Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meninggalkan terlalu banyak masalah dengan yang paling terkesan ialah isu gangguan bekalan air bersih, skandal rasuah di Ijok serta kemelut berpanjangan Stadium Shah Alam.

Itulah harga yang perlu dibayar oleh pengundi di Selangor akibat mereka tersilap percaturan dalam memilih kerajaan negeri apabila terlihat ketara Mohamed Azmin lebih gemar bermain politik sepanjang masa berbanding menyelesaikan masalah membabitkan rakyat.

Maka sebab itu tiada yang pelik dengan gimik politik murahan ‘naik teksi’ Mohamed Azmin kelmarin, kerana rakyat sedar drama tersebut tidak boleh menutup skandal Ijok yang mana sehingga RM200 juta dibayar kepada pihak tiada kaitan, iaitu dipercayai proksi.

Namun, kali ini rakyat Selangor berpeluang untuk memperbetulkan semula negeri ini agar kembali ke landasan terbaik. Landasan yang akan mengembalikan semula Selangor sebagai negeri termaju selepas terperosok di tangga keempat dari segi pelaburan.

Bagi maksud itu, Barisan Nasional (BN) Selangor dike­tuai Tan Sri Noh Omar tampil menawarkan lima matlamat utama, 10 program dan 100 inisiatif terfokus dalam manifestonya bagi memberikan perkhidmatan serta urus tadbir terbaik kepada rakyat Selangor jika dipilih menjadi kerajaan.

Paling utama, tiada lagi masalah gangguan bekalan air kerana BN berjanji ia perkara pertama yang akan diselesaikan jika tampuk kepemimpinan negeri berjaya diambil alih. Air percuma 20 meter padu juga dikekalkan dengan tambahan rebat diberikan.

Tambah menarik, lebih 140,000 unit rumah mampu milik juga akan BN bina. Ia sesuatu yang terbukti gagal ditunaikan Mohamed Azmin di kala rakyat Se­langor khususnya orang muda merintih terbeban dengan harga rumah yang melonjak melebihi RM500,000 seunit.

Jumlah yang dijanjikan BN tersebut meliputi projek 50,000 unit rumah kos rendah dan sederhana, 60,000 Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), membaik pulih semula 29,423 rumah terbengkalai serta menyiapkan 6,000 unit rumah transit belia di Rawang.

Selain itu, isu Stadium Shah Alam juga selesai apabila BN berjanji mengembalikannya kepada The Red ­Giants tanpa sebarang syarat ketika pentadbiran Mohamed Azmin sendiri tergamak mengeluar kata-kata ‘go to hell’.

Kini semuanya di tangan majoriti rakyat Selangor, apakah mahu terus menerus membiarkan negeri ini berdepan masalah berterusan dengan Menteri Besarnya yang hanya pandai menuding jari atau memilih sebuah kerajaan negeri baharu yang sedia teruji dan menjanjikan harapan terbaik.