Ironinya, kes buli ini juga berlaku di sekolah agama tahfiz, yang mengajar anak-anak ilmu akhirat dan dilakukan pula oleh guru di sekolah tahfiz itu sendiri, seperti yang pernah didedahkan di dada akhbar baru-baru ini. Maknanya kes membuli ini dilakukan oleh orang dewasa dan anak muda yang bijak atau terpelajar, yang sepatutnya boleh berfikir mana yang baik dan mana yang buruk. Mengapakah hal ini terjadi?

Faktor utama yang menyebabkan terjadi peristiwa ini adalah kerana sistem pendidikan yang lebih menekankan IQ dan penilaian dari segi EQ dikesampingkan. IQ (Intelligence Quotient) adalah kebolehan atau kecerdasan intelektual seseorang, memikirkan, menganalisis, menghuraikan, menterjemah dan menguasai sesuatu perkara dan fakta (logik akal).

EQ (Emotional Quatient) adalah kebolehan atau kecerdasan emosi seseorang untuk mengawal, memberi reaksi dan respons ketika berhadapan dengan sesuatu situasi (perasaan).

Sedangkan EQ lebih penting, kerana ia menentukan sikap seseorang, terutama dalam pergaulan dengan masyarakat. Magnet dan aura diri bergantung kepada emosi kita. Jika emosi negatif, magnet dan aura diri kita negatif, kesannya kita akan menarik banyak perkara negatif dalam hidup kita.

Pembangunan EQ akan membuahkan kecerdasan emosi yang berkeupayaan untuk memahami diri sendiri dan diri orang lain serta untuk merasa emosi orang lain yang hidup bersama kita. Satu lagi yang perlu dibangunkan adalah SQ (spritual Quatient ) atau kecerdasan spritual. SQ bermakna kita tahu dari mana kita datang kenapa kita dilahirkan dan ke mana kita hendak pergi selepas ini.

Dalam sistem pelajaran sepatutnya, polisi pendidikan dari tadika hingga universiti, ditekankan kepada sistem pendidik untuk belajar bukan untuk menjadi pandai sahaja, tetapi belajar untuk menjadi baik. Sebab baik itu di hati. Kita jumpa orang, kita suka akan orang itu kerana kebaikannya, iaitu kelebihan daripada segi (EQ), bukan kerana kecerdikan atau kecantikan daripada (IQ).

Kes buli berlaku, kerana sifat kekejaman, disebabkan sudah tiada rasa simpati, sayang dan sabar. Jom audit, sifat yang bagaimanakah yang kita hendak bina pada keluarga kita?

Bagaimanakah kita boleh mengenali atau mengesani anak-anak kita yang memiliki sikap negatif, supaya jangan terjadi secara tidak kita sedari, kita telah memupuk pembuli di rumah kita sendiri? Kaedahnya gunakanlah konsep dan prinsip pendidikan dalam Islam, yang menekankan pendidikan anak-anak itu bermula sejak anak berusia 0-7 tahun.

Umur 0-7 tahun otak anak belum ada akal dan kerana itu mereka tidak boleh berfikir. Mindanya seperti span menyerap air. Apa yang dipandang, didengari dan dialami (positif atau negatif) semua masuk ke dalam mindanya. Ibu bapa kena beri kasih sayang tanpa syarat kepada anak berumur 0-7 tahun.

Menyayangi anak juga bukan juga bermakna memanjakan anak. Kasih sayang dan memanjakan adalah dua perkara yang berbeza.Sebab itu kita ada prinsip otak kiri dan otak kanan kanak-kanak. Otak kiri berfungsi untuk logik, solusi dan apa patut anak buat dan otak kanan, untuk kasih sayang dan emosi.

Oleh sebab itu kanak-kanak 0-7 tahun jika kita memanjakan sahaja, iaitu fokus kepada fungsi otak kanan sahaja, dan tidak beri tahu kepada anak apakah implikasinya atas sikapnya kepada orang lain, kanak-kanak itu juga akan rosak tingkah lakunya apabila dia besar.

Hal ini terjadi kerana ibu bapa tidak menyeimbangkan mendidik dan membangunkan IQ dan EQ anak.


Menghukum

Manusia memiliki 10 inteligensia, iaitu lima interpersonal (fahami orang) dan lima intrapersonal (fahami diri). Sebab itu sangat penting pada umur kanak-kanak 0-7 tahun ini ibu bapa menyeimbang, mendidik dan membangunkan IQ dan EQ mereka. Iaitu dalam kita fokus memberikan sepenuh kasih sayang, tetapi kita juga bina minda anak-anak, buat mereka berfikir untuk membangunkan rasa atau emosi pada hatinya.

Contohnya jika anak berbuat baik, puji dia dengan sepenuh hati tanda kita menghargai sikapnya yang positif. Masalahnya kebanyakan keluarga apabila anaknya berbuat baik tidak pernah dipuji. Tetapi, jika ibu bapa berjaya ‘tangkap’ anak mereka berbuat salah, cepat dihukum dan dimarahi.

Lebih malang lagi jika ibu bapa memarahi anak di hadapan orang. Jadi anak itu berasa dirinya seorang yang tidak berguna dan tidak baik. Sikap ibu bapa yang suka menghukum anak hingga anak mereka berasa diri mereka tidak cukup baik, telah membina imej negatif pada diri anak.

Kita suka menghukum ketika kita menyuruh anak, dengan tujuan untuk mendidik anak. Contohnya, “kalau tidak solat mak pukul. Sepatutnya pujuk anak dahulu, “kalau nak jadi baik, disayangi Allah dan disayangi semua orang, mari ikut mama solat.” Selepas selesai anak bersolat bersama-sama kita, peluk anak dan puji anak, “baiknya anak emak ini sebab dah bersolat.”

Jadi maklumat yang diterima akal anak adalah, untuk menjadi baik dan disayangi, kena bersolat. Percayalah, anak-anak yang dapat melihat macam mana ibu bapanya mencurahkan kasih sayang kepadanya dan menghargainya, akan tahu macam mana untuk mencurahkan kasih sayang dan menghargai kebaikan orang di sekelilingnya, apabila mereka dewasa.

Didiklah anak dengan 5S (senyum, salam, sapa, sopan dan santun). Pertama, senyum. Orang yang mudah senyum, adalah seorang yang tawaduk, tidak sombong. Sebab kesopanan bermula dengan senyuman. Hidup yang baik bermula dengan senyuman yang baik. Kedua, salam. Ketika, sapa menyapa. Keempat, sopan.

Cara kita duduk dan gaya fizikal kita, atau ‘bahasa badan’ menunjukkan sikap luaran kita. Kelima, santun melibatkan hati dan jiwa serta mempamerkan sifat dalaman diri kita. Dari jiwa yang lembut akan lahir kata-kata yang lembut dan tindakan sopan.

Kajian saintifik dalam otak kita ada 100 belian neuron dan setiap satu neuron itu ada 10 ribu hubungan atau pertalian dengan neuron yang lain. Kebarangkalian saraf yang dirangsang bersama akan merancang tindakan yang sama sangat tinggi.

Terdapat satu neuron yang dinamakan ‘neuron cermin’, iaitu anak-anak akan dibentuk sama macam ibu bapanya – sebab itulah anak adalah cerminan ibu bapanya.

Namun begitu, tidak semestinya kes membuli ini disebabkan oleh silap didikan ibu bapa. Sebab berdasarkan kajian, tingkah laku buruk anak disebabkan oleh tiga faktor. Iaitu 50 peratus disebabkan pilihan mereka sendiri, 40 peratus kerana berpunca daripada genetik yang diwarisi daripada ibu bapanya dan 10 peratus disebabkan oleh pengaruh persekitaran.

Hal ini adalah kerana kanak-kanak berusia 7-14 tahun, mula terpengaruh dengan persekitarannya, iaitu sekolah tempat dia pelajar, guru-guru dan kawan-kawan yang menjadi idolanya. Pada tahap usia 15-21 tahun pula anak-anak mula kejar tujuh tahap kehidupan yang menjadi pilihannya. Jika tersalah membuat pilihan maka rosaklah akhlak mereka.

Maka, tanggungjawab anak-anaklah apabila mereka sudah terlepas jauh daripada kawalan ibu bapa, untuk meletakkan sedikit perasaan pada akal agar lembut hatinya, dan meletakkan sedikit akal pada perasaannya agar lurus hatinya. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.