Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

MENGUKUR kemajuan sesebuah negara atau ne­geri tidak hanya bersandarkan kukuhnya ekonomi semata-mata. Wujud perbezaan antara menjadi negara maju dan membina masyarakat maju. Masyarakat maju, ukurannya bukan hanya pada keterbukaan peluang pekerjaan atau lingkaran lebuh raya yang bertingkat-tingkat, mahupun pusat beli-belah bersaiz mega. Kesemua itu hanyalah ciri luaran.

Masih terlalu banyak ruang litup dan lapangan kehidupan masyarakat kita yang perlu diubah dan dimajukan. Bangsa hanya akan baik jika akhlak anak bangsa yang membentuknya itu juga baik.  Malangnya, daripada ­perspektif moral atau akhlak misalnya, masih banyak kebejatan yang memerlukan perubahan perilaku.

Kita mesti sedar perubahan yang berlaku di sekeliling kita dan ia berubah dengan deras sekali. Ini zaman yang dipacu oleh teknologi. Zaman yang katalis pembangunannya adalah bakat terbaik. Kita hidup dan menghuni dunia yang sifatnya sangat global.

Perubahan yang dibawa oleh sains dan teknologi ­telah memaksa perubahan drastik dalam lanskap politik, ekonomi, perdagangan dan pembangunan sosial. Lingkungan hidup kita sudah tidak seperti dulu. Dunia pekerjaan, perniagaan dan kehidupan, sudah jauh berbeza de­ngan apa yang pernah kita lalui dan alami.

Masyarakat hari ini terdiri daripada mereka yang obses dan bergantung de­ngan teknologi. Malah ada yang menjadi semakin materialistik. Kita obses dengan kebendaan. Kita kagum dengan pesona hidup material. Kita melihat kehidupan dunia maya dan ekosistem digital sebagai kehidupan sebenar. Malah, sudah ramai yang menganggap setiap perkara dan kejadian dalam kehidupan dan pekerjaan mesti dikongsikan di alam maya. Semua ini me­ngundang rasa khuatir yang sangat mendalam.

Benar, kita mahukan segala bentuk kemajuan. Tetapi kita juga mahu ia selari dengan nilai, budaya dan iktikad kita dalam beragama. Tetapi, masyarakat yang maju adalah mereka yang maju pada pemikiran dan budayanya. Inilah ukuran sebenar. Kerana, tanpa pemikiran dan budaya yang maju, cita-cita menjadi negara maju pasti akan gagal direalisasikan.
Oleh kerana itu, dalam mengagaskan Johor Berkemajuan, salah satu pendekatannya adalah menjadikannya sebagai satu instrumen yang akan mewujudkan keseimbangan dalam pembangunan bangsa dan tanah air.

Usaha itu tentunya memerlukan keseimbangan di antara kemakmuran material, kesejahteraan sosial dan kekuatan keperibadian bangsa. Kemajuan material itu pasti akan susut nilai dan kepentingannya, jika karektor, budaya serta pemikiran bangsa terkebelakang dan mundur.
Lantas, jika mendambakan kemajuan itu, ia harus dibangunkan secara seimbang dan kamil. Kerana matlamat akhirnya bukan sekadar mahu mengaku maju, merekodkan pertumbuhan dengan pesat dan moden. Tetapi turut diiktiraf sebagai bangsa berbudaya tinggi, berkeperibadian unggul, berpegang pada nilai dan berfikiran maju.

Kemajuan sebenar hanya akan terjelma dengan wujudnya keseimbangan dalam setiap aspek pembangunan. Justeru, apabila Johor Berkemajuan digagaskan, ia merupakan usaha agar negeri serta bangsanya terbangun secara seimbang, lebih baik dan lebih sejahtera.

Johor berkemajuan memerlukan elemen yang boleh memberikan imbal balik, agar dalam semua kepesatan dan keghairahan kemajuan itu, ia tidak tersasar daripada landasan agama. Elemen yang tidak akan menjerumuskan masyarakat ke arena kehidupan tanpa nilai, tanpa suluhan rohani, tanpa iman dan tanpa rasa kebergantungan kepada agama.

Tidak bermakna jika negeri berkemajuan dan terkehadapan, tetapi semakin terkebelakang indeks rohani dan spiritualnya. Itu bukan kemajuan yang direncanakan. Masyarakat yang terbaik hanya akan terjelma dengan kemajuan dan kemodenan yang dipandu ilmu wahyu. Ingatlah, kemajuan dan kemodenan yang pesat, tanpa rohani, adalah kehidupan yang sangat pincang. Sangat cacat.

Lalu, siapakah yang harus memainkan peranan besar memberi keseimbangan ini? Pastinya sistem pendidikan agama. Maka itu, sistem yang ada mesti mampu me­mimpin dan menjadi agen gerakan ke arah keseimbangan itu. Agen yang akan menjadikan neraca kehidupan masyarakat itu benar-benar seimbang dan kamil. Telah tiba masanya semua pendidik dalam bidang agama untuk tampil menjadi agen keseimbangan ini. Segala ilmu dan kebitaraan yang ada, seharusnya ditumpukan kepada memajukan ­keperibadian ummah. Dioptimumkan sepenuhnya.

Mereka perlu memainkan peranan penting bagi menjadikan masyarakat dan seluruh isinya, sebagai sebuah watan yang berkemajuan. Yang dibentengkan dengan moral. Yang dipagari dengan suluhan wahyu dan rohani.

Institusi pendidikan agama mesti menjadi benteng moral dan para pendukungnya, jadi pendiri benteng-benteng itu. Mereka adalah watak penting ‘hizbul watan’. Mereka yang berjuang untuk memelihara dan memagari tanah air kita, mendidik dengan ilmu tentang tauhid dan syumulnya ajaran al-Quran.

Tanpa mereka, masyarakat kita akan hilang kompas ­moral. Tanpa pendidikan agama, pertimbangan hidup akan menjadi pincang. Tanpa syiar agama, watan ini kehilangan roh dan spiritualnya.

Jadikan sekolah agama, sebaik-baik petunjuk ke arah pembentukan sebuah masyarakat yang maju. Dan buktikan, dalam kita mengejar indeks ekonomi dan kesejahteraan, indeks rohani tidak dikesampingkan. Jadikan sekolah agama, dengan peranan terbaik guru-gurunya, tempat putera-puteri memperkasa keperibadian. Agar mereka menjadi generasi ‘kamil’ yang berlumba-lumba mengejar kemajuan dan kejayaan kerana agama, bangsa dan tanah air tercinta.

DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN ialah Menteri Besar Johor.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain