Misalnya, bagi ibu bapa yang anak-anaknya baharu mendapat keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2017 pada bulan lalu, keputusan untuk memilih sekolah menengah juga memerlukan banyak perkiraan. Terutamanya, bagi murid mendapat keputusan baik dalam UPSR, maka pemilihan sekolah terbaik adalah aspek yang diutamakan untuk memasuki tingkatan satu pada tahun depan. Sebelum keputusan UPSR lagi, rata-rata murid darjah enam sudah mengisi pelbagai borang permohonan kemasukan sekolah menengah secara atas talian.

Ada memilih sekolah kawalan. Tidak kurang juga yang memilih sekolah aliran agama. Begitu juga ada yang mengisi borang permohonan kemasukan sekolah ber­asrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Bagi yang berasakan sukar untuk mendapat tempat di SBP dan MRSM mahupun sekolah yang dianggap berprestij dan terbaik, maka sekolah harian biasa yang berada dekat dengan rumah mereka menjadi pilihan. Ini pun memerlukan pembuatan keputusan.

Bagi yang membuat permohonan SBP dan MRSM, mereka akan diberikan ujian kemasukan. Ada antaranya melibatkan temuduga untuk membolehkan pihak ber­kenaan memilih murid-murid mahir dalam komunikasi dan betul-betul berminat untuk memasuki sekolah berasrama.

Dalam kata lain, komunikasi itu cukup penting dalam membuat sebarang keputusan. Komunikasi yang salah dan tidak difahami boleh mendatangkan kemudaratan sehingga boleh mencetuskan pergaduhan dan perbalahan.

Bagi pihak sekolah yang ingin mendapatkan pelajar tingkatan satu nanti, menyalurkan maklumat kepada ibu bapa dan para waris secara cekap dan berkesan amatlah penting. Maklumat ini tidak boleh disalurkan secara tergesa-gesa tanpa pemberitahuan awal kerana ibu bapa juga memerlukan masa untuk membuat persediaan bagi anak-anak mereka. Misalnya, melibatkan ujian kemasukan, ibu bapa perlu diberikan pemahaman secara mendalam mengenai aspek pemilihan anak-anak ke sekolah ber­asrama.

Komunikasi yang silap boleh mencetuskan suasana tidak selesa. Hal ini dimaklumkan rakan-rakan penulis yang mempunyai anak lepasan UPSR 2017 bahawa aspek menyalurkan maklumat kepada mereka perlu dibuat dengan awal. Penulis difahamkan oleh mereka bahawa selepas keputusan UPSR diumumkan baharulah mereka disalurkan maklumat mengenai ujian kemasukan SBP (UKSBP). Cara pemarkahan juga menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan mereka.

Sebagai alumni salah sebuah SBP di Negeri Sembilan sekitar 1990-an, penulis masih ingat tiada sebarang permohonan dibuat. Surat tawaran kemasukan ke SBP dimaklumkan oleh guru sekolah rendah. Seingat penulis tiada ujian kemasukan kecuali ujian darjah kepintaran (IQ) murid diadakan di sekolah rendah sebaik tamatnya UPSR. Tidak perlu mengisi sebarang permohonan. Tiada juga sebarang temuduga.

Itu era 1990-an. Tidak sebagaimana sekarang, persaingan untuk mendapat tempat di sekolah-sekolah terbaik cukup sengit. Dahulu, penulis sendiri tidak menyangka akan mendapat tempat di SBP kerana tidak pernah menyasarkan untuk belajar di SBP. Rasanya, ramai merasakan sebegitu pada era tersebut.

Namun, kini, disebabkan persaingan sengit untuk mendapat tempat di sekolah terbaik, ujian kemasukan dan temuduga adalah antara proses untuk mendapat tempat di sekolah tersebut.

Malah, ibu bapa juga amat prihatin dengan pelbagai ujian yang perlu diduduki anak-anak mereka. Tidak keterlaluan dikatakan ada antara ibu bapa lebih bersedia berbanding anak-anak seolah-olah mereka sendiri yang akan memasuki tingkatan satu. Jika tidak, mustahil maklumat dikongsi dalam media sosial me­ngenai ujian kemasukan mahupun sesi temuduga cuba difahami mereka sebelum diberikan pe­nerangan kepada anak-anak.

Begitulah prihatinnya ibu bapa pada masa kini. Semuanya memerlukan pembuatan keputusan tepat demi pendidikan anak-anak. Hal sedemikian berlaku kerana dibimbangi keputusan dibuat le­bih kepada keputusan ibu bapa dan bukannya kerana anak mereka sendiri membuat keputusan tersebut. Dalam hal ini, tidak mustahil anak berasa tidak selesa de­ngan keputusan yang telah dibuat oleh ibu bapa. Akhirnya, boleh memberi kesan terhadap pendidikan mereka kelak.

Sebab itulah kebijaksanaan membuat keputusan itu amatlah penting. Bukan setakat dalam hal pendidikan anak-anak tetapi juga dalam hal penting lain seperti me­ngurus kewangan keluarga. Tidak kurang juga dalam aspek pekerjaan dan perhubungan sesama saudara dan rakan-rakan. Misalnya, dalam aspek kewangan, keputusan pembelian rumah mahupun kenderaan perlu dibuat secara teliti dan bukannya semberono.

Keputusan silap akan mendatangkan kemudaratan. Sebab itulah, sebarang keputusan tidak boleh dibuat secara terburu-buru kerana bimbang akan menyesal di kemudian harinya. Malah, sebaik mungkin berdoalah kepada Allah SWT agar keputusan yang akan dibuat nanti benar-benar tepat dan tidak mendatangkan sebarang permasalahan di kemudian hari nanti.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia (UUM).