Pada awal Julai lalu, Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Sabah (Gannos) menganggarkan wujud hampir 800,000 individu di Sabah yang didakwa tidak bernegara atau tidak memiliki dokumen pengenalan diri. Pada Mac lalu, Menteri Dalam Negeri menyatakan terdapat lebih 2,500 kanak-kanak tidak bernegara yang sedang menunggu untuk didaftarkan masuk ke mana-mana sekolah kebangsaan.

Sukar untuk mendapatkan angka tepat bagi memastikan jumlah sebenar orang tidak bernegara (OTB) memandangkan kewujudan mereka tidak direkodkan melalui pemberian dokumen pengenalan diri. Tanpa kewarganegaraan yang diberikan oleh mana-mana kerajaan, OTB hidup di luar radar sebagai persona non grata.

Keadaan ini menjadi lebih buruk lagi apabila wujud dasar dan faktor yang menyukarkan pendaftaran kanak-kanak yang lahir di kawasan pedalaman. Sebagai contoh, di beberapa kawasan pedalaman Sabah, pasangan yang ingin mendaftarkan kelahiran anak mereka harus melalui perjalanan yang memakan masa untuk ke bandar. Apabila mereka tiba di pejabat agensi kerajaan pula, mereka diminta menyediakan pelbagai sijil untuk memastikan taraf anak. Ini termasuklah sijil pendaftaran perkahwinan.

Dalam beberapa contoh, kerana wujud undang-undang yang memperuntukkan garis panduan untuk pendaftaran perkahwinan bawah umur, akhirnya ramai yang tidak mendaftarkan perkahwinan mereka walaupun mengikut hukum syarak perkahwinan mereka sah. Rentetan itu juga, tanpa sijil pendaftaran perkahwinan, anak-anak mereka juga tidak dapat didaftarkan. Maka tidak pelik, ada keluarga yang nenek dan datuk mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah namun anak dan cucu masing-masing tidak berdokumen dan tidak diiktiraf sebagai warga­negara Malaysia.

Tanpa pengiktirafan sebagai warganegara, mereka hidup terpinggir dan tersisih tanpa hak asasi manusia yang asas seperti hak pendidikan dan penjagaan kesihatan. Tahun ini selepas Malaysia dikatakan bernafas baharu dengan pertukaran tampuk pimpinan yang dilihat lebih muda dan segar, apakah golongan rentan dalam negara sudah benar-benar dibantu?

Akhir Jun lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan komitmen kerajaan untuk memperhebatkan sekolah bagi warga Indonesia yang datang, bekerja dan tinggal di Malaysia secara sah. Komitmen ini yang bertujuan memastikan anak-anak warga Indonesia terpelihara wajar disokong kerana memastikan mereka punya pendidikan asas yang akan menjamin masa depan mereka.

Pada masa sama, suka untuk penulis memohon kepada kerajaan agar turut memandang komuniti OTB dengan ihsan yang setanding. Kerajaan harus memastikan juga sekolah-sekolah rakyat yang dibangunkan untuk komuniti OTB diiktiraf, diperhebatkan dan diangkat sebagai wadah membela nasib mereka yang hidup rentan. Pendidikan adalah satu-satunya jalan keluar bagi mereka untuk menjamin kesinambungan hidup bermaruah.

Agak janggal untuk melihat bagaimana di ibu kota, warga Malaysia bermewah-mewah dengan perbincangan tentang kasut putih lawan kasut hitam dan isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC). ­Sedangkan di pedalaman Sabah, anak Bajau Laut meneruskan hidup mereka dalam kedaifan dan keperitan yang tidak dibela. Apakah Malaysia Baharu yang dibina hari ini hanya membela nasib mereka yang memperjuangkan perkara titik bengik?

Sebetulnya mereka yang mahukan pengiktirafan UEC telah berlaku khianat kepada hak kewarganegaraan yang mereka pandang enteng. Sudah berpuluh dekad mereka diangkat sebagai warganegara Malaysia yang sah, namun masih janggal untuk mereka menggunakan bahasa kebangsaan Malaysia.

Penulis berkesempatan menyantuni beberapa buah sekolah rakyat yang diusahakan oleh NGO Haluan Sabah. Di Pusat Pembangunan Minda Insan, murid-murid diajar tentang kesetiaan kepada Raja dan negara dan dididik untuk mencintai identiti, naratif dan sejarah kebangsaan. Walaupun rata-rata pelajar mereka berbangsa Sulu, Bajau Darat dan Pala’u, namun pendidikan mereka memberi penekanan kepada penggunaan bahasa Melayu secara menyeluruh. Mereka malah berbangga untuk menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa yang menyatukan sesama mereka dengan rakyat negara ini.

Benarkah Malaysia Baharu merdeka jika negara masih menidakkan kemerdekaan jiwa mereka yang sudi berpegang teguh kepada jati dirinya? Tanpa kita memahami jati diri kita sebagai sebuah negara, kita akan terus menyusukan kera di hutan sambil melihat anak di pangkuan mati kebuluran.

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ, sebuah NGO gabungan dalam MACSA.