Namun, sejak kebelakangan ini berita mengenai penglibatan golongan wanita dalam keganasan termasuk keganasan rumah tangga dan buli semakin menjadi-jadi, bukan sahaja di peringkat sekolah tetapi juga dalam institusi keluarga.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan insiden berdarah apabila seorang isteri berusia 17 tahun didakwa menikam suaminya sehingga mati akibat perasaan cemburu.

Dilaporkan kejadian pada pukul 1.45 tengah hari di sebuah rumah teres di Sungai Abong, Muar itu bermula dengan pertengkaran suami isteri yang baru berkahwin enam bulan sebelum suspek menikam mangsa yang berusia 28 tahun.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman (PDRM) Asisten Komisioner Ong Chin Lan pada bulan lepas turut mendedahkan terdapat peningkatan dalam kes penderaan suami setiap tahun daripada 37 kes pada 2015 ­meningkat kepada 54 kes pada 2016.

Sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini, sebanyak 28 kes sudah dilaporkan. Walaupun peratusannya jauh lebih kecil berbanding penderaan ke atas wanita, namun kita harus merasa bimbang kerana jumlahnya ­meningkat setiap tahun.

Antara punca isteri mendera suami adalah disebabkan perbuatan curang, perselisihan faham, masalah kewangan, isu anak, cemburu, campur tangan mentua, mabuk dan dadah.

Statistik polis menunjukkan kebanyakan kes berlaku pada pasangan muda yang berusia 26 hingga 45 tahun, yang mana sedang dalam peringkat penyesu­aian di antara pasangan. Apabila mereka mempunyai anak, masalah makin meningkat akibat bebanan tugas dan tekanan kewangan.

Kejadian buli melibatkan pelajar perempuan juga sering menjadi tajuk utama akhbar apabila perlakuan ganas tersebut menjadi tular dalam media sosial.

Pada 29 Julai, seorang pelajar perempuan dilaporkan dibuli sekumpulan pelajar perempuan lain yang dipercayai berlaku di kawasan padang sebuah sekolah menengah di Kunak, Sabah.

Rakaman yang tersebar di laman sosial memaparkan sekumpulan pelajar perempuan menyerang dan memukul mangsa tersebut dan tindakan mereka itu menimbulkan rasa kurang senang masyarakat, khususnya netizen.

Pada 22 Februari, seorang pelajar perempuan tingkatan satu di Petaling Jaya terpaksa menerima empat jahitan pada kepala apabila dipercayai dibelasah sekumpulan pelajar tingkatan tiga. Menurut mangsa, Puteri Aleeya Maisarah Mohd. Syukri, 13, kejadian berlaku selepas waktu sekolah kira-kira pukul 2.30 petang.

Pada 13 Februari pula, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun di sebuah sekolah menengah di Pokok Sena, Kedah mendakwa menjadi mangsa buli sekumpulan pelajar perempuan sekolah yang sama sejak hampir setahun lalu.

Mangsa Nur Fatihah Alia Md. Lazim, membuat laporan polis Balai Polis Pokok Sena selepas dikatakan dibuli sekali lagi oleh tujuh pelajar perempuan di kawasan letak motosikal sekolah kira-kira pukul 2.15 petang.

Kes-kes yang melibatkan pelajar perempuan ini amat membimbangkan kerana ia menggambarkan betapa seriusnya perlakuan ganas dalam kalangan masyarakat sehingga melibatkan pelaku daripada segenap lapisan masyarakat. Kita perlu ingat bahawa generasi muda tersebut akan membesar dengan tingkah laku ganas jika kelakuan negatif ini tidak ditangani segera.

Pada pandangan saya, apa yang dapat kita lihat pada masa ini adalah akibat kegagalan kita menangani gejala negatif yang melanda golongan muda, ter­utamanya dalam tempoh sedekad lalu. Masalah dadah, mat rempit, bohsia dan pembuangan bayi yang dihadapi suatu ketika dulu masih berterusan dan ada yang membesar dengan sikap negatif yang dibawa bersama mereka.

Jika diperhatikan gaya percakapan remaja dan pelajar pada masa ini, ramai telah bertukar menjadi kasar termasuk dalam kalangan pelajar perempuan. Sikap saling menghormati juga semakin terhakis malahan ramai yang tidak lagi mengucapkan terima kasih atau memohon maaf dalam situasi yang sepatutnya.

Saya sangat berharap pihak kerajaan dapat mencari penyelesaian berkesan dan berkekalan untuk mengatasi perlakuan ganas dalam kalangan masyarakat.

Jika kerajaan boleh menubuhkan makmal khas untuk mencari penyelesaian pelbagai isu lain, sudah tentu pendekatan yang sama juga boleh dilaksanakan untuk mengatasi masalah yang menghantui kita pada masa ini.

Untuk menjayakan makmal khas ini kerajaan perlu menggembleng tenaga dan kepakaran pelbagai pihak termasuk ahli akademik, pakar psikiatri, pertubuhan bukan kerajaan dan juga pakar kanak-kanak dan keluarga. Langkah ini amat penting kerana tidak ada gunanya kita menjadi negara maju namun rakyatnya dibelenggu gejala keganasan.

Setiap anggota masyarakat juga harus melaksanakan tanggungjawab masing-masing bagi mewujudkan masyarakat pe­nyayang agar negara kekal aman makmur dan damai selaras de­ngan gagasan Transformasi Nasional 2050. Jika kita tidak me­ngorak langkah sekarang, saya bimbang keseluruhan masyarakat akan pincang dan rebah menyembah bumi.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).