Minat. Hobi. Obsesi. Dan keyakinan bahawa apa kegiatan berkayuh itu bukan sahaja bagus untuk kesihatan tetapi juga membawa pengalaman baru. Ya, kenapa perlu kayuh sebegitu jauh? Sebab di sana, menanti sahabat yang akan memperkenalkan sahabat-sahabat baru yang sealiran dan sama gila berbasikal.

Sebenarnya, persoalan di atas itu bermain-main di kepala semasa memerah tenaga memanjat bukit. Tiada cliche. Tiada retorik. Sebaliknya, soalan itu benar-benar serius. Kerana soalan itu tercetus ketika detik yang kritikal. Itulah masa nafas berebut-rebut mencari punca udara, pinggang mula menjerit dan peha merayu agar berhenti.

'Derita’ itu bertambah dengan hujan mula turun. Terasa suhu di Ulu Yam lebih dingin berbanding lain. Mungkin jaraknya dekat dengan bukit-bukau turut mempengaruhi. Hujan juga menyebabkan laluan menjadi sukar.

Bila mendaki, tanah menjadi lecak. Bila menurun, rumput jadi licin. Maka, calar-calar di tangan kanan tatkala mengelak rimbunan pokok liar semasa menurun dalam kelajuan tinggi. Nyaris terpelanting.

Tetapi inilah yang membuatkan aktiviti berkayuh off-road begitu menyeronokkan. Lagi banyak calar pada badan, lagi hebat. Asal jangan calar pada badan basikal.

Seperkara yang sentiasa menjadi kesukaan ialah sesi ini juga membolehkan pertambahan kawan-kawan. Bukan kawan politik. Bukan korporat. Bukan juga dragon. Tetapi kawan-kawan sekayuhan.

Kita boleh bertukar-tukar pengetahuan sama ada kaedah mengayuh, jenama basikal dan peralatan. Paling seronok, bercerita mengenai kedai yang ada menjual diskaun atau yang memberi layanan baik kepada orang yang memasuki kedainya dan tidak mesti membeli.

Dan jika ada anggota dalam kumpulan berminat dengan sesebuah basikal, urusan tunggang-uji boleh terus dilakukan dan jika setuju, boleh terus melakukan transaksi kemudiannya.


Galakan

Merrepak hari ini untuk kesekian kalinya, menyeru dan menggalakkan anda semua pembaca budiman untuk mencuba beriadah menggunakan basikal. Untuk berbasikal, ia merentasi usia. Semalam, seorang anggota kumpulan berusia 72 tahun, namanya Pak cik Wahab.

Dan dia memotong saya dengan selamba dan meninggalkan saya jauh. Disebabkan tiada hadiah di akhir garisan, melainkan sesi teh tarik di restoran mamak, maka tidaklah saya berusaha mengejar pakcik bertenaga itu.

Menurut pakcik tersebut, dia sering berbasikal jarak jauh dengan menjelajah ke Tanjung Malim. Itu cara dia mengekalkan momentum kaki dan denyut jantungnya. Semasa bercerita itu, saya tidak kagum tetapi terpegun. Ini kerana kagum sudah berlaku semasa dia memotong saya. Sayup saya ditinggalkan dalam hujan di Batang Kali.

Jadi, berbasikal boleh anda amalkan tanpa mengira usia. Dan usia lanjut, bukan penghalang. Tidak sama sekali.

Ada yang bertanya, benarkah berbasikal boleh menguruskan badan? Berdasarkan bacaan dan pertanyaan saya kepada rakan-rakan sekayuhan yang dulunya berbadan gempal, jawapannya samar-samar. Untuk mengatakan berbasikal benar-benar mujarab untuk kuruskan badan, itu mitos.

Ini kerana untuk kurus, ia memerlukan anda mematuhi banyak pantang-larang seperti kurang pengambilan nasi, contohnya dan berbasikal, merupakan satu daripada senaman yang digalakkan untuk tubuh sihat. Inilah sebab saya tidak menyelitkan perihal 'berbasikal jadikan anda kurus’ dalam propaganda saya mengajak sahabat-handai mencuba berbasikal.

Perkara yang lazimnya Merrepak nasihatkan kepada anda yang baharu hendak mencuba berbasikal ialah:

1 Mulakan kayuhan mengikut kudrat anda. Jangan beli basikal terus sertai jambori. Itu berpotensi menyebabkan anda dapat menaiki van ambulans secara percuma.

2 Berkayuh secara konsisten setiap hari atau berselang hari, mulakan di sekeling taman perumahan, kemudian jauh sikit, kemudian jauh lagi. Kemudian ke Ulu Yam. Berkayuh perlahan-lahan ini bukan sahaja membantu pernafasan anda, tetapi paling penting, untuk anda memahami basikal anda.

3 Fahami basikal. Bab memahami basikal ini sama dengan kereta. Anda kena tahu brek kanan terletak di tayar mana, jarak pemegang dengan tempat duduk anda agar tidak membongkok terlebih atau kaki tidak sampai, paras kerusi tinggi rendah dan bagaimana mengepam tayar.

4 Pilih laluan yang hendak anda lalui. Semasa memandu, anda amati jalannya. Apakah ada bukit dan mana yang rata. Ada eloknya semasa bermula anda gunakan jalan rata dan balik guna yang berbukit. Ini kerana anda sudah panas kaki. Tetapi kalau nafas sudah semput, gunalah jalan rata. Tiada siapa marah pun.

5 Mengembalikan tenaga. Anda kena baca apa minuman sesuai selepas berbasikal. Elakkan ais. Teh tarik boleh tetapi biarlah secawan sahaja. Disaran air panas. Pelumba profesional ada yang meminum kopi semasa bertanding. Faktor kafein.

6 Terima hakikat. Ada hari anda akan kayuh dan merasai nikmati kayuhan. Ada hari tidak, malah menyebabkan anda sakit. Bila sakit, jangan putus asa. Badan manusia memang begitu.

7 Sertai kelab atau kumpulan berbasikal. Ya, samalah seperti yang saya ceritakan di atas. Buat kawan berbasikal biar seribu. Tidak rugi sesen pun.

8 Menyimpan rekod kayuhan. Hari ini ada pelbagai aplikasi yang boleh anda muat turun untuk anda mengambil data kayuhan anda seperti jarak dan anggaran pembakaran lemak. Setiap statistik hendaklah dijadikan panduan untuk 'dipecahkan’ dalam kayuhan seterusnya. Barulah seronok!

9 Basikal apa hendak dibeli? Terdapat lapan jenis basikal tetapi yang popular ialah tiga iaitu Road Bike, Mountain Bike dan Touring. Road bike ialah pemegang yang seakan tanduk kerbau, Mountain Bike pula diguna dalam hutan tetapi juga boleh di atas jalan biasa manakala Touring untuk kayuh jelajah. Anda tidak perlu beli mahal (melainkan anda kaya), mulakan dengan basikal biasa-biasa. Setelah beberapa lama, anda boleh upgrade kepada yang lebih mahal, mengikut kemampuan anda.

10 Perlukah menjelajah jauh untuk menikmati kayuhan? Tidak. Anda boleh kayuh di taman perumahan anda dan pasti anda sudah suka hati. Cuma, bila sudah bosan, anda akan secara automatik mencari lokasi yang lebih mencabar. Percayalah!