Umat Islam umpamanya sudah mempunyai agama untuk dijadikan pedoman. Sama ada menganut agama berasaskan keturunan tanpa mempunyai ilmu yang cukup atau pun melakukan ibadah tanpa kefahaman dan menghubungkan ibadah sebagai amalan rohaniah (ritual) semata-mata atau rutin biasa dalam beragama.

Islam tidak saja mengatur hubungan manusia dengan Pencipta supaya sifat kepatuhan terbina tetapi mengatur hubungan manusia sesama manusia dan juga sistem. Aki­dah tauhid umpamanya menjadi pancang mengukuh­kan iman, keyakinan dan takwa. Ibadah dalam Islam menjadikan kita hamba Allah yang taat, patuh, dan tunduk terhadap kebaikan dan menolak kemungkaran.

Akibat kekontangan ilmu yang benar menyebabkan pemikiran yang baik tidak terbina. Pemikiran menjadi kacau dan bercelaru akibat kehilangan pedoman. Lalu penyimpangan mudah terjadi dan kesesatan boleh berlaku. Ini menyebabkan sikap dan pendirian berubah-ubah. Tidak ada istiqamah dalam pendirian yang selari dengan syarak. Kehidupan dilalui ikut citarasa dan dorongan nafsu yang melulu dan membawa kepada akibat buruk.

Bila sikap dan pendirian begini diwarisi lebih terdedah melihat warga umat yang namanya Islam tetapi akhlak pekertinya menggambarkan sebaliknya. Ia mudah tewas dengan pengaruh kebendaan dan nafsu-nafsi sama ada dalam memahami dan melalui hidup hari-hari, pengaruh persekitaran yang merosakkan dan cabaran teknologi baru yang digunakan tanpa etika dan pedoman.

Apa lagi wujud suasana kebebasan tanpa batas meniru hak asasi manusia ala Barat yang boleh membawa kepada laluan yang salah. Beragama memberikan manusia batasan boleh dan tidak boleh. Ibarat memandu kereta di jalan raya perlukan pedoman dan mematuhi isyarat. Kalau jalan raya itu dilalui sesuka hati perlanggaran boleh berlaku dan akibat buruk boleh terjadi terhadap pemandu dan penumpang.

Yang memandu warga umat suatu kehidupan yang terarah adalah jenis ilmu yang diperoleh, pedoman Rasulullah SAW yang menjadi contoh supaya antara prinsip dan pegangan menjadikan pemikiran lebih terpandu dan corak amalan berada di jalan yang makruf.

Sebab itu maksud ibadah dan syariah dalam Islam memberikan kita daya kawalan diri, memberikan arah dan batasan boleh dan tidak boleh supaya kehidupan terpandu zahir dan batin. Hikmah di sebalik solat um­pamanya menghubungkan diri kita dengan Pencipta supaya komunikasi rohaniah yang berlangsung membawa jiwa ketaatan, ketundukan, kepatuhan dan keakuran terhadap suruhan dan larangan Allah.

Menuntut ilmu dan melalui proses pendidikan harus mampu membentuk watak manusia yang tidak saja akal fikirnya tangkas tetapi elok hati budinya supaya akhlak dan amalannya terpancar dalam reda Allah. Masalah manusia hari ini ialah menderita penyakit kehilangan adab akibat proses pengilmuan dan pendidikan tidak terbina dari sumber yang fitrah.

Teknologi hari ini tidak dilihat sebagai alat tetapi ia juga sebagai matlamat. Lalu teknologi digunakan semahu-mahunya tanpa mengambil kira kepentingan etika dan adab menyebabkan tingkah-laku dalam menggunakannya melampaui batas.

Hatta terdapat kecenderungan memakai tudung masa kini dilihat sebagai fesyen semata-mata tidak sebagai simbol kawalan diri daripada keburukan dan kemungkaran. Kawalan diri terhadap mulut, mata, telinga, pergaulan dan tingkah laku yang menggambarkan watak Islami tidak berlaku. Ini menyebabkan kecelaruan mengambil tempat. Sama ada menjadi orang Islam pada nama dan keturunan atau pun menjadi orang Islam yang tingkah lakunya tidak menjadi contoh ikutan dalam ilmu dan akhlak yang menyebabkan salah faham terhadap umat Islam terjadi.

DATUK DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).