ZABA
ZABA

Sumbangannya dalam memo­denkan bahasa Melayu dari segi ejaan dan tatabahasa sudah dike­tahui umum. Beliau mengemaskan sistem ejaan Jawi dan daftar katanya (1938) dan rumi. Kedua-dua ini diguna meluas untuk mengajar membaca dan menulis bahasa Melayu moden di sekolah Melayu; dan oleh akhbar-akhbar Jawi Me­layu seperti Majlis dan Utusan Melayu dalam 1930-1960-an.

Yang menariknya, semua akti­viti karang mengarang ini dibuat semasa dalam ‘buangan’ di Pejabat Karang Mengarang di Sultan Idris Training College (SITC), Tanjung Malim (1924-50), di bawah ‘perhatian’ pemerintah British.

Za’ba pada awal 1920-an, sema­sa menjadi guru di English Co­llege, Johor Bahru, ialah seorang pengkritik dasar-dasar British, dan tulisannya disiarkan dalam akhbar, terutama dalam The Malay Mail. Antara lain, Za’ba mengkritik dasar Inggeris yang menyebabkan kemunduran orang Melayu, dan tentang pendidikan anak-anak Melayu di sekolah atap yang daif, dasar pendidikan Me­layu yang terhad setakat pendidikan rendah, berbanding sistem pendidikan Inggeris pada masa itu.

Salah sebuah karangan Za’ba yang agak ‘kontroversi’ dan kritis terhadap budaya dan pera­ngai orang Melayu yang bertajuk Perangai Bergantung pada Diri Sendiri telah tidak diterbitkan pada masa hayatnya. Buku ini hanya diterbit lapan tahun selepas beliau meninggal oleh DBP (1981, dan edisi khas dalam 2009) dengan Pendahuluannya oleh Profesor Emeritus Asmah Omar.

Penulisan Za’ba ini berbentuk ‘mutiara fi­kiran,’ kata Profesor As­mah dan beliau meringkaskan kandungannya dalam Pengenalan. Bab 1 dan 2: tumpuan kepada ‘keburukan perangai yang bergantung pada orang lain’. Za’ba menghuraikan ‘sikap hina diri’ iaitu sentiasa menganggap dirinya rendah, tidak ada kebolehan, tidak ada kemampuan. Oleh sebab mereka terlalu suka bergantung pada orang lain, mereka malas, tidak mahu berikhtiar dan kurang berusaha.

Bab 3 dan 4: Bertaklid buta sebagai lawan berjihad sendiri. Za’ba memberi contoh-contoh dalam hal agama Islam. Ramai orang Melayu suka menjadi pengikut buta tuli dalam melakukan adat-adat keagamaan, yang diajar oleh tok-tok guru mereka. Mereka juga pengikut setia pemimpin parti politik. Za’ba menyeru orang Melayu supaya rajin belajar menambah ilmu pengetahuan dan berfikir. Al-Quran diturunkan untuk membuka pintu akal dan mata hati manusia.

Bab 5, 6 dan 7: bertema kebajikan lawan kejahatan. Kita disuruh berbuat baik dan berlaku adil kepada orang lain. Kita dilarang berbuat kejahatan yang nyata jahat dan salah dan yang busuk halus, yang disembunyikan.

Bab 8: Kejatuhan dan pemulihan umat Is­lam. Menurut Za’ba kejatuhan umat Islam disebabkan oleh kehilangan ‘izzah’ ia­itu kekuasaan dan kekuatan yang perlu ada dalam masyarakat Islam. Kenapa hilang ‘izzah’? Kerana mereka tidak mahu berfikir, berusaha dan berijtihad. Mereka tidak mahu mengambil contoh Rasulullah (SAW) yang berjuang menyebar dan menegakkan Islam, beribadat dan berusaha mencari nafkah. Begitu juga khalifah-khalifah besar dalam Islam.

Di sini saya dengan ringkas ingin memberi ulasan tentang isu ‘perangai Melayu’ yang Za’ba ba­ngkitkan itu, dari perspektif ilmu psikologi pembelajaran.

Pada hemat saya, Za’ba lebih cenderung berpendapat orang Me­layu terlalu terkongkong de­ngan faktor persekitarannya: tekanan aktiviti kehidupan yang terhad kepada kais pagi makan pagi, norma dan adat masyarakat, sesetengah ajaran agama yang sempit, dan terhadnya peluang pendidikan. Dengan itu orang Me­layu kurang percaya pada kebolehan diri. Bagi mengatasi ini, orang Melayu perlu menyelam ‘ke dalam diri’ dan berfikir tentang kedudukannya, berikhtiar dengan cara baru dalam aktiviti ekonomi untuk meningkatkan taraf kehidupan.

Bolehkah kita memilih dan me­ngawal tindakan dan perangai kita dari ‘dalaman’ kita, berdasarkan pemikiran, pertimbangan dan perasaan kita? Mestikah cabaran persekitaran, situasi atau tekanan orang luar sentiasa menentukan cara kira berfikir dan bertindak? Siapakah yang menentukan cara kita berfikir dan rasa? Ertinya bo­lehkah pemikiran, perangai dan tabiat kita berubah dengan ki­ta sendiri secara sedar mengubah­nya? Kita ambil beberapa contoh mudah untuk cetusan.

Apakah akan terjadi jika kita berfikir sejenak tentang sesuatu yang dilakukan setiap hari itu, walaupun perkara itu kecil. Mi­salnya bolehkah bangun pagi setengah jam lebih awal dari biasa? Apakah yang kita boleh lakukan dalam setengah jam itu?

Kita juga boleh ubah sikap. Sikap bererti orientasi, prasangka atau kecenderungan cara kita menilai sesuatu, misalnya sikap terhadap orang lain, terhadap pe­nggunaan masa, cara bekerja dan terhadap pendidikan anak? Adakah sikap kita positif? Apa akan terjadi jika kita bersikap lebih mesra, lebih prihatin dan pantas mengurus hal kerja, lebih sedar mengurus waktu untuk ke­luarga dan rekreasi? Adakah sukar dan rugi mengubah sikap kita itu?

Pada asasnya jika kita sedar dan mengambil peduli tentang apa yang kita lakukan, dan fikir sejenak untungnya dan menambahbaiknya, ‘perangai bergantung pada diri sendiri’ seperti yang diujar oleh Za’ba akan terbina dalam kalangan orang Me­layu di semua peringkat. Kita akan menjadi bangsa yang berfikiran lebih terbuka, dapat melihat peluang yang timbul, berikhtiar dan mengambil tindakan untuk mendapat keuntungan darinya.

DATUK ISAHAK HARON ialah Profesor Emeritus di Fakulti Pendidikan, 
Universiti Malaya (UM).