Masyarakat dalam kerajaan berkenaan pada awalnya beradaptasi dengan kesenian, mitologi, sistem tulisan dan astrologi India. Selepas beberapa kurun, aspek kebudayaan India dipribumikan, apabila unsur-unsur tersebut diubah mengikut kesesuaian tempatan.

Dari segi sistem tulisan, aksara Pallava dari India diperke­nalkan di Asia Tenggara sekitar kurun keempat Masihi. Bagaimanapun, selepas kurun ketujuh Masihi, ciri-ciri India pada aksara tersebut mulai pudar, menjadi sistem tulisan tempatan seperti aksara Khmer Kuno, Me­layu Kuno dan Jawa Kuno. Walaupun aksara Pallava berasal dari India, sistem tulisan itu tersebar luas di Indochina, Jawa dan Sumatera, dan digunakan untuk menulis bahasa tempatan.

Bagi monumen keagamaan, kuil Hindu dan Buddha telah dibina mengikut prinsip senibina India (Manasara-Silpa-Sastra) yang diasimilasi dengan ciri kese­nian dan teknologi tempatan.

Dari segi seni arca pula, walaupun kebanyakan patung dan ukiran yang dihasilkan di Jawa, Sumatera dan Indochina memperlihatkan ikonografi dan mitologi Hindu dan Buddha, ia direpresentasi dalam ciri kesenian tempatan. Akhir sekali, keraja­an tersebut telah mengadaptasi teknologi astrologi India dan kalendar Saka.

Oleh itu, jelas bahawa aspek cara hidup, kesenian dan teknologi masyarakat di kerajaan-kerajaan tersebut mempunyai pengaruh India. Elemen tertentu dalam kese­nian dan kepercayaan India menjadi sebahagian kebudayaan dan ketamadunan mereka.

Tetapi, perlu diingatkan bahawa masyarakat rantau Asia Tenggara memiliki bentuk pe­nerimaan terhadap kebudayaan India dalam kadar berlainan. Masyarakat di kawasan berbeza memberi reaksi yang berbeza terhadap hubungan mereka dengan para pendatang India.

Walaupun kebudayaan di Indochina, Jawa, dan sebahagian Sumatera menyerap masuk penga­ruh agama dan kesenian India dalam proses Indianisasi, hal ini tidak bermakna masyarakat kawasan lain di Asia Tenggara turut mengalami perkara sama.

Kadar penyerapan amat bergantung kepada jumlah populasi dan bentuk penempatan, struktur politik, ciri geografi dan persekitaran alam, struktur ekonomi serta ciri demografi. Indianisasi adalah proses evolusi kebudayaan yang melibatkan interaksi berterusan dan kompleks antara kerajaan dan masyarakat pribumi tempatan de­ngan golongan Brahman yang memiliki ilmu dan kepakaran dalam hal-hal ke­senian dan keagamaan.

Bagaimanapun, untuk menghasilkan kebudayaan campuran tersebut, proses asimilasi dan pembauran kepercayaan dan kese­nian tempatan dengan India memerlukan jangka masa panjang. Pada masa sama, bagi menampung perubahan tersebut, perlu wujud jumlah populasi yang besar dan struktur penempatan tetap, hierarki politik dan struktur birokrasi yang kukuh dan tersusun, tanah pertanian yang luas serta bentuk pembahagian wilayah dan demografi yang jelas.

Kerajaan seperti Angkor, Campa, Srivijaya, Mataram Kuno dan Majapahit memiliki ciri-ciri khas tersebut yang memberi ruang dan masa untuk konsep kepercayaan dan kesenian India diterima penduduk tempatan dan dijelmakan ke dalam bentuk material yang ketara seperti bangunan, arca dan prasasti.

Kini, timbul persoalan, sama ada kerajaan Kedah Tua yang berkembang sezaman dengan kerajaan-kerajaan Hindu-Buddha tersebut mengalami proses sama?

Teori kolonialisasi dan Indiani­sasi yang dicadangkan oleh para pengkaji terdahulu telah meletakkan perkembangan kebudayaan masyarakat Kedah Tua selari de­ngan masyarakat di Indochina, Jawa, dan sebahagian Sumatera.

Penemuan arkeologi seperti candi Hindu-Buddha, arca dan prasasti di Lembah Bujang dijadikan bukti kepada hujah-hujah mereka.

Pada mulanya, teori koloniali­sasi yang dicadangkan oleh H. G. Quaritch-Wales menyatakan bahawa penduduk Kedah Tua menerima kebudayaan India secara sepenuhnya tanpa diubah suai.

Seterusnya, teori Indianisasi yang dicadangkan oleh Alastair Lamb dan dikembangkan oleh Profesor Datuk Nik Hassan Shuhaimi pula menyatakan bahawa penduduk Kedah Tua telah meng­ubah suai kebudayaan India mengikut selera tempatan.

Hujah yang digunakan terma­suklah penggunaan sumber tempatan untuk pembinaan candi Lembah Bujang, kewujudan pelapik tiang yang hampir sama dengan ciri senibina Melayu, serta penemuan relikuari (peti batu yang mengandungi barang-barang suci yang ditanam bawah candi) yang memiliki persamaan dengan candi di Jawa dan Sumatera.

Dinyatakan bahawa penemuan-penemuan tersebut adalah ciri khusus kebudayaan masyarakat Hindu-Buddha Me­layu Kedah Tua yang berevolusi di Lembah Bujang bermula dari zaman prasejarah.

Permasalahan wujud apabila mekanisme perubahan sosial masyarakat Kedah Tua dari segi kepercayaan dan kesenian masih belum dapat dite­rangkan secara sistematik.

Asosiasi antara artifak dan masyarakat pula tidak disertakan dengan penerangan tentang bentuk evolusi kebudayaan dari zaman kebangkitan hingga ke keruntuhan Kedah Tua.

Penemuan arkeologi yang wujud hingga kini masih belum cukup untuk memberi kesimpulan jelas mengenai persoalan kebudayaan Kedah Tua. Hal ini kerana bentuk penemuan cuma terdiri daripada runtuhan candi kecil, serpihan arca dan prasasti ringkas.

Penemuan sebegini membuka ruang kepada pelbagai bentuk tafsiran lain mengenai konteks kebudayaan artifak dan monumen tersebut.

Oleh itu, teori Indianisasi yang menyatakan bahawa masyarakat Kedah Tua secara umum­nya ber­asimilasi dengan beberapa elemen kebudayaan India masih boleh diperdebatkan lagi.

Hal ini kerana, di samping tafsiran terhadap penemuan arkeo­logi, beberapa aspek lain yang turut menggambarkan persekitaran sosial masyarakat perlu diteliti bagi meletakkan data arkeologi pada konteks sebenarnya.

Demi membincangkan perkara ini, dua aspek kajian utama perlu dipertimbangkan:

1. Ciri-ciri persekitaran alam Kedah Tua dan faktor demografi-populasi.

2. Penemuan arkeologi dan konteks kebudayaannya.

Ketika perkembangan Kedah Tua antara kurun keenam Sebelum Masihi sehingga kurun ke-14 Masihi, bentuk muka bumi Lembah Bujang pada ketika itu adalah jauh berbeza dengan kini.

Pada ketika itu, Sungai Merbok adalah sebuah teluk yang amat besar merangkumi kawasan dari kaki Gunung Jerai di utara, sehingga ke Sungai Batu di Barat dan Kampung Sungai Mas di Selatan.

Dari segi persekitaran flora, di samping kawasan pinggir su­ngai dan pinggir pantai, kawasan pedalaman Kedah tua kemungkinan besar diliputi hutan tebal. Keberadaan sebuah teluk besar dan terlindung di Kedah Tua membolehkan banyak kapal boleh berlabuh dengan selamat.

Pada masa sama, wujudnya garis pantai di sepanjang teluk purba ini, dan lembah sungai memberi ruang untuk berkembangnya penempatan awal. Bagaimanapun, bentuk muka buminya tidak membolehkan wujud kawasan pertanian yang besar.

Berdasarkan kajian, Lembah Bujang tidak mampu menampung lebih 20,000 orang di kawasan pesisir dan pedalaman. Dari segi penempatan pula, demografi masyarakat awal Kedah Tua kemungkinan besar terdiri daripada penempatan pesisir pantai (Kampung Sungai Mas, Pengkalan Bujang) serta pinggir sungai (Simpor Tambang, Kampung Sireh, kompleks Sungai Batu) yang di­diami masyarakat pesisir pantai dan komuniti peda­gang asing.

Kawasan lembah sungai yang agak jauh dari pesisir kemung­kinan dihuni oleh golongan petani manakala kawasan pedalaman yang dilitupi hutan tebal didiami golongan pemburu-pemungut.

Dari segi demografi dan populasi, ma­syarakat awal Kedah Tua terdiri daripada penempatan pesisir pantai dan lembah sungai, dengan po­pulasi yang relatifnya kecil.

Kemungkinan besar wujud pertanian, tetapi cuma cukup untuk menampung populasi setempat sahaja.

PENULIS ialah pensyarah kanan di Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (USM).