Tinggalan yang wujud sehingga kini cuma struktur kaki candi berupa Vimana-Mandapa, ciri umum yang dimiliki oleh semua kuil Hindu-Buddha di India dan Asia Tenggara. Berdasarkan penemuan pelapik tiang granit, diketahui bahawa bahagian badan candi diperbuat daripada kayu dan kebanyakan saiznya tidak melebihi 15 meter panjang dan lebar.

Struktur senibinanya pula sa­ngat ringkas. Hampir kesemua arca ditemui di kawasan sekitar Sungai Bujang dan Kampung Sungai Mas, dua pusat pelabuhan utama Kedah Tua. Arca-arca tersebut bersaiz kecil dan mudah diangkut, atau memiliki pembuatan yang agak kasar.

Dari segi seni ikonografi, tidak wujud keseragaman yang membolehkannya ditakrifkan sebagai hasil kesenian masyarakat tempatan. Bagi prasasti pula, cuma ditemui 16 buah di Lembah Bujang.

Kecuali prasasti Cheruk Tokkun, kesemuanya pendek dan mengandungi mantera ringkas agama Buddha, menggunakan aksara asing, seperti Pallava dari India dan Jawa Kuno dari Mataram Kuno serta Majapahit.

Hasil pemerhatian, penemuan tersebut dikatakan mewakili 1700 evolusi kebudayaan masyarakat Kedah Tua membuka perdebatan mengenai teori Indianisasi. Saiz kecil, kasar pembuatannya dan lokasi yang cuma tertumpu di kawasan pedagang menimbulkan tanda tanya: Benarkah majoriti candi, arca dan prasasti di Lembah Bujang adalah hasil tinggalan kebudayaan masyarakat tempatan di Kedah Tua?

Teori Indianisasi secara umum­nya melihat penemuan ter­sebut sebagai hasil tinggalan kebudayaan masyarakat Kedah. Namun perkara ini masih boleh ditafsir dari sudut pandang berbeza jika faktor lokasi penemuan, persekitaran, geografi serta populasi-demografi masyarakat Kedah Tua dipertimbangkan.

Jane S. Allen, ahli arkeologi dari Amerika Syarikat menyatakan candi-candi di situ dibina untuk kegunaan para pedagang India, bukan mewakili kebudayaan penduduk tempatan.

Tambahnya, hubungan eko­no­mi antara pedagang India dan penduduk tempatan di Kedah Tua tidak semestinya boleh membawa kepada proses India­ni­sasi terhadap kebudayaan ma­syarakatnya.

Hujah ini seterusnya disokong oleh Michel Jacq Hegoualc’h yang menyatakan bahawa candi-candi di Lembah Bujang dibina oleh para pedagang India dan diselia oleh golongan Brahman. Jika diteliti semula penemuan arkeologi di Lembah Bujang, panda­ngan kedua-dua sarjana tersebut memiliki justifikasi agak kukuh.

Secara umumnya, jika diperhatikan pelan senibina candi Lembah Bujang, persamaan jelas dilihat dengan monumen di India Selatan. Penggunaan bata, laterit, granit, batu sungai dan juga kayu selaras dengan tatacara pembinaan kuil India, dan tidak semestinya mewakili kesenian Melayu.

Penemuan arca daripada serpihan arca yang kecil dan tidak lengkap, serta pembuatan yang kasar juga memberi gambaran seolah-olah arca di Lembah Bujang sama ada dibawa masuk dari luar ataupun dihasilkan secara tergesa-gesa.

Bagi prasasti pula, pertimbangan terhadap ciri aksara, saiz prasasti dan jenis medium serta isi kandungannya kemungkinan besar menunjukkan tidak mewakili pemahatan masyarakat tempatan. Ciri-ciri tersebut dapat diterangkan oleh lokasi Kedah Tua yang terletak di pintu masuk Selat Me­laka menjadikannya kawasan persinggahan penting para pedagang dari barat, terutama India.

Para pedagang perlu tinggal di Kedah Tua sekurang-kurangnya tiga atau empat bulan sementara menunggu pertukaran angin monsun. Oleh yang demikian, wujud komuniti pedagang India dan perkara ini dibuktikan dengan rekod Arab.

Penulisan Mukhtasar al-ajāib menyatakan bahawa Kalah-Bar (Kedah Tua) didiami oleh orang India.

Keberadaan komuniti pedagang India sementara tersebut membawa kepada perlunya dibina rumah-rumah ibadat kecil untuk kegunaan mereka.

Walaupun kerja-kerja mendirikan candi diselia dan dibiayai oleh golongan pedagang, tenaga kerja dan teknologi pembakaran kemungkinan besar dimiliki oleh masyarakat pribumi Kedah Tua.

Bentuk kebudayaan masya­rakat Kedah Tua mengalami bentuk evolusi yang berbeza jika dibandingkan dengan masyarakat di Indochina, Jawa dan Selatan Sumatera yang benar-benar mengalami proses Indianisasi.

Perbezaan jelas dari segi jumlah populasi, keadaan sosioekonomi, serta struktur demografi dan wilayah.

Evolusi kebudayaan yang boleh membawa kepada proses Indianisasi memerlukan populasi besar, tanah pertanian yang luas dan struktur politik serta hierarki sosial yang utuh.

Pada masa sama, masyarakatnya turut perlu memiliki bentuk kesenian dan kebudayaan material pra-Indianisasi yang sesuai, supaya ciri-ciri kebudayaan India boleh diterjemahkan ke dalam bentuk kesenian tempatan. Hal ini dapat dilihat pada perkembangan peradaban masyarakat pra-Angkor, Srivijaya dan Mataram Kuno, ke­semuanya memiliki kesemua ciri penting tersebut.

Populasi yang besar dengan pembahagian wilayah jelas serta struktur politik utuh memberikan kestabilan sosial kepada masyarakatnya untuk secara perlahan-lahan menyerap unsur kebudayaan India. Namun ke­adaan jauh berbeza di Kedah Tua yang wujud sebagai penempatan pesisir pantai dan pinggir sungai. Kedatangan pedagang India sedikit-seba­nyak mempengaruhi kebudayaan masyarakat tempatan, tetapi tidak sehingga mencapai tahap berlakunya proses Indianisasi.

Jika pun wujud kelompok masyarakat tempatan di Kedah Tua yang beradaptasi dengan kebudayaan India, jumlah mereka kemungkinan amat sedikit, dan terdiri daripada golongan peme­rintah atau pedagang tempatan yang memiliki hubungan berterusan dengan pedagang India.

Kedah Tua bukan sahaja dihuni oleh pedagang India, tetapi turut didiami oleh komuniti pedagang dari Jawa, Sumatera, Arab dan China.

Hal ini menunjukkan bahawa pelabuhan Kedah Tua juga wujud sebagai sebuah metropolitan yang dihuni oleh komuniti pedagang pelbagai kaum.

Masyarakat Melayu ketika itu memainkan peranan dominan atas kebolehan mereka menjalankan aktiviti perdagangan dan menguruskan keperluan para pedagang tersebut.

Bagi konteks kebudayaan masyarakat Melayu Kedah Tua, kewujudan candi, arca atau prasasti di Lembah Bujang tidak seharusnya dijadikan kayu ukur kepada tahap peradaban mereka. Hal ini kerana masyarakat tersebut memiliki struktur penempatan, bentuk adaptasi terhadap alam serta kebudayaan material yang berbeza berbanding dengan kerajaan Asia Tenggara lain yang mengalami proses Indianisasi.

PENULIS ialah pensyarah kanan di Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (USM).