ketiadaan ECRL yang ditulis oleh Choo Guan Huah disiarkan dalam Kolum ODN halaman 46.

Keputusan kerajaan PH membatalkan ECRL yang dibuat berdasarkan pertimbangan politik dan bukan ekonomi menyebabkan projek yang telah dirancangkan dengan tersusun menjadi kelam-kabut dan musnah.

Ketika kerajaan PH di peringkat Pusat bersungguh-sungguh membatalkan ECRL, kerajaan Pulau Pinang telah meluluskan sebanyak RM17 bilion daripada kos keseluruhan RM46 bilion yang dianggarkan bagi projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP). Pinjaman mudah daripada Kerajaan Persekutuan dipercayai akan digunakan bagi melaksanakan projek terbabit.

Kenapakah kerajaan DAP Pulau Pinang membazirkan wang sehingga RM17 bilion bagi me­laksanakan projek Transit Rel Ringan (LRT) Laluan Bayan Lepas dan Lebuh Raya Pan Island Link 1 sedangkan hasil pungutan cukai di negeri itu hanya sebanyak RM1.1 bilion setahun?

Cukup menghairankan Kerajaan Persekutuan masih mahu memberikan pinjaman mudah ter­hadap projek yang dijangka men­catatkan kerugian lebih RM100 juta setahun. Kenapa ke­rajaan ada duit pula untuk membantu kerajaan Pulau Pinang sedangkan keseluruhan PTMP termasuk pembinaan terowong bawah laut pada fasa kedua adalah sebanyak RM46 bilion iaitu hampir me­nyamai kos ECRL sebanyak RM50 bilion?

Projek ECRL dibatalkan kerana dikatakan mahal dan akan menyebabkan negara muflis oleh kerajaan PH yang memungut cukai sebanyak RM200 bilion setahun. Penulis berpendapat negara ini bukan tiada duit untuk membina ECRL, tetapi berpunca daripada pembahagian hasil yang bermasalah.

Kerajaan PH tidak melabur wang di tempat yang sepatutnya mereka labur sebaliknya membelanja duit di tempat-tempat yang tidak sepatutnya. Ini berpunca daripada masalah pemikiran pemimpin negara dunia ketiga yang hanya mahu membawa pembangunan ke negeri-negeri yang mereka menang dan tidak mahu memberi walau sesen pun kepada negeri-negeri yang dipe­rintah pembangkang.

Antara alasan tidak masuk akal untuk membatalkan projek ERCL adalah jumlah penduduk tidak ramai di Pantai Timur. Pihak yang memberikan hujah terbabit cuba melupakan hakikat tujuan utama projek adalah untuk membawa kargo. Sebab itu mempunyai sambungan sehingga ke Pelabuhan Klang.

Jika dikaitkan kekurangan bilangan penduduk untuk tidak membangunkan infrastruktur se­suatu kawasan, kenapakah Pre­siden Amerika Syarikat (AS) Ke-16, Abraham Lincoln membina landasan kereta api merentasi Pantai Barat negara itu sedangkan kawasan terbabit tandus dan tiada penghuni? Selepas projek terbabit siap, barulah bilangan penduduk meningkat.

Kerajaan tidak boleh menggunakan alasan untung rugi untuk tidak membangunkan infrastruktur bagi kemudahan rakyat. Ki­raan untung rugi hanya sesuai untuk syarikat yang menjalankan perniagaan dan bukan dijadikan hujah utama untuk kerajaan tidak menjalankan sesuatu projek.

Jika kerajaan terdahulu me­ngambil kira untung rugi sebagai garis panduan untuk membina infrastruktur, sudah tentu projek Lebuh Raya Utara Selatan tidak dilaksanakan. Projek itu ternyata telah membantu membangunkan kawasan di sekitar­nya.

Sikap kerajaan PH untuk tidak membangunkan infrastruktur yang boleh memberikan manfaat pada jangka panjang dengan alasan berjimat cermat tetapi pada waktu sama melabur dalam infrastruktur lain yang tidak penting seperti PTMP akan menyebabkan ekonomi Malaysia menjadi lebih teruk.

Walaupun apa keputusan kerajaan Malaysia, projek One Belt One Road (OBOR) diterajui China akan tetap diteruskan dan Thailand dijangka menjadi negara paling banyak mendapat manfaat sebagai hentian kereta api utama di rantau ini apabila semua laluan rel di negara itu yang bersambung dengan China siap pada 2021.

MAJU JIKA SERIUS BANGUN EKONOMI 


USAHA kerajaan PH untuk membangunkan Malaysia dan memastikan negara ini tidak terus dibelenggu beban hutang turut diulas akhbar Oriental Daily News bertarikh 3 September 2018.

Artikel ditulis Sun Hoh Seng bertajuk Hidup kerana ekonomi, mati kerana politik disiarkan dalam ruangan Kolum ODN halaman 48.

Bagaimana Singapura dapat mencapai kegemilangan ekonomi dan berjaya menarik lebih 500,000 rakyat Malaysia untuk be­kerja di sana? Apakah rahsia Singapura sedangkan republik itu sangat dekat dengan negara kita dan hanya dipisahkan oleh jambatan pendek?

Kenapa Malaysia tidak menjumpai rahsia ber­ke­naan? Perkara itu perlu dikaji dan dibincangkan dengan sedalam-dalamnya. Untuk me­­mulakan perbincangan, sa­tu ungkapan paling sesuai ba­gi merujuk situasi kedua-dua negara adalah Singapura hidup kerana ekonominya manakala Malaysia mati di­sebabkan politiknya. Ungkapan itu kelihatan agak keras dan sudah tentu akan me­ngundang kemarahan sesete­ngah pihak.

Tetapi itulah hakikatnya. Se­perti China, Singapura boleh dikategorikan sebagai negara yang mengamalkan authorita­rian capitalism iaitu tidak memberikan kebebasan kepada mana-mana pihak untuk menggunakan politik bagi mencapai agenda kumpulan atau kaum tertentu tetapi memberi kebebasan kepada semua pihak untuk menjalankan perniagaan sehingga ekonomi menjadi begitu cemerlang.

Contohnya, pada 1971, Malaysia telah mewujudkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) berikutan desakan kumpulan politik ter­tentu dengan memperkenalkan pelbagai syarat yang menyukarkan syarikat asing melabur di Bursa Malaysia. Singapura tidak mempunyai sekatan sedemikian sebaliknya berpegang pada sistem ekonomi bebas sehingga menyebabkan syarikat asing berlumba-lumba memasuki bursa republik itu.

Untuk membangunkan nega­ra, kerajaan PH tiada pilihan ke­cuali mengikuti kaedah Si­ngapura yang telah ditiru banyak negara lain termasuk China. Oleh itu, mulai sekarang, kerajaan PH tidak boleh lagi memperkenalkan dasar yang bertujuan mendapat soko­ngan pengundi dari segi politik sebaliknya berilah tumpuan untuk membangunkan ekonomi negara supaya semua rakyat mendapat pekerjaan, memiliki rumah dan wang simpanan banyak.