Selain itu, media juga jambatan penghubung di antara kerajaan dan rakyat yang mana media digunakan sebagai medium untuk mendedahkan dan mendidik masyarakat berkenaan polisi-polisi kerajaan. Melalui media juga, rakyat boleh memberi meluahkan perasaan dan pendapat mereka berkenaan polisi-polisi kerajaan tersebut.

Kebebasan media di Malaysia adalah berkait rapat de­ngan kebebasan bersuara kerana kebebasan media melibatkan hak pengamal media untuk menulis, memberi pendapat dan melaporkan sesuatu isu tanpa sekatan. Kebebasan bersuara adalah hak yang dijamin dalam Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa: “Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4) – setiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara.”

Walaupun Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut hak kebebasan media secara nyata tetapi mahkamah telah memutuskan kebebasan media ter­masuk dalam ruang lingkup kebebasan bersuara.

Di dalam kes Public Prosecutor v. Pung Chen Choon (1994) 1 LNS 208, Mahkamah Agung dalam menjawab isu sama ada seksyen 8A (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang dibaca bersama seksyen 8A (2), mengenakan sekatan ke atas hak kebebasan bercakap dan bersuara yang dijamin oleh Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan memutuskan: “Unlike the first amendment to the constitution of the United States of America, which makes express reference to the freedom of the press, the constitution of Malaysia says nothing about the freedom of the press. The relevant portion of art 19(1) of the Indian Constitution says this: “All citizens shall have the right: (a) to freedom of speech and expression; ...’. Nevertheless, a consistent current of judicial opinion in India has established the proposition that art 19(1)(a) includes within its ambit the freedom of the press.”

Walau bagaimanapun, kebebasan bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan adalah tidak mutlak dan tertakluk kepada Perkara 10 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 10 (2) (a) memperuntukkan: “Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan — (a) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (a) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau sesuai demi ­kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik de­ngan negara-negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan-sekatan yang bertujuan untuk melindungi ke­istimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau pengapian apa-apa kesalahan.”

Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 adalah salah satu contoh akta yang digubal oleh Parlimen bagi mengawal pengeluaran lesen mesin cetak serta permit penerbitan untuk pelbagai media cetak. Akta ini digubal bagi tujuan mengawal segala kandungan penerbitan supaya tidak menyinggung perasaan, mengelirukan masyarakat melalui kenyataan yang tidak betul, memudaratkan keselamatan negara dan menggugat keharmonian negara.

Mahkamah Agung di dalam kes Public Prosecutor v. Pung Chen Choon (1994) 1 LNS 208 memutuskan “...The government of this country has always recognized the important influence which the press exerts on the public mind, especially in the area of politics, and understandably, therefore, it has enacted laws which have imposed wide control over publications generally. A good example of this is the Act, which consolidates two pieces of prior legislation, namely, the Printing Presses Act 1948 and the Control of Imported Publications Act 1958. A quick look at the Act will leave one in no doubt that it does impose restrictions over publications in general. More particularly, it is clear beyond argument, and indeed, senior federal counsel did not attempt to argue to the contrary, that s 8A(1) of the Act does impose restrictions on the right to freedom of speech and expression conferred by art 10(1)(a) of the constitution. We therefore answered this question in the affirmative.”

Akan tetapi, hak Parlimen untuk mengekang kebebasan media menurut Artikel 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan mestilah melepasi ujian proportionality. Dalam kes PP v. Azmi Sharom (2015) 8 CLJ 921, Hakim Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa: “In this regard, we agree with the learned judge in Sivarasa Rasiah, that the restriction that may be imposed by the Legislature under art. 10(2) is not without limit. This means to say that the law promulgated under art. 10(2) must pass the proportionality test in order to be valid. This, in our view is in line with the test laid down in Pung Chen Choon discussed earlier.” Sesuatu undang-undang yang tidak melepasi ujian proportionality boleh diputuskan oleh mahkamah sebagai tidak menurut Perlembagaan.

Pada hemat penulis, dalam sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, media dianggap sebagai salah satu cabang utama yang membentuk sesebuah negara. Media adalah sebagai agen check and balance bagi memastikan ketiga-tiga cabang kerajaan iaitu badan perundangan, badan kehakiman dan badan eksekutif tidak melangkaui bidang kuasa mereka. Oleh itu, adalah ­penting bahawa media kekal bebas dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

Akhir kata, adalah menjadi harapan penulis agar pengamal media menggunakan kuasa yang ada pada mereka dengan sebaiknya. Kuasa pengamal media untuk me­ngubah pandangan masyarakat terhadap sesuatu perkara bukanlah kuasa yang boleh dipandang mudah. Jika kuasa tersebut digunakan dengan sebaiknya, ia boleh membawa banyak manfaat kepada masyarakat dan negara.

DATUK M REZA HASSAN ialah seorang peguam.