Melihat kedai-kedai di sekitar Masjid Nabawi dipenuhi jemaah bertelekung putih adalah satu pemandangan biasa selepas solat fardu lima waktu. Justeru, tidak pelik jika hampir kesemua pekedai di Madinah dan Mekah fasih berbahasa Melayu dek kerapnya mereka berurusan dengan jemaah Malaysia.

Laungan murah! murah! um­pama magnet menarik kaki jemaah untuk masuk ke kedai dan apabila keluar jarang yang tidak menjinjit bungkusan plastik berisi barangan belian. Ini membuatkan jemaah Malaysia menjadi fokus para pekedai di sini kerana sikap orang kita yang ramah dan tidak menawar harga dengan banyak.

Sejadah, atar, abaya, ketayap dan tasbih antara barangan yang menjadi pilihan untuk dibawa pulang. Namun, yang paling menjadi pilihan adalah kurma, kekacang dan buah-buahan ke­ring untuk dibawa pulang.

Kenapa perlu beli kurma di bu­mi Madinah? Ini adalah bagi mendapat keberkatan doa Rasulullah terhadap buah-buahan yang ditanam di kota suci itu. Turut pen­ting adalah proses timbang semasa membeli di Madinah kerana itu juga yang didoakan Rasulullah dalam mencari keberkatan.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah pernah diberi buah-buahan yang dipetik pertama kali, lalu baginda bersabda: “Ya Allah, berkatilah kota kami, dalam buah-buahannya, dalam mudd (cupak) dan sho’nya (gantang) dengan keberkatan yang berlimpah- lim­pah.”

Justeru, jika membeli kurma pastikan membeli yang ditanam di Madinah untuk mendapat keberkatan itu. Bagaimana pula mahu pastikan kurma yang dibeli adalah ditanam di bumi Madinah?

Menurut seorang mutawif di Madinah, Mohamad Fathan Adi Tarmizi, 28, kurma yang terkenal di Madinah adalah ajwa dan anbar. Menurutnya, kurma ajwa hanya tumbuh subur di bumi Madinah, tidak di tempat lain.

“Jika ditanam di tempat lain tidak menjadi dan kalau pokok­nya subur pun, buah­nya tidak seperti yang ditanam di Madinah,” katanya. Menurutnya, sebelum membeli elok jemaah bertanya dahulu penjual sama ada kurma yang mahu dibeli datang dari Madinah atau tempat lain.

Ini kerana kurma yang dijual di ladang-ladang di sekitar kota suci itu ada juga datangnya dari tempat lain. Banyak hadis yang menjelaskan keutamaan kurma ajwa Madinah iaitu bagi mencegah racun dan sihir bagi yang memakannya setiap hari.

Diriwayatkan daripada Amir bin Saad bin Abi Waqas bahawa Rasulullah bersabda: “Barang siapa yang memakan tujuh butir kurma ajwa yang tumbuh di antara dua batu hitam (Madinah) di pagi hari tidak akan terkena bahaya racun hingga petang harinya.” (Muslim)

Hadis tersebut menjelaskan tentang keistimewaan buah kurma ajwa yang tumbuh di tanah haram Madinah adalah kerana terdapat keberkatan atas doa Rasulullah. Jika dilihat geografi Madinah, kota suci itu jarang sekali di­sirami hujan dengan hanya mempunyai dua musim iaitu kering dan dingin serta tanah yang berbatu, namun buah-buahannya tumbuh subur.

Tetapi, inilah yang dinamakan keberkatan dan bumi Madinah tidak pernah kekurangan buah-buahan untuk menampung ­keperluan penduduk serta jemaah haji dari seluruh dunia. Menurut Mohamaf Fathan, bagi kismis atau kekacang bukan keluaran Madinah, namun tidak mengapa dibeli kerana proses timbang itu turut didoakan oleh Nabi Muhammad SAW.

Bagi jemaah haji yang me­ngunjungi Madinah terlebih dahulu, antara tips yang diberikan oleh mereka yang terlebih dahulu bergelar haji dan hajah adalah menyelesaikan dahulu urusan membeli ole-ole untuk sanak saudara dan mengeposnya ke tanah air kerana barangannya yang lebih berkualiti dan supaya apabila memasuki Mekah boleh fokus kepada ibadat.

PosLaju iaitu antara empat pengendali perkhidmatan itu sepanjang musim haji ini sudah menerima 500 permohonan mengepos barangan ke tanah air dalam tempoh hanya dua hari kaunter dibuka sejak jemaah memasuki Madinah 14 Julai lalu.

Menurut Ketua Pengurusan Pengangkutan Pos Malaysia, Mohd. Effendi Muhammad, secara purata PosLaju membuat penghantaran 200 tan metrik barangan yang dikirim jemaah haji setiap tahun bagi tempoh antara 2015-2017.

Dalam hal berjual beli, walaupun ada keberkatan atas doa Rasulullah, namun jemaah jangan leka sehingga mengambil masa lama membeli-belah setiap kali dibawa berziarah sekitar Madinah seperti di Masjid Quba dan Bukit Uhud.

Ini kerana fokus program ziarah adalah untuk menjiwai sirah Nabi Muhammad SAW, bukannya melawat gerai-gerai yang disediakan di kawasan itu.