Mana tidaknya, umum mengetahui pembangkang banyak meraih kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen pada PRU-13 menerusi DAP yang secara langsung menunjukkan merekalah parti yang dominan dalam kumpulan pembangkang.

DAP juga merupakan satu-satunya parti pembangkang yang tulen sejak dahulu lagi menentang Kerajaan Persekutuan dalam usaha menjadi pentadbir negara kerana kononnya boleh bertindak dengan lebih baik daripada kerajaan sedia ada.

Sungguhpun begitu, kira-kira dua tahun lalu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ditubuhkan dan siapa sangka Pengerusinya adalah seseorang yang bernama Tun Dr. Mahathir Mohamad iaitu Perdana Menteri keempat.

Dalam hal ini, PPBM yang dilihat sebagai parti bidan terjun telah menyebabkan berlakunya kecelaruan serta ketidaktentuan dalam Pakatan Harapan yang diketuai DAP melibatkan PKR dan PAN.

Mana tidaknya, pakatan tersebut yang sebelum ini seringkali senada dalam menghentam serta mengutuk Dr. Mahathir kini terpaksa akur dengan telunjuk beliau meskipun PPBM baru sahaja ditubuhkan berbanding parti lain dalam kalangan pembangkang.

Semalam, dalam majlis Jelajah Harapan Melaka 2018 di negeri itu yang turut dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden PAN, Mohamad Sabu dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook, jelas sekali Dr. Mahathir lebih menyerlah berbanding pemimpin pembangkang yang lain.

Pakatan tersebut bercita-cita untuk mengambil-alih tampuk kepimpinan negara, namun PPBM yang baharu ditubuhkan lebih dominan, malah seperti mengajar parti pembangkang yang lain cara-cara berpolitik.

Bayangkan sahaja, demi memancing undi orang Melayu, DAP sanggup mengorbankan kerusi mereka dan memberi laluan kepada PPBM dalam PRU-14. Adakah mereka sudah sedar cita-cita mereka sekadar angan-angan ataupun DAP mempunyai strategi lain?

Jika inilah caranya, bagaimana mereka mahu membentuk kerajaan suatu hari nanti kerana sudah pasti perbalahan dalam perebutan jawatan akan berlaku kerana hari ini pun, terdapat kekecohan di peringkat negeri melibatkan parti pembangkang berhubung pengagihan kerusi dalam PRU-14.

Sedangkan Dr. Mahathir yang dituduh sebagai Mahafiraun pada suatu masa dahulu pun dijulang. Begitu juga dengan Dr. Mahathir yang dulunya anti-DAP serta tidak sebulu dengan keluarga Wan Azizah tetapi kini kononnya berada dalam kapal yang sama.

Kini, Dr. Mahathir berucap di atas pentas sambil mengutuk kerajaan yang pernah dipimpinnya suatu masa dahulu. Tidak terlepas juga Muhyiddin yang kononnya keluar daripada Barisan Nasional (BN) kerana mendakwa parti itu sudah tidak dapat diselamatkan.

Bagaimana nak percaya dengan pakatan sebegini apabila calon Perdana Menteri dan timbalannya pun hanyalah sementara tanpa ada siapa pun yang mengetahui calon kekal yang sebenar?

Masih terdapat persoalan yang tidak mempunyai jawapan jelas. - UTUSAN ONLINE