Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hadir sebagai pengucaptama dan Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan acara penutupannya. Kelazimannya, kehadiran mereka berdua pastinya akan mencuri tumpuan termasuk liputan media pasca kongres.

Apa yang nak saya kongsikan di sini ialah pengamatan saya serta hasil sembang-sembang dengan rakan dan kenalan yang menghadiri kongres itu. Dari ucaptama yang disampaikan Dr. Mahathir, saya boleh ringkaskan bahawa beliau menumpu kepada dua isu utama.

Pertama, pencapaian Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan kedua, gejala yang merencatkan pencapaian bumiputera dalam menguncupkan jurang ekonomi sepertimana yang dihasratkan di dalam DEB.

Beliau banyak mengimbau impak dan kejayaan DEB. Di antara agensi yang menjadi tumpuan utama beliau termasuklah MARA, yang diperkasakan dengan penggubalan Akta MARA 1966.

Dr. Mahathir tidak menafikan kejayaan MARA terutama dalam pendidikan, namun, dalam ekonomi dan keusahawanan, masih banyak yang MARA perlu lakukan.

Pandangan beliau itu turut dikongsi oleh beberapa peserta kongres yang bimbang kemungkinan MARA akan dipecah dan diagihkan kepada beberapa kementerian untuk mengemudinya, lantas beliau menyatakan ketetapan bahawa MARA akan dikekalkan dibawah tadbir-urus Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Seperti dijangka, Dr. Mahathir banyak menyuarakan kebimbangannya terhadap gejala utama yang merencatkan pencapaian ekonomi oleh Komuniti Ekonomi Bumiputera (KEB), sejak di zaman DEB hingga sekarang.

Beliau amat bimbang dengan gejala ini yang berlaku dalam bentuk sama ada rasuah, salah-guna kuasa, penipuan, penyelewangan, penipuan, kecuaian atau sikap serta nilai budaya bisnes dalam kalangan KEB yang gemar memilih jalan mudah menjalankan bisnes.

Yang menjadi tumpuan utama pastinya gejala-gejala yang cenderung terhadap isu-isu rasuah, salah-guna kuasa dan penyelelewangan. Malah pekara ini turut menjadi tumpuan apabila Tan Sri Abu Kassim membuat pembentangan beliau dan diikuti oleh Datuk Seri Azmin Ali dalam ucapan penggulungan beliau.

Untuk tidak terlalu emosional dengan kekangan gejala itu, dalam pembentangan selepas acara pembukaan kongres itu, tumpuan saya ialah kepada pembinaan kekuatan KEB dari asas pembangunan dan kemajuan ekonomi yang sudah dibina hasil dari perlaksanaan DEB itu.

Konsisten dengan order atau trend global semasa, yang turut diterap oleh kerajaan di bawah parti Pakatan Harapan, saya mengutamakan agenda kemakmuran, bukan sekadar agenda pembangunan dan kemajuan ekonomi semata-mata.

Apabila berbicara mengenai agenda kemakmuran, kita tidak boleh terikat dengan hanya membicarakan agenda ekonomi semata-mata. Selain agenda ekonomi sebagai tiang seri yang menegakkan kemakmuran, terdapat paling tidak ada tujuh lagi tiang seri utama yang diikat dan berpautan antara satu sama lain, bersama dengan tiang seri ekonomi ini dalam menegak kemakmuran, yang turut menjanjikan kesejahteraan dan keharmonian.

Dengan bumiputera merupakan 69.1 peratus dari 32.4 juta rakyat Malaysia, maknanya, kemakmuran negara adalah bergantung kepada kemakmuran kaum itu.

Tuntutan

Untuk pastikan bumiputera makmur, mereka wajib menguasai kekuatan dalam kesemua tiang seri kemakmuran ini, iaitu tadbir-urus kerajaan, ekonomi, pendidikan, keselamatan, kesihatan, pembangunan insan rabbani, pembangunan komuniti madani dan penjagaan serta pemeliharaan alam sekitar dan sumber asli.

Khusus bagi agenda ekonomi, cabaran yang dihadapi KEB kini bukan lagi sama ada mereka sudah pandai berbisnes atau tidak. Atau, adakah mereka kekurangan institusi ekonomi, kekurangan pra-sarana ekonomi atau sebagainya.

KEB sudah ada yang pandai menjalankan pelbagai peranan dalam pembangunan ekonominya, sama ada sebagai usahawan, pengurus korporat mahupun kepimpinan institusi ekonomi yang diamanahkan kepadanya.

Institusi ekonomi kepentingan KEB pun sudah banyak, dalam tujuh kelompok institusi ekonomi itu sudah ada ratusan ribu institusi ekonomi dimiliki, dikuasai atau kepentingan bumiputera. Simbolik kepada kekuatan ini juga dimanifestasikan dengan kekuatan bumiputera yang menguasai hampir 90 peratus dari lebih 8 juta ahli dalam lebih 14,000 pertubuhan koperasi di seluruh negara.

Cabaran mereka kini ialah dalam membudayakan diri agar tidak terjebak gejala songsang sepertimana yang diluahkan oleh Dr. Mahathir dan, pembinaan kekuatan untuk menjadi penggerak ekonomi yang berintegriti dan berdaya saing. Kekuatan yang saya maksudkan itu wajar dibina diatas lima tunggak ini; Berani, Hebat, Bermaruah, Berkat Tawakal.

Berani bermaksud berani dalam pertahankan hak mereka yang diperuntukkan mengikut Perlembagaan Persekutuan. Berani bersuara termasuk menegur kerajaan dengan cara berhemah dan bijaksana, bukan menjaid warganegara dikategorikan sebagai mute citizens. Berani dalam erti kata mempelopori new economies, adventurous, inovatif dan kreatif.

Hebat bermaksud berdaya saing, berkebolehan, berkemampuan termasuk kemampuan membina kesepakatan dalam bisnes sesame anggota jaringan KEB dan Komuniti Madani yang menaungi bisnes KEB.

Bermaruah adalah ciri-ciri kekuatan yang teramat penting dalam mengekang gejala songsang ekonomi yang selama ini menghantui KEB dan mencemari integriti serta reputasinya.

Mulai saat ini KEB dianggap berjaya mengeluarkan diri mereka dari era kegelapan (dark ages) itu, mereka wajib menjaga maruah dan nama baik mereka untuk dihormati.

Mereka tidak boleh lagi dipalit dosa-dosa rasuah, salahguna kuasa, penipuan, penyelewengan, diskriminasi dan lain-lain bentuk gejala songsang yang selama ini menghantui mereka.

Berkat dimaksudkan di sini sebagai keikhlasan mereka berimfak hasil dari laba bisnes, pendapatan perniagaan atau pendapatan pekerjaan yang mereka raih, sama ada dalam bentuk sedekah jariah, zakat, waqaf serta cukai pendapatan.

Bagi golongan hartawan pula amat digalakkan lebih philanthropic dalam memberikan sumbanagn berbentuk CSR (Corporate Social Responsibility). Tawakal adalah kekuatan terakhir wajib ada dalam jiwa sanubari setiap ahli KEB.

Reda kepada Allah SWT di atas rezeki, nikmat dan kekuatan yang diberikan oleh-Nya untuk kita semua memikul amanah membina kekuatan kemakmuran.

Makmur bumiputera maka makmurlah negara tercinta ini.Mengambil kira sorotan DEB diikuti teguran Dr. Mahathir terhadap gejala songsang yang merencatkan ekonomi KEB hingga tersasar jauh dari hasrat dan aspirasi DEB itu, izinkan saya merumuskan dan mengaitkan di sini diantara dasar DEB dengan dapatan kongres ini.

Bagi saya, pandangan yang paling mudah dapat saya paparkan di sini ialah dengan mengaitkan kesinambungan di antara teras utama DEB dengan teras utama DEB 2.0 yang bakal digubal, dijenama sebagai Dasar Ekonomi Nasional (DEN) dan inilah dapatan utama dari Kongres ini.

Teras DEB ialah:

(i) Pembasmian kemiskinan,

(ii) Penguncupan jurang ekonomi di antara kaum.

Dari dua teras itu dibina pula tiga fokas utama DEB itu;

(i) Pengwujudan pekerjaan,

(ii) Pengwujudan bisnes,

(iii) Pengwujudan pemilikan ekuiti.

DEB 2.0 atau DEN wajib meneruskan kedua-dua teras itu dan tiga fokas utamanya kerana kesemuanya masih belum terlaksana sepenuhnya.

Betul kemiskinan dapat dibasmi oleh DEB tetapi secara relatifnya dengan peningkatan KDNK, kos sara hidup juga meningkat maka takrifan baru kemiskinan telah berubah. Kemiskinan relatif sebenarnya masih wujud.

Di samping kesinambungan teras dan fokus itu, DEB 2.0 wajib membina teras dan fokas tersendiri. Saya ingin mencadangkan Teras Utama DEB 2.0 atau DEN ialah:

(i) Pembasmian gejala-gejala songsang ekonomi dan pembinaan budaya ekonomi takwa, dan

(ii) Pembinaan kekuatan institusi ekonomi kepentingan KEB, untuk Bumiputera menerajui kemakmuran dan ekonomi negara.

Fokus KEB ialah kepada pembinaan kekuatan menerusi lima tunggak yang dinyatakan itu, berani, hebat, bermaruah, berkat dan tawakal. Oleh kerana kongres ini tidak menjanjikan apa-apa pakej rangsangan ekonomi kepada KEB untuk mereka bawa pulang, dalam pembentangan yang saya sampaikan itu, saya membekalkan KEB yang menghadiri kongres itu dengan 10 azimat untuk mereka bawa pulang bagi digunakan dalam tuntutan DEN yang bakal digubal.

Saya akan ulas mengenai 10 azimat itu dalam bahagian kedua rencana saya ini yang akan disiarkan kemudian.

Penulis ialah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM).