“Aku pun universiti. Ijazah Ph.D lagi.”

“Setakat CGPA 2.2 tidak payah nak berlagak dengan aku.”

“Kau Ph.D persuratan. Bukan doktor perubatan. Tak malukah dipanggil doktor?”

DIALOG di atas macam biasa kita dengar. Pasti anda tahu apa spesies manusia 'tidak mahu kalah’. Bukan kalah bersukan. Bukan kalah berhujah. Pun bukan kalah makan.

Yang dimaksudkan ialah spesies tidak mahu kalah ego. Tidak perlu fikir lama-lama. Tak perlu bayangkan muka sesiapa. Mulakan dengan diri anda sendiri.

“Tidak! Saya mana ada ego!” Agaknya itulah sekilas bergema dalam hati anda. Sudahlah ada ego, tidak mahu mengaku pula. Ini adunan dua virus hati: ego dan sindrom penafian. Cari air penawar tujuh sungai pun, belum tentu mujarab.

Kebanyakan masa, spesies tidak mahu kalah ini amat meletihkan. Ini kerana dia akan menegakkan benang yang basah dalam apa cara sekali pun, walaupun dia salah atau terang-terang sudah hilang undi majoriti.

Begitu meletihkan kerana apa sahaja bukti bertulis dan bercetak, pantas ditepis. Kita bawa saksi kejadian pun dikata tiada locus standi.

Ada masanya juga spesies ini menjadi bahan lawak. Tidaklah kita ketawa semasa insiden berlaku. Kita ketawa lama-lama selepas itu. Terutama bila terkenang balik betapa kedegilan diadun dengan keangkuhan kemudian digiling dengan kedunguan spesies tersebut dan detik itu, anda tertanya sendiri: bagaimana boleh aku terjerumus sama dalam insiden itu?

Inilah bahan ketawa satu kelab seperminuman taman di sebuah daerah di negara ini. Bukan baru berlaku tetapi sebenarnya sangat kerap berlaku. Kelab ini ada kira-kira sedozen ahli. Jarang kesemua ahli dapat duduk bersama dalam satu sesi kerana komitmen kerja masing-masing. Dalam kelompok ini ada dua sahabat yang secara lahiriah memiliki kecenderungan 'tidak mahu kalah’.

Kedua-duanya berlatar belakang ahli perniagaan. Tidak besar, tidak kecil. Memadailah hidup senang. Dan kemesraan mereka berdua melayakkan diri menyertai kelab seperminuman taman. Lama-kelamaan, ahli-ahli lain menyedari kedua-duanya ada penyakit sama.

Kalau kita bercerita tentang harga rumah dan sulitnya hen­dak membeli disebabkan harga yang sangat mahal sekarang, dia akan mengaku ada tiga kon­dominium.

Bila bercerita tentang anak baru lepas SPM, dia akan me­nyebut anaknya yang dapat 15A sampai Bahasa Tamil dan Man­darin pun anak dia ambil dan lulus.

Topik kereta yang me­ru­pakan to­pik wajib yang di­ibaratkan kalau 'kereta tidak melanggar orang’, cerita me­reka akan men­jurus kepada 'ke­reta melambung ke awan, demi mengelak basikal jalanan’. Mesti ada unsur dra­matik dan bombastik, selain 'tem­­berang-tik’.

Beralah

Dalam sesetengah keadaan, ahli-ahli lain yang mendengar bu­tir percakapan dua insan spe­­sies tidak boleh kalah ini, melayan mereka dengan meng­angguk ke­pala diiringi mata me­mandang ke siling. Percaya ti­dak. Terhasut jauh sekali. Dengar sa­hajalah.

Yang tidak seronok, bila kedua-duanya sampai ke tahap bertelagah, lalu diminta pungutan suara daripada ahli-ahli lain. Secara objektifnya, ahli lain sekadar mahu lepak santai berbual kosong dengan teman-teman. Jadi bila diminta mengundi pula memilih 'siapa paling hebat tidak mahu kalah’, ia menukar dimensi 'lepak santai’ sama sekali. Ia menjadi tidak selesa dan kemuncaknya, meluat.

Meluat ini bahaya kerana ia akan mengurangkan minat untuk berbual dan bertemu. Lebih-lebih lagi bila seorang tersinggung. Macam mana tidak tersinggung? Setelah bermati-matian berhujah mahu memastikan tidak kalah, tiba-tiba disuruh diam oleh teman lain atas alasan hujahnya ada elemen mala fide.

Lebih mengguris hati, sudahlah diarah tutup mulut, dirinya pula diperlekehkan seolah-olah peninju berdarah muka tersembam ke lantai, dipijak pula oleh lawan.

Ahli-ahli lain sebenarnya, malas sudah hendak campur. Hendak nasihat, sudah berulang kali. Hendak disampaikan secara tersirat, mati-mati buat tidak mengerti. Masing-masing tidak mahu kalah. Jalan sebaik-baiknya, biarkan mereka berantakan.

Seharusnya, bila berdepan dengan insan yang cakap tidak mahu kalah, anda boleh memilih untuk beralah. Tidak perlu sepanjang masa hendak bertelagah. Letihlah. Lazimnya, bila dua-dua terus menerus tidak mahu kalah, orang lain yang mendengar tidak akan bersorak. Hendak bersorak apa? Kedua-dua sah angkuh dalam kedunguan.

Inilah jadinya bila tidak mahu mengalah. Akhirnya kawan-kawan seorang demi seorang malas hendak bersama.

Sesekali mengalah, tidak salah. Bukan bermakna anda akan mati dalam kehinaan pun. Tetapi anggaplah ia strategi. Kita berkawan mahu sampai ke akhirat. Bukan berkawan sekerat-sekerat.

Jadi, sekianlah tazkirah Merrepak hari ini, moga kita sama-sama mendapat hidayah. Kalau tidak mahu terima juga, itu tandanya anda pun tidak mahu kalah.