Logik siasahnya pihak ketiga akan ­melakukan dominasi. Ak­hirnya umat Islam bakal terpinggir. Yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

Umat Islam lemah dalam banyak perkara. Kalau berbeza tidak tahu mencari jalan muafakat. Kalau berkonflik tidak tahu cara meleraikannya. Kalau berdendam tidak ada jalan kembali. Agama digunakan sebagai asas perpecahan dan tidak dimanfaatkan sebagai asas persaudaraan dan perpaduan.

Akhirnya umat Islam sendiri menjadi faktor melemahkan sesama sendiri. Umat Islam lebih rela ‘menang sorak, kampung tergadai’. Watak Pak Kadok ini masih membudaya dalam jiwa orang Melayu. Mereka tidak fikirkan apa yang akan jadi kepada anak cucu mereka pada hari depan.

Apa yang sedang berlaku terhadap umat Islam di Asia Barat tidak dijadikan ibrah atau pe­ngajaran. Cara berfikir sebahagian daripada mereka selalunya songsang. Mereka tidak arif­ memahami cabaran realiti yang menuntut kesabaran dan kebijaksanaan. Sedikit ilmu Islam yang dipelajari menyebabkan label-label dilontarkan. Label-label menghina dan menyindir menjadi mainan bibir dalam ceramah dan syarah dan dilontarkan di media sosial.

Masjid dijadikan tempat berpolemik. Perbezaan pendapat tidak disantuni secara bijak. Berfikir tenang dengan hujah yang terbaik tidak terjadi. Risalah dakwah tidak berlaku. Risalah dakyah mengambil tempat. Pendekatan tarbiah (mendidik) tidak terjadi. Perubahan watak tidak mengambil tempat.

Produktiviti rohaniah secara zahir nampak tinggi. Masjid penuh dan ceramah ramai sambutan. Tetapi produktiviti amaliah relatif rendah. Islam mengajar tentang ukhuwah atau persaudaraan. Ini susah untuk terjadi.

Al-Quran mendidik umat mengenai batas kufur dan iman. Rasulullah SAW menegah mengkafirkan orang lain, bimbang kekafiran itu akan berbalik semula ke diri sendiri. Akibat merasakan diri terlalu Islamik, melihat jengkel orang lain. Lalu imej Islam tercalar kerana Islam tidak digunakan untuk membina kekuatan. Sebaliknya digunakan untuk menyebabkan kelemahan dan perpecahan.

Umat Islam di Malaysia belum lagi kuat ekonominya. Merit dalam pendidikan masih jauh. Ramai tidak bersyukur dan berterima kasih dengan apa yang ada. Kalau umat Islam tidak dibantu, ekonominya lagi lemah. Kalau pendidikan tidak dibantu, keciciran akan terus terjadi.

Sebahagiannya cuba bercakap atas nama hak asasi manusia dan keadilan sejagat dan mendakwa orang bukan Islam dizalimi.

Seolah-olah selama ini kita menzalimi orang bukan Islam. Lihat kekuatan ekonomi mereka semakin maju dan menguasai. Lihat ratusan kolej dan universiti swasta menampung anak-anak mereka dalam segala bidang ilmu. Ini berlaku kerana kuasa beli mereka ada. Kuasa beli juga menyebabkan di setengah negeri harga hartanah dan rumah me­ningkat. Jenis rumah yang mahal tidak mampu dibeli oleh warga umat. Taburan hartanah dan perumahan memberi kesan demografik (kependudukan).

Kesan demografik memberi kesan undi. Dan kesan undi bakal memberi kesan kuasa jangka panjangnya.

Sudah sampai masanya umat Islam membuat pilihan bijak. Ja­ngan ikut emosi dan rasa taksub tanpa ilmu dan rasionaliti. Islam mengajar kita menggunakan akal, mampu berfikir dengan bijaksana dan berupaya melakukan kaji selidik yang baik.

Keupayaan umat membebaskan diri dari taksub kelompok amat dituntut. Kesatuan umat memahami keutamaan dan ke­selamatan hari depan amat diuta­makan oleh Islam. Silap membuat pilihan kesannya tidak sedikit. Jangan mengambil pendekatan, ‘menang jadi abu, kalah jadi arang’ dengan rasa dendam kesumat dan kebencian menyubur.

Fikirkan sejenak nasib generasi hari depan dan kepentingan Islam di negara ini supaya keputusan yang dibuat adalah bijaksana. Tanpa kebijaksanaan kita bakal membuat pilihan salah. Jika ini berlaku nasib generasi akan datang mungkin terancam.

Umat Melayu perlu berubah dan membina tekad tinggi untuk berada dalam saf yang tidak mudah diperkotak-katik. Kunci kepada kekuatan adalah wehdah atau berada dalam saf yang mendukung kesatuan dan perpaduan.

DATUK DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).