Apabila kuasa sudah berada dalam genggaman mereka, maka keseluruhan rakyat wajib akur kepada ideologi perjuangan mereka. Keingkaran mematuhi ideologi perjuangan mereka akan mengundang padah dan kematian.

Jika pergerakan Islam mempunyai ciri-ciri seperti para pejuang ideologi, maka umat Islam sepatutnya menentang pergerakan tersebut kerana pergerakan begini tidak akan dapat membentuk sebuah negara yang aman dan harmoni. Peristiwa yang berlaku di negara-negara yang dikuasai oleh pergerakan Islam yang ganas sepatutnya dijadikan sebagai pengajaran kepada umat Islam dalam negara ini.

Perjuangan ideologi berbeza dengan perjuangan Islam kerana pejuang ideologi lebih mengutamakan kuasa dan pelaksanaan Islam secara kekerasan. Mereka juga memaksa masyarakat supaya menganuti dan mengamalkan ideologi mereka tanpa mengira agama dan kaum. Sedang­kan perjuangan Islam lebih mengutamakan keharmonian dan keamanan yang mana kuasa dimiliki itu ialah untuk menegakkan keadilan, kesaksamaan dan juga melaksanakan perundangan Islam secara hikmah dan moderate.

Para pejuang Islam tidak memaksa orang bukan Islam memeluk agama Islam dan mengamalkan perundangan peribadi yang diperuntukkan kepada orang Islam. Orang bukan Islam bebas mengamalkan tradisi agama mereka. Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam Surah 2 (al-Baqarah): 256 yang bermaksud: “Tidak ada paksaan untuk (mema­suki) agama (Islam). Sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang salah.”

Pejuang ideologi sama ada sekular atau menggunakan nama Islam sering mempamerkan keganasan dan kekejaman terhadap orang awam dan orang tawanan. Islam melarang umatnya melakukan keganasan terhadap orang awam dan tawanan perang kerana dalam peperangan, umat Islam terikat dengan etika atau perundangan peperangan terutama berkaitan dengan keselamatan orang awam, tumbuh-tumbuhan dan binatang.

Pembunuhan hanya dibenarkan di medan peperangan. Allah menjelaskan perkara ini dalam Surah 76 (al-Insan): 8-9 yang bermaksud: “Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan. Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredaan Allah, kami tidak mengharapkan balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.”

Para pejuang ideologi berasa bangga dan angkuh apabila mereka dapat menyeksa dan membunuh orang tawanan secara kejam. Dalam diri mereka disemat dengan perasaan dendam kesumat terhadap tawanan perang.

Allah mengutuk perbuatan demikian dengan firman-Nya dalam Surah 2 (al-Baqarah): 190 yang bermaksud: “Dan perangilah di jalan Allah orang yang memerangi kamu (tetapi) janganlah kamu melampaui batas kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas.”

Allah juga menyeru umat Islam supaya menggunakan pertimbangan akal yang rasional ketika berada dalam medan peperangan. Apabila musuh berhenti membunuh dan tidak terdaya, maka pembunuhan perlu dihentikan. Perkara ini disebut oleh Allah dalam Surah 2 (al-Baqarah): 193 yang bermaksud: “Dan perangilah mereka itu sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga) agama itu hanyalah untuk Allah belaka. Jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu), maka tidak ada permusuhan (lagi), kecuali terhadap orang yang zalim.”

Jika di dalam peperangan umat Islam tidak dibenarkan membunuh musuh ketika mereka menyerah kalah, maka perbuatan membunuh orang awam di tempat perhimpunan sukan dan seumpamanya adalah haram sama sekali. Perbuatan demikian adalah dianggap sebagai zalim kerana orang awam tersebut tidak menyertai peperangan. Rasulullah SAW melarang keras umatnya membunuh individu-individu yang tidak terlibat dalam peperangan. Baginda bersabda: “Janganlah kamu membunuh kanak-kanak, wanita dan orang tua.” (Riwayat Abu Daud).

Membunuh orang bukan Islam yang mempunyai perjanjian perdamaian dengan umat Islam adalah ha­ram sama sekali. Umat Islam diperingati supaya tidak mengkhianati perjanjian tersebut. Peperangan dan pembunuhan bukanlah jalan ke syurga jika tindak tanduk yang dilakukan itu mempunyai unsur-unsur keganasan, kezaliman dan kekejaman. Fahamilah peperangan dan pembunuhan itu tertakluk kepada etika yang berunsur kemanusiaan dan keadilan. Oleh itu berhati-hatilah memilih corak kehidupan supaya perjuangan yang dilaksanakan itu bertepatan dengan konsep jihad dalam Islam.

PROF. MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).