Dari semasa ke semasa, adegan politik yang ditunjukkan oleh DAP, PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PAN semakin menyerlahkan kepalsuan kerjasama serta hipokrit politik mereka.

Dalam hal ini, penulis menggariskan beberapa perkara berkaitan politik pakatan pembangkang yang membuktikan betapa celarunya parti-parti tersebut dalam misi mereka untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Keengganan Pas untuk turut berada dalam kerjasama turut memberi kesan besar kepada pakatan pembangkang yang hakikatnya mahu memperalatkan kekuatan parti itu bagi mencapai cita-cita politik mereka.

Siapa Perdana Menteri?

Sehingga ke hari ini tidak ada kesepakatan siapakah yang akan dilantik sebagai Perdana Menteri jika ditakdirkan pakatan pembangkang menang dalam PRU-14. Kesemua parti-parti tersebut mempunyai calon dan perancangan sendiri.

PKR mahukan Datuk Seri Anwar Ibrahim, DAP mahukan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, PPPBM pula cenderung mahukan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir manakala PAN tidak kisah sesiapapun kerana mereka hanyalah 'pak turut’ dalam pakatan tersebut.

Keadaan itu menyebabkan rakyat menjadi keliru siapakah sebenarnya akan menjadi Perdana Menteri. Ada juga cerita-cerita bahawa Pengerusi PPBM, Tun Mahathir Mohamad akan kembali ke jawatan itu untuk sementara manakala jawatan Timbalan Perdana Menteri akan diberikan kepada Wan Azizah juga bagi tempoh sementara.

Kenapa sementara? Ia kerana kononnya jawatan Perdana Menteri akan diserahkan kepada Anwar manakala jawatan Timbalan Perdana Menteri akan diberikan kepada Mukhriz.

Itu antara cerita-cerita yang didengar sama ada betul atau tidak, ia soal kedua kerana politik juga tidak terlepas daripada cakap-cakap atau gosip.

Apapun setakat ini belum ada kata putus siapa akan menjadi Perdana Menteri, tetapi yang pasti DAP 'tidak berminat’ kerana bagi mereka tumpuan adalah untuk memenangi lebih banyak kerusi dalam pilihan raya.

Kalau itu dapat dilakukan, kenapa perlu mahu menjadi Perdana Menteri, jika individu yang menduduki jawatan itu remote control di tangan DAP?

Siapa paling berkuasa?

Suatu ketika dahulu semasa masih dalam kerajaan Dr.Mahathir pernah mengkritik DAP kerana menganggap parti itu mempunyai struktur organisasi yang agak mengelirukan.

Ini memandangkan inividu yang memegang jawatan Setiausaha Agung lebih berkuasa daripada Pengerusi.

Tetapi malangnya apabila PPBM ditubuhkan, Dr.Mahathir yang menjadi Pengerusi parti itu dilihat lebih berkuasa daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan Presiden parti manakala anak Dr. Mahathir, Datuk Seri Mukhriz pula Timbalan Presiden.

Setakat ini, kita melihat sama ada Muhyiddin mahupun Mukhriz tidak mempunyai kewibawaan seperti Dr.Mahathir. Mungkin atas sebab itulah percaturan politik PPBM lebih banyak diatur oleh bekas Perdana Menteri tersebut.

Muhyiddin tidak banyak bersuara begitu juga Mukhriz. Mungkin kedua-dua mereka menyedari kalau bersuara pun tiada guna kerana akhirnya apa juga tindakan perlu mendapat restu Dr. Mahathir termasuklah dalam soal kerjasama dengan Pas.

Dr. Mahathir bagaikan sudah membuat keputusan tidak mahu bekerjasama dengan Pas dan lebih cenderung untuk menjaga hati DAP.

Justeru kalaupun Muhyiddin dan Mukhriz mahu mewujudkan kesepakatan dengan Pas, ia belum tentu akan menjadi kenyataan.

Mahu kawan atau bermusuh

Ketika PKR masih menaruh harapan untuk terus bekerjasama dengan Pas. DAP pula terus menjadikan Pas sebagai 'musuh paling nyata’. Dari semasa ke semasa DAP terus menyerang Pas dan sama sekali tidak mempunyai perasaan hormat kepada Pas.

Mereka menentang apa juga langkah politik Pas sehingga Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari mempersoalkan mengapakah Pas tidak meninggalkan sahaja perjuangan melalui pilihan raya dan menjadi tabligh atau tarekat sufisme.

Ternyata perjuangan Islam Pas tidak dihormati oleh pemimpin-pemimpin DAP, sebaliknya ia hanya dijadikan bahan sindiran seperti mana dilakukan oleh Zairil.

Dalam soal ini, sudah tentulah ia akan menjauhkan lagi Pas daripada pakatan pembangkang kerana mereka memahami walaupun PKR mahu bekerjasama tetapi ia tidak akan ke mana memandangkan DAP juga adalah sekutu PKR dan sebelum ini dilihat lebih banyak menyebelahi DAP berbanding Pas.

Bagaikan ayam jantan berkokok kuat...

Salah satu perangai pelik pembangkang ialah hanya melihat kesalahan pemimpin dan parti kerajaan sahaja.

Kalau ada isu berkaitan dengan kelompok itu, mereka akan terpekik terlolong mendesak supaya individu terlibat bercuti dan membawa usul tergempar di Dewan Undangan Negeri.

Apabila usul itu ditolak atau kehendak mereka tidak dipenuhi maka akan bergema pelbagai tuduhan kepada parti kerajaan.

Tetapi yang anehnya, jika benar mereka ikhlas, jujur dan mahu menegakkan keadilan, langkah yang sama perlu dilaksanakan kalau ada pemimpin mereka terlibat.

Namun ia tidak berlaku. Keadaan itu boleh dilihat di Pulau Pinang dan Selangor. Tidak perlu penulis nyatakan kesnya, apa yang pasti pakatan pembangkang mengamalkan double standard dalam amalan politik mereka.

Inilah yang dikatakan bagaikan ayam jantan berkokok kuat, ekor bergelumang dengan najis!

DAP tetap 'taiko'

Salah satu isu paling kritikal dalam pakatan pembangkang dan akan menjadi kecelaruan terbesar ialah siapakah yang akan bertanding lebih banyak kerusi dalam PRU-14.

Setakat ini, DAP akan terus kekal dengan status quo untuk bertanding di kerusi miliknya. Tidak ada secebispun desas-desus bahawa mereka akan menyerahkan kerusi sama ada Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada dua parti baru iaitu PAN dan PPBM.

Sebaliknya, DAP seolah-olah membiarkan urusan itu diselesaikan sendiri antara PKR,PAN dan PPBM. DAP bertindak demikian kerana memahami sebarang tindakan menyerahkan kerusi mereka hanya akan menyebabkan parti itu kehilangan pengaruh dalam pakatan.

Oleh itu dalam apa keadaan sekalipun DAP tetap mahu menjadi 'taiko’ dalam pakatan pembangkang. Sebab itulah DAP tidak kisah siapapun yang akan menjadi Perdana Menteri kerana dengan menguasai kerusi majoriti dalam pakatan tersebut, maka mereka berhak melakukan percaturan politik berhubung gabungan berkenaan.

Kesimpulannya, pakatan pembangkang penuh kecelaruan dan mereka bergabung semata-mata mahu merebut kuasa, itu sahaja. Justeru rakyat tidak boleh menggadaikan masa depan negara kepada kesepakatan politik seumpama itu.