Tentunya, ini bukan setakat menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia tetapi secara tidak langsung akan mempopularkan lagi Malaysia ke seluruh dunia. Logo program Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia itu akan dilihat oleh 500 juta penduduk dari 200 buah negara yang menonton siaran langsung acara sukan terhebat di dunia ini.

Namun, itu hanyalah sekadar bayangan. Kementerian berkenaan juga sudah menafikan dakwaan dan khabar-khabar angin yang bertiup kencang di Indonesia bahawa pihaknya melalui Tourism Malaysia akan menaja pemandu yang baru mencipta nama di arena F1 itu.

Tetapi, jika benar-benar terjadi, ini akan menjadi igauan nyata kepada Indonesia kerana membiarkan negara lain menaja satu-satunya pelumba dari republik itu dan Asia yang pertama kali berjaya membolosi penguasaan pelumba Eropah dan Amerika dalam perlumbaan kereta paling berprestij itu.

Isu penajaan tersebut kini menghantui pihak-pihak tertentu di Indonesia apabila entah dari mana tercetus berita bahawa Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia melalui Tourisme Malaysia berminat untuk menaja pelumba berusia 23 tahun dari Indonesia itu pada musim 2016 ini.

Berita ini mengundang reaksi keras dari syarikat minyak milik republik ini, Pertamina yang sudah mendahulukan tajaan sebanyak lima juta Euro (RM23 juta) daripada 15 juta Euro yang diperlukan oleh anak kepada bekas pelumba kereta Indonesia, Sinyo Haryanto itu untuk beraksi musim ini.

Pertamina meminta kerajaan dan pihak swasta segera ‘menyusun kekuatan’ bagi mengelakkan negara ini menanggung aib dengan membiarkan ‘orang lain’ menaja Rio kerana pemuda itu kini menjadi aset berharga negara sebagai satu-satunya pelumba Asia dalam F1.

Semuanya bermula apabila pada 18 Februari lalu, Pasukan Manor Racing secara rasmi meng­umumkan Rio akan menjadi pelumba pasukan berkenaan bersama seorang lagi pelumba, Pasca Wehrlein, sekali gus menjadi pelumba Indonesia pertama beraksi bersama pasukan terkenal itu.

Beberapa hari selepas itu, akhbar dan portal berita tempatan menyiarkan laporan mengenai kenyataan Pengurus Rio, Piers Hunnisett bahawa beliau dihubung­i oleh beberapa pihak di luar negara termasuk Tourism Malaysia yang menawarkan tajaan kepada pelumba itu.

“Mereka ada (litar) Sepang yang jadi venue F1. Tentu mereka ingin memanfaatkannya. Apalagi Rio adalah satu-satunya pelumba Asia di musim ini. Jadi, boleh saja tulisan “Visit Malaysia’’ melekat di kereta Rio,’’ kata Piers seperti dipetik dari beberapa portal berita, baru-baru ini.

Selain Tourism Malaysia, Piers juga memberitahu, beberapa tawaran penajaan juga datang dari beberapa syarikat Jepun dan Singa­pura. Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan secara terperinci tawaran-tawaran yang diterima itu.

Laporan itu sempat memeningkan kepala Pengarah Tourism Malaysia di Jakarta, Ahmad Esa yang mengaku tidak tahu menahu mengenai tawaran penajaan tersebut seperti yang disiarkan oleh beberapa akhbar tempatan dan portal-portal berita dalam talian.

“Saya telah menghubungi Ibu Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan di Putrajaya dan pihak kementerian juga menafikan dakwaan kononnya akan menaja Rio seperti yang dilaporkan,’’ katanya dalam sidang akhbar di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta yang turut dihadiri oleh Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, baru-baru ini.

Tidak susah untuk menelah bagaimana dakwaan seperti itu muncul di tengah-tengah masalah penajaan yang menghantui Rio bagi membolehkannya berada dalam kedudukan lebih selesa dengan pasukan Manor Racing itu. Lebih-lebih lagi dakwaan itu dikatakan datang daripada pengurus Rio sendiri.

Perkara ini dipercayai lebih kepada strategi atau permainan psikologi bagi memberi tekanan kepada pihak-pihak tertentu di Jakarta supaya lebih prihatin kepada masalah penajaan yang dihadapi oleh Rio. apatah lagi, hanya Visit Malaysia yang disebut, walaupun dikatakan ada dua lagi negara yang menyatakan minat sama.

Rio yang memandu Mercedes MRT05 memerlukan dana seba­nyak 15 juta Euro (RM69 juta) atau Rp 218 bilion untuk semusim penuh di F1 bersama Manor Racing. Setakat ini, bekas pelumba Campos Racing itu berjaya mengumpul lapan juta Euro melalui tajaan Pertamina dan tiga juta Euro daripada usaha keluarganya.

Sehubungan itu, pelumba ber­ke­turunan Cina dan beragama Islam yang menyertai arena perlumbaan kereta sejak berumur enam tahun bersama dua abangnya itu masih memerlukan tujuh juta Euro lagi untuk mencukupkan wang yang perlu dibayar kepada Manor Racing.

Seperti dijangkakan, laporan mengenai minat Malaysia itu mendapat reaksi segera Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi yang mengakui tidak rela jika pemandu kebanggaan Indonesia itu ditaja oleh pihak lain termasuk Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

Katanya, beliau juga sudah dihubungi oleh bapa Rio bagi membincangkan ‘hasrat’ Malaysia itu dan beliau meminta supaya keluarga Rio bersabar dan tidak me­lakukan sebarang rundingan kerana yakin akan ada syarikat-syarikat dari Indonesia sendiri yang dapat membantu.

Sehubungan itu, Imam berharap kerajaan dan rakyat republik ini dapat melakukan sesuatu untuk membantu Rio. Selain meng­ajak rakyat mengumpul derma, beliau berharap Badan Usaha Milik Negara (BUMN) dan sektor swasta mengambil tindakan segera menyokong pelumba kelahiran Surakarta itu.

“Yang pasti kalau itu terjadi (Malaysia menaja Rio) tentu pa­ling tidak saya yang akan galau (kacau), bersama BUMN dan pihak swasta saya kira harus galau. Langkah konkritnya seperti se­ring saya katakan bahawa ini kesempatan emas bagi kita semua, terma­suk seluruh rakyat untuk bersatu,’’ katanya.

Gerakan mengumpul dana juga diadakan oleh bekas pelumba Indonesia, Alex Asmasoebrata melalui kempen ‘Gerakan 5,000 untuk Rio Haryanto’ dengan mengajak seluruh rakyat Indonesia menderma sekurang-kurangnya Rp 5,000 (RM1.50) seorang bagi mencukupkan biaya Rio.

Ironinya, ketika Indonesia sedang berusaha keras mempertahankan jati diri mereka dengan ‘menghalang’ negara-negara luar menaja pelumbanya, Malaysia sebenarnya secara tidak langsung sudah lama menaja Rio dan jentera Mercedes MRT05 yang digunakannya melalui bahan bakar dan mi­nyak pelincir keluaran Petronas.

Hal ini demikian kerana syarikat minyak milik Malaysia itu mempunyai kontrak jangka panjang dengan Mercedes yang enjinnya digunakan pada jentera MRT05 pasukan Manor Racing itu.

Produk Petronas ini juga digunakan pada jentera AMG Mercedes yang dipandu oleh juara F1 tiga kali, Lewis Hamilton.

Faktanya, bagi Malaysia kejayaan Rio terpilih sebagai pelumba F1 pertama dari Indonesia dan Asia juga adalah sesuatu yang membanggakan. Seperti kata Zahrain pada sidang akhbar tersebut, Malaysia tumpang gembira dengan kejayaan itu kerana ini adalah kejayaan bangsa serumpun.

Menurutnya, sebagai negara yang kerap menjadi gelanggang F1 di Litar Lumba Sepang, langkah penajaan itu juga akan membawa faedah besar kepada Malaysia. “Secara tidak langsung, ramai rakyat Indonesia peminat Rio akan berkunjung ke Malaysia apabila perlumbaan diadakan di Litar F1 di Sepang,’’ katanya.

Siri perlumbaan F1 musim 2016 akan membuka gelanggang di Litar Melbourne pada 18 Mac - 20 Mac ini dan akan berakhir di Litar Yas Marina, GP Abu Dhabi pada 25 November - 27 November. Litar Sepang akan menjadi hos perlumbaan paling berprestij ini pada 30 September - 2 Oktober depan.