan yang akhirnya membuka ruang kepada pelbagai manipulasi perhambaan dunia moden.

Malangnya, selepas setahun pendedahan dibuat dan segala maklumat diserahkan kepada pihak berkuasa Malaysia, seorang ejen pun belum dikenakan tindakan. Carian di Facebook dengan kata kunci seperti: ‘bekerja di Australia’ akan menemukan pelbagai iklan yang lunak didengari.

Setiap permasalahan ada puncanya dan bagi penulis, ejen-ejen inilah yang menjadi antara penyumbang utama kewujudan buruh haram. Bukankah perbuatan menghantar rakyat Malaysia untuk bekerja secara tidak sah di Australia merupakan satu bentuk jenayah pemerdagangan manusia?

Walaupun tiada tindakan konkrit di Malaysia, penulis menarik nafas lega kerana pendedahan Utusan Malaysia yang turut disiarkan oleh akhbar The Age serta beberapa akhbar utama milik Fairfax Media dan 7.30 Report, Australia Broadcasting Corporation kira-kira setahun lalu diiktiraf oleh Parlimen Australia.

Penulis pada Isnin lalu dijemput memberi keterangan sebagai saksi pakar di hadapan Jawatankuasa Kecil Hal Ehwal Luar Negara dan Bantuan, Parlimen Australia yang bersidang di Alfred Deakin Centre, Mildura. Dengan kekangan bajet, penulis dan seorang peguam rakyat Malaysia yang membantu secara pro-bono (percuma), T. Vicknaraj memilih untuk bergilir-gilir memandu selama lebih 14 jam bagi perjalanan dua hala sejauh 1,400 kilometer.

Bukan sedikit masa dan tenaga yang dicurahkan, malah kami juga mengeluarkan perbelanjaan sendiri sekali gus membuktikan kekurangan sumber bukanlah halangan dalam menjayakan sesuatu misi.


Hipokrasi Australia

Aspek keterangan penulis berkisar kepada pengalaman sewaktu menyamar sebagai buruh haram manakala Vicknaraj menyuarakan cadangan dan membuat beberapa permintaan yang pro-Malaysia dalam menyokong pembentukan Modern Slavery Act dan Suruhanjaya Anti Perhambaan Moden di negara itu.

Dalam hujahnya, Vicknaraj turut menempelak hipokrasi kerajaan Australia yang membiarkan masalah perhambaan dunia moden terus berlaku dalam sektor perladangan sejak 40 tahun lalu. Beliau menyifatkan hubungan antara pusat pentadbiran Canberra dengan pihak berkuasa di kawasan pedalaman dalam isu buruh haram sebagai terputus di tengah jalan.

“Dianggarkan terdapat kira-kira 18,000 ke 20,000 buruh haram Malaysia di Australia dan jika pekan pedalaman seperti Swan Hill yang mempunyai 12,000 penduduk, ada 4,000 orang Malaysia di situ, saya fikir budak berusia dua tahun pun akan kata ‘kita ada masalah’,” katanya.

Kami berdua memberi keterangan atas kapasiti rakyat Malaysia berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada kira-kira 80 buruh haram yang ditemu ramah. Ia langsung tiada kaitan dengan Kerajaan Malaysia malah kami tidak memaklumkan tentang penglibatan dalam pendengaran awam itu kepada Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra.

Penglibatan penulis dan Vicknaraj dalam sesi pendengaran itu turut dilaporkan pelbagai media Australia selain menjadi tajuk berita media antarabangsa. Akhbar berpengaruh di London, The Guardian dalam laporannya menyatakan pendedahan Utusan Malaysia telah mewujudkan momentum penting ke arah penggubalan Modern Slavery Act di Australia.

Usaha itu bukan sekadar untuk membela nasib buruh haram Malaysia kerana yang lebih utama adalah untuk mempertahankan kepentingan negara. Terlalu banyak kerosakan diplomatik yang berlaku akibat lambakan buruh haram kerana majoriti daripada mereka tidak mempedulikan dan mengambil mudah mengenai peraturan untuk bekerja secara sah. Apa yang bermain di kepala mereka adalah duit dan duit manakala kerosakan pula ibarat api di dalam sekam yang marak tanpa disedari.


Bermain api

Ada ejen di Malaysia yang menipu kononnya visa kerja akan diuruskan oleh mereka. Apabila berada di Australia barulah buruh haram ini menyedari hakikat sebenar sehingga terkial-kial mencari jalan untuk mendapatkan dokumen sah, maka bermulalah satu lagi episod manipulasi oleh ejen migrasi yang bersekongkol dengan para peguam. Mereka inilah yang memanipulasikan kelompangan dalam sistem imigresen Australia sehingga kepentingan negara diperjudikan.

Hubungan dua hala Malaysia dan Australia adalah cemerlang, salah satu contoh hasil hubungan baik itu ialah keistimewaan untuk memohon visa pelancong/perniagaan melalui sistem Electronic Travel Advisory (ETA). Di Asia Tenggara, hanya Malaysia, Brunei dan Singapura menikmati keistimewaan itu.

Adakah kita mahu kemudahan sebegini rupa ditarik balik akibat tindak tanduk segelintir rakyat yang ‘bermain api’ dengan undang-undang Australia?

Lebih parah, ribuan buruh haram ini telah membuat permohonan visa perlindungan melalui sindiket dengan harapan boleh mendapat hak bekerja tanpa memikirkan kesannya di kemudian hari. Dalam proses membuat permohonan itu, ramai yang memfitnah negara. Antara alasan yang popular adalah diburu kerajaan dan polis sehingga mengancam nyawa selepas terlibat dengan perhimpunan haram Bersih.

Ia satu alasan yang karut-marut kerana penggerak utama Bersih seperti Maria Chin, Datuk S. Ambiga mahupun Hishamuddin Rais sendiri masih bebas meneruskan kehidupan di negara ini tanpa diancam nyawa mereka sehingga perlu menagih perlindungan di negara asing.

Membuat permohonan visa perlindungan ibarat langkah pertama dalam memutuskan hubungan dengan negara sendiri, mereka seperti sudah nekad namun malangnya ada yang tidak ‘berhati kental’ apabila mahu kembali sebentar ke Malaysia untuk bertemu anak yang masih kecil atau menghadiri pengebumian ahli keluarga. Pastinya mereka tidak berpeluang untuk berbuat demikian.

Ini kerana jika nyawa benar-benar diancam pihak berkuasa Malaysia, adakah sewenang-wenangnya mereka boleh kembali ke negara ini. Kefahaman mereka tentang visa perlindungan nampaknya bercelaru. Maka tidak peliklah apabila lebih 87 peratus permohonan visa perlindungan yang melonjak berkali ganda dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini ditolak. Adakah mereka fikir pihak berkuasa Australia terlalu naif untuk mengesan penipuan itu?

Dari satu sudut lain, ia membuktikan Utusan Malaysia bukanlah semata-mata akhbar politik, sebaliknya ia adalah akhbar yang sentiasa memperjuangkan nasib rakyat terutama golongan miskin tanpa mengira bangsa walaupun di luar negara. Kerjasama yang diberikan melalui pendengaran awam itu menterjemahkan iltizam Utusan Malaysia untuk terus memperjuangkan sesuatu isu walaupun selepas setahun dibongkar.