Akhir-akhir ini semakin kerap terdapat insiden keganasan dan militan di sana sini. Banyak pihak awam yang terkorban. Termasuk warga tua, lelaki, wanita dan kanak-kanak. Kenapa mereka harus terkorban? Apa dosa mereka atau apakah mereka adalah sasaran kononnya oleh pejuang-pejuang yang menuntut keadilan atau kebebasan?

Sukar mencari makna keadilan atau kewajaran bagi menghalalkan tindakan seumpama ini. Ada kala terdapat kumpulan-kumpulan tertentu muncul mengakui bertanggungjawab melakukan sesuatu insiden buruk yang me­ngorbankan nyawa dan kecedera­an parah kepada pihak umum itu. Mereka mungkin merasa megah. Tetapi persoalan besarnya adalah kenapa dan untuk apa?

Mungkin apa yang dilakukan didorong oleh fahaman salah tentang konsep ‘berjihad’. Jihad atau perjuangan yang berlandaskan tuntutan agama bukan menganjurkan serangan ‘membuta tuli’ tanpa memikirkan apa tujuan dan siapa sasaran sebenar. Tentu tidak wajar jika tindakan ganas ‘tidak bertempat’ itu hanya sekadar mahu mencabar atau memberi amaran kepada pihak-pihak lain yang dianggap musuh.

Nyawa dan jiwa manusia bukan taruhan murah bagi menjaya­kan apa-apa agenda atau motif tersirat. Bukan juga boleh dijadikan bahan isyarat kepada mana-mana pihak. Justeru, wajar bagi mana-mana kerajaan termasuk di Malaysia memandang perbuat­an ganas dan militan ini sesuatu yang serius dan sedia bertindak memeranginya secara habis-habisan.

Dua mufti negeri memberi pendapat mereka terhadap perbuatan yang meruntuhkan maruah bangsa dan agama ini. Kata Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, kurangnya didikan agama merupakan faktor utama segelintir masyarakat (termasuk di Malaysia) terjerumus ke kancah salah tafsir jihad dan menjadi pelampau agama dengan menyertai mana-mana kumpulan pengganas seperti Daesh.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman pula menjelaskan, tidak ada jalan pintas untuk mati syahid, apatah lagi de­ngan tindakan ekstremis termasuk membunuh diri sendiri. Beliau menggesa diharamkan buku karangan Ibnu Taimiyah kerana terdapat beberapa perkara yang jelas bercanggah dengan fahaman majoriti umat Islam di Malaysia.

Ahli falsafah Yunani, Plato, pernah berkata: “Kejahilan adalah akar segala kejahatan.” Dan ramai orang berkata: kejahilan dicampur semangat agama akan wujud ekstremisme; kejahilan dicampur kebebasan akan wujud kekacauan; kejahilan dicampur kekuasaan akan wujud kediktatoran; kejahilan dicampur kemewahan akan wujud kepunahan dan kejahilan dicampur kefakiran akan wujud penjenayahan.

Segala ciri berkaitan kejahilan ini perlu ditangani secara berkesan. Benarlah, jalan keluar atau landasan betul bagi meletakkan arah kehidupan, baik atas nama jihad atau perjuangan mestilah berpandukan ilmu pengetahuan dan kefahaman agama yang jelas dan tepat.

Bangsa yang mulia dan disegani adalah bangsa yang berilmu dan berpengetahuan. Ilmu akan membenihkan nilai-nilai kekuatan dan kekuasaan tersendiri. Masyarakat berilmu selalunya berpijak pada pemikiran yang ‘rasional’ sebelum bertindak. Mereka akan memikirkan natijah baik atau buruk dalam segala hal dan tindakan.

Masyarakat berilmu sentiasa memikirkan pendekatan atau kaedah terbaik dalam menghadapi sebarang situasi. Mereka bertindak bijak dalam menguruskan segala permasalahan berbangkit. Mereka tahu cara dan jalan penyelesaian.

Berilmu bererti peradaban, sekali gus menyerlahkan nilai ketamadunan tinggi. Budaya hidup kalangan mereka ini sentiasa mementingkan kesopanan, menghargai budi dan halus jiwa kemanusiaannya. Lalu, tidak akan berlaku perbuatan atau tindakan yang boleh merosakkan sesama makhluk.

Mereka tidak tergamak untuk bunuh-membunuh atau melakukan sesuatu yang membawa kemudaratan kepada umum.

Kekuatan juga boleh dibina melalui penguasaan ekonomi. Bangsa yang memiliki ‘kuasa ekonomi’ teguh akan disegani oleh pihak lain. Malah ada orang menyebut ‘ekonomi adalah kuasa’. Dan ekonomi adalah tunggak survival bagi sesebuah bangsa. Sebaliknya, bangsa yang miskin atau daif selalunya mudah ditindas atau menjadi bahan ‘eksploitasi’ pihak yang lebih kaya.

Pendek kata, memang banyak lagi cara atau alternatif bagi menjamin keselesaan dan keselamatan hidup, tanpa melakukan tindakan keganasan, ekstremisme atau serangan yang tidak menentu. Sebarang tindakan yang dilakukan di luar batas peraturan dan undang-undang bukan saja mengorbankan nyawa, tetapi kesan buruk terhadap imej agama dan sesebuah bangsa itu jauh lebih parah tersemat pada pandangan pihak lain.

Apa yang lebih malang, ada pihak mungkin akan mengambil peluang untuk menjadikan insiden-insiden ganas yang dilakukan oleh kumpulan militan itu untuk bertindak balas dengan melakukan apa cara yang mungkin menyukarkan lagi kehidupan.

Masih banyak pilihan terbaik untuk menyelesaikan segala kekusutan atau pertelagahan pendapat selain dari bertindak ganas, yang boleh mengorbankan nyawa atau memusnahkan kemudahan tempat-tempat awam. Binalah tamadun untuk disegani, bukan untuk dibenci atau dijadikan alat untuk diambil tindakan balas yang berpanjangan oleh pihak lain.

Kehidupan sepatutnya mencari damai dan kesejahteraan. Bersyukur dengan nikmat yang ada. Jauhi diri daripada musnah dan sengsara!

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah 
Fe­lo Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.