Orang yang menjaga minit, akan terjagalah jam. Orang yang menjaga hari,  akan terjagalah bulan. Orang yang menjaga bulan, akan terjagalah tahun.” Tepati masa dalam temu janji – biar kita menunggu bukan kita ditunggu, dan tepati masa dalam mencapai tarikh siap sasaran kerja – sanggup bekerja melebihi masa bukan berkira masa, Insya-Allah kejayaan menanti kita di hadapan.

Begitulah, syarat pertama untuk berjaya mencapai azam kita, jagalah masa kita, kerana “masa itu emas”. Firman Allah dalam Surah al-'Asr bermaksud, “Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.”  

Masa bergerak seperti arus sungai, walaupun ada halangan di hadapannya, sungai akan terus mengalir mengikut arus tanpa berpatah balik. Sebab itu rugilah orang yang membazirkan masanya, kerana masa tidak ada dijual di mana-mana, dan kerana itu kita tidak boleh mendapatkan kembali masa yang berlalu itu walaupun kita mempunyai keupayaan wang ringgit.

Banyak orang memberikan alasan faktor tidak cukup masa yang menyebabkan azamnya tidak tercapai. Sedangkan semua orang mendapat jumlah masa yang sama, 24 jam sehari. Tetapi, mengapakah keupayaan setiap orang dapat melaksanakan apa yang disasarkan berbeza? Faktor kedua, adalah kerana keberkatan masa. Keberkatan masa maksudnya, walaupun waktu dirasakan tidak mencukupi tetapi kita dapat melaksanakan apa yang kita hajati itu dengan sempurna dan siap pada waktunya. 

Bagi mendapatkan keberkatan masa jagalah minda/fikiran, kesihatan, hubungan silaturahim dan spiritual/kerohanian. Dengan minda yang positif, sentiasa bersangka baik dengan orang dan Allah serta kesihatan yang baik kita akan bertenaga dan bersemangat untuk melaksanakan apa-apa yang kita rencanakan. Dengan menjaga silaturahim kita akan mendapat kerjasama daripada banyak pihak. Dengan menjaga spiritual/kerohanian iaitu hubungan kita dengan Allah SWT, Allah akan sampaikan hajat kita dan dipermudahkan urusan kita.

Masa akan dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya jika kita bijak merancang dan fokus kepada apa yang kita laksanakan. 

Kejayaan dalam kehidupan ini bergantung kepada faktor ketiga, iaitu kebijaksanaan kita merancang dan mengatur masa dalam pengisian hidup kita. Anolo­ginya, jika setiap orang diberi­kan sebiji balang kaca yang sama besar saiznya tetapi dibekalkan kepada kita beberapa batu yang berbeza zaiznya, dan kita diminta memasukkan seberapa banyak batu tersebut ke dalam balang kaca itu. 

Keupayaan setiap orang memasukkan jumlah batu itu bergantung kepada bagai­mana kita merancang dan bagaimana cara kita memasukkan batu-batu itu ke dalam balang. Jika kita memasukkan batu itu ke dalam balang sesuka hati, tanpa memikirkan strateginya pasti tidak banyak batu yang berjaya dimuatkan ke dalam balang tersebut. 

Merancang 

Tetapi, jika kita berfikir sejenak dan merancang strategik bagaimana boleh memuatkan balang itu dengan seberapa banyak batu, hasilnya akan berbeza. Iaitu, kita akan mulakan dengan memasukkan batu-batu yang bersaiz besar dahulu. Kemudian barulah diikuti dengan batu yang sederhana dan seterusnya batu-batu yang bersaiz kecil. Akhirnya balang tersebut boleh dipadatkan ruangnya dengan pasir-pasir halus. 

Analogi ini bermaksud, balang itu umpama ruang waktu kita (masa dalam sehari). Batu-batu pelbagai saiz itu umpama perkara yang perlu atau hendak kita laksanakan. Mulakan dan gunakan masa kita untuk fokus kepada perkara besar atau utama dahulu dan diikuti dengan perkara-perkara yang sederhana penting. Jika ada masa barulah kita isikan masa kita dengan perkara-perkara kecil, sekadar pengisian masa. 

Bukan kita banyak habiskan masa kita dengan perkara yang remeh-temeh hingga tidak ada ruang waktu lagi untuk kita fokus kepada perkara yang utama. Empat perkara yang perlu kita lakukan untuk kejayaan mencapai matlamat hidup. 

Pertama, fikirkan semula fokus kita ke arah mana? Kedua, bayangkan semua kebaikan yang akan berlaku pada masa hadapan. Ketiga, hidup penuh dengan inspirasi. Keempat, sentiasa muhasabah diri.

Muhasabah diri dengan cara audit rutin hidup kita. Jika kita ingin mengubah kehidupan kita kena ubah rutin hidup kita. Rutin adalah sesuatu perkara yang kita lakukan tanpa kita fikir. 

Jika rutin hidup kita dipengaruhi oleh faktor persekitaran dan  sekeliling kita, rutin itu masih boleh diubah atau diperbaiki, dengan betulkan atau rawat “minda segar” (roh/jiwa/hati) kita. Ubah suasana persekitaran yang menjadi rutin kehidupan kita. Kalau rutin kehidupan kita suka berfoya-foya membuang masa, ubah rutin hidup kita dengan menghabiskan masa ke tempat yang bermanfaat untuk menambah ilmu dan tingkatkan keimanan. 

Jangan jadikan sesuatu perkara yang negatif menyebabkan kita menyekat keupayaan diri,  atau menjadikan bermacam alasan untuk kita berubah. Kita mesti hidup dengan satu sistem kepercayaan bahawa, “semua yang berlaku ke atas saya disebabkan pilihan  saya sendiri.” 

Apabila kita mengatakan berlaku sesuatu ke atas kita “disebabkan pilihan kita”, maka kita bertanggungjawab untuk mengubah sikap kita. Orang lain  tidak boleh mengubah diri kita melainkan diri kita sendiri. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.