Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Kehadiran GrabCar mencabar industri teksi

Tempahan teksi melalui aplikasi Grab (dulu dikenali MyTeksi) memudahkan pelanggan kerana mempunyai maklumat lokasi teksi, nombor plat teksi dan nombor telefon pemandu serta resit tambang yang dihantar melalui e-mel.

SISTEM pengangkutan awam di negara ini semakin berkembang. Jika suatu masa dulu, bas mini yang menjadi nadi pengangkutan awam di ibu kota, kini pengangkutan rel mengambil alih dengan pengenalan sistem Transit Aliran Ringan (LRT), monorel, komuter dan akan datang perkhidmatan Aliran Transit Massa (MRT). Pada masa yang sama mutu perkhidmatan bas henti-henti dipertingkatkan. Jika sebelum ini, Intrakota mengambil alih perkhidmatan bas mini, bas Sri Jaya, Tong Fong dan pelbagai lagi, kini warga kota khususnya lebih selesa dengan pengenalan bas RapidKL. Bukan sahaja di Kuala Lumpur, Rapid juga beroperasi di Pahang dan Pulau Pinang. Di sesetengah kawasan pula terdapat perkhidmatan bas percuma. Pengangkutan awam terkini tentulah Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang menghubungkan perjalanan lebih jauh termasuk Kuala Lumpur - Ipoh - Pulau Pinang - Alor Setar - Padang Besar. Dalam erti kata lain, semua jenis pengangkutan ada di Kuala Lumpur.

Begitu juga dengan teksi yang `meriah’ dengan pelbagai jenama, nama dan warna. Jenama yang dimaksudkan adalah kereta yang digunakan seperti Iswara, Wira, Waja, Saga BLM, Exora, Toyota Innova, Avanza dan Nissan Serena. Nama pula berkaitan dengan teksi bajet, teksi 1Malaysia, teksi eksekutif dan limosin. Warna juga pelbagai seperti merah putih, merah, hijau, kuning, putih, biru dan macam-macam lagi. Mungkinkah kepelbagaian ini juga yang menyebabkan timbul pelbagai ragam dalam kalangan pemandu teksi? Tidak dinafikan, ada kalangan pemandu teksi yang tidak profesional. Betullah kata Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Syed Hamid Albar bahawa tidak ada gunanya pelbagai program penambahbaikan bagi perkhidmatan teksi dilakukan jika pemandu teksi sendiri tidak mahu mengubah sikap. Memang diakui SPAD dengan kerjasama persatuan pemandu teksi melakukan pelbagai program seperti penjenamaan, latihan dan menangani aduan dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan teksi.

Namun segalanya bergantung kepada sikap pemandu teksi itu sendiri. Kenapa ada yang tidak mahu berubah sehingga sikap mereka itu seperti seekor kerbau membawa lumpur habis semuanya terpalit? Sama seperti pelbagai jenama, nama dan warna maka begitulah juga ragam yang ada dalam diri pemandu teksi. Malangnya, hanya kerana sikap tidak profesional sesetengah pemandu teksi seperti mengenakan tambang berlebihan, tidak menggunakan meter, memilih penumpang/lokasi akhirnya habis industri itu dipersalahkan. Apakah yang menjadi punca ‘sikap’ tidak berubah itu? Adakah disebabkan tekanan untuk mencari pendapatan lebih-lebih lagi yang perlu membayar sewa teksi setiap hari? Golongan pemandu teksi yang menyebabkan imej industri ini terjejas boleh menjawab persoalan ini.

Berkait dengan teksi juga, untuk lebih `selamat’, ramai yang suka menggunakan aplikasi tempahan perkhidmatan teksi. Menyelak kembali kemudahan sebelum ini, kebanyakannya menghubungi ‘radio taxi’. Beberapa syarikat yang mengendalikan perkhidmatan ini termasuklah Comfort, Saujana, Sunlight, Public Cab dan Warisan. Melalui sistem ini, pengguna perlu mendail telefon, menunggu dilayan operator dan kemudian dihubungi semula mengenai status teksi. Ada juga yang menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS). Jika tempahan itu dibuka kepada semua pemandu, maka berlumba-lumbalah pemandu teksi bekejar ke lokasi. Ada yang berada jauh pun akan memaklumkan hanya sekitar 1 kilo­meter lokasinya ke tempat pelanggan. Kini keadaan sudah berubah apabila aplikasi yang lebih mudah tersedia. Lebih menarik, kita dapat melihat di telefon lokasi teksi berkenaan serta nama dan nombor telefon pemandu serta anggaran tambang. Aplikasi ini dulunya dikenali sebagai MyTeksi dan mulai 28 Januari lalu dikenali sebagai Grab. Keba­nyakan pemandu teksi yang menjadi anggota radio taxi menyertai aplikasi ini. Isu inilah yang menjadi bualan ramai pemandu teksi yang semakin hari terasa seolah-olah dipinggirkan oleh aplikasi ini. MyTeksi ditubuhkan bagi mewujudkan industri teksi yang lebih selamat dan berkesan di samping membantu meningkatkan pendapatan pemandu. Bagaimanapun pengenalan Uber dan GrabCar yang turut menggunakan aplikasi yang sama dikatakan menjejaskan ‘periuk nasi’ pemandu teksi. Ramai pemandu teksi mendakwa ada ketikanya, mereka terpaksa ‘bersaing’ dengan Uber dan GrabCar. Baru-baru ini, apabila MyTeksi bertukar nama kepada Grab, ia secara tidak langsung menggugurkan nama teksi!

Tidak dinafikan, platform aplikasi mudah alih ini memudahkan pengguna membuat tempahan, sama ada teksi atau perkhidmatan limosin. GrabCar menyediakan lebih banyak kereta di jalan raya kepada pengguna, secara tidak langsung menambah jumlah ‘pengangkutan awam’ selain teksi yang sah memiliki permit pengangkutan awam. Persoalannya apa pula status GrabCar? Adakah sebagai ‘kereta sapu’ yang sering menjadi mangsa ‘buruan’ SPAD terutama di beberapa kawasan stesen komuter? Hakikatnya, di beberapa kawasan, kereta sapu inilah yang banyak membantu pengguna disebabkan di kawasan berkenaan tidak ada bas atau teksi. Itu di kawasan yang tidak ada teksi. Bagaimana di ibu negara? Tidak cukupkah jumlah teksi? Sebelum ini, para pemandu teksi di Lembah Klang menggesa kerajaan mengha­ramkan penggunaan aplikasi teksi sapu haram seperti Uber dan GrabCar yang didakwa menutup ‘periuk nasi’ mereka. Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang, Zailani Isa Usuludin mendakwa, aplikasi tersebut menjejaskan pendapatan pemandu teksi sebanyak 50 peratus kerana mereka tidak menggunakan meter sebaliknya mengenakan caj yang lebih rendah kepada penumpang.

“Saya dapati kaedah tersebut mempunyai niat tersembunyi iaitu ingin membunuh industri teksi di negara ini secara perlahan-lahan,” katanya. Kebanyakan pemandu teksi yang tidak berpuas hati dengan GrabCar ini mempertikaikan beberapa perkara yang sepatutnya dipatuhi seperti yang dialami oleh teksi. Ini termasuklah memiliki lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV), insurans penumpang jika kemalangan dan menjalani pemeriksaan Puspakom setiap enam bulan sekali. Satu lagi persoalan ialah sejauh mana jaminan ke­selamatan pemandu jika penumpang yang dibawa oleh kereta berkenaan terlibat kes jenayah atau pendatang asing tanpa dokumen perjalanan yang sah? Kebiasaannya jika orang seperti ini menggunakan teksi, pemandu dilepaskan kerana statusnya sebagai pemandu yang sah.

Turut terjejas khabarnya pemandu teksi limosin di lapangan terbang kerana pemandu GrabCar juga bebas mengambil penumpang di mana-mana sahaja berbanding teksi yang perlu mengikut prosedur yang ditetapkan. Dalam erti kata lain, GrabCar mempunyai pelbagai ‘kebebasan dan keistimewaan’ yang tidak dinikmati oleh pemandu teksi. Adakah untuk masa hadapan, industri teksi akan berakhir? Adakah semuanya beralih kepada GrabCar yang dikatakan lebih menguntungkan bukan sahaja kepada pemandu tetapi juga penumpang?

Artikel Berkaitan
Video Terkini
Video Pilihan
Artikel Lain