Pun begitu kos yang tinggi untuk mendapatkan pembantu rumah asing sering menjadi persoalan dan masalah besar kepada sebahagian besar masyarakat yang memerlukan perkhidmatan ini. Kos yang tinggi ini sebahagian besarnya berpunca daripada kos yang perlu dikeluarkan bagi perkhidmatan ejen pembantu rumah asing.

Kos sekitar RM12,000 hingga RM18,000 untuk mengambil pembantu rumah asing sekiranya menggunakan ejen sudah tentu amat membebankan. Justeru, pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada akhir Oktober lepas telah mengambil kira keadaan ini dan menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam hal berkaitan kos mendapat pembantu rumah asing. 

Sekiranya majikan menguruskan sendiri pengambilan pembantu asing ini, dianggarkan 50 peratus kos dapat dikurangkan berbanding menggunakan khidmat ejen. 

Berkaitan, dalam kenyataan bersempena dengan pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan atau bajet pada akhir Oktober itu Perdana Menteri membolehkan para majikan memohon visa pembantu rumah secara terus daripada Jabatan Imigresen menggunakan perkhidmatan atas talian dengan bayaran atau jumlah levi tidak berubah.

 Dengan peraturan baharu yang membenarkan para majikan menguruskan sendiri hal pengambilan pembantu rumah asing maka ia boleh dilakukan dengan pantas. Sementara itu pihak imigresen telah menyediakan sembilan tatacara yang perlu diikuti dalam permohonan atas talian.

Keprihatian dalam meringankan beban kos isi rumah ini telah mendorong kerajaan membuat keputusan memberikan majikan peluang untuk mengambil pembantu rumah asing secara langsung atau secara peribadi daripada sembilan negara sumber tanpa menggunakan perkhidmatan ejen. Negara-negara tersebut ialah Indonesia, Filipina, Vietnam, Thailand, Sri Lanka, Nepal, Kemboja, Laos dan India.

Walaupun begitu, kerajaan juga masih terus membenarkan majikan menggunakan ejen-ejen pembantu rumah asing. Dengan kata lain, majikan masih lagi boleh menggunakan khidmat ejen pembantu rumah asing ini untuk menguruskan proses pengambilan pembantu tersebut. 

Dengan adanya pilihan proses ini sudah tentu ia memberi kesan ke atas kos yang perlu dilunaskan oleh para majikan dan pada masa sama, kerajaan tidak menutup peluang untuk para ejen pembantu rumah asing ini untuk menjalankan perkhidmatan mereka.

Peluang untuk majikan memilih proses pengambilan pembantu rumah ini adalah satu proses yang adil dan tidak memaksa. Keadaan ini menunjukkan keadilan kepada para majikan. Walaupun urusan berkaitannya perlu dilakukan sendiri, apa yang penting ialah peluang tersebut telah dibenarkan oleh kerajaan.
 
Di sebalik 'kegembiraan' para majikan ini, keputusan kerajaan tersebut sudah tentu sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan perkhidmatan ejen pembantu rumah asing apabila majikan lebih bersedia untuk mencari atau mendapatkan sendiri pembantu rumah tersebut. Hakikatnya keprihatinan kerajaan kepada majikan adalah mendahului dan ini adalah kerana rungutan terhadap kos pengambilan pembantu rumah asing ini sering didengar di merata tempat. 

Justeru, bagi membaikpulih keadaan, ejen-ejen pembantu rumah asing ini perlu memupuk daya saing dan pada masa masa menghormati polisi kerajaan yang tidak lagi memberikan mereka dominasi atau monopoli dalam hal ini. Ejen-ejen tersebut mungkin boleh memberikan perkhidmatan yang lebih baik dengan kos murah. 

Keadaan ini akan memberikan keadilan kepada kedua-dua belah pihak, para majikan dan juga pemberi khidmat ejen pembantu rumah asing. Jelas di sini bahawa polisi kerajaan yang baharu ini menghormati hak masyarakat sebagai pengguna.

Tanggungjawab

Dari segi undang-undang, walaupun para majikan mempunyai peluang untuk mengambil pembantu rumah asing secara persendirian, namun amanah dan tanggungjawab undang-undang adalah di bahu mereka. Mereka perlu bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan segala urusan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak Imigresen. 

Kebimbangan yang dizahirkan sebagai respons kepada polisi ini ialah isu pemerdagangan manusia. Terdapat pihak-pihak yang berasa bimbang bahawa keputusan kerajaan tersebut memudahkan aktiviti pemerdagangan manusia. 
Namun begitu, sangkaan begini tidak benar kerana setiap proses yang dilalui sentiasa dikawal oleh undang-undang. Bahkan ia adalah lebih selamat daripada penggunaan khidmat ejen kerana segala urusan dilakukan oleh majikan sendiri.

Majikan sendiri yang menawarkan pekerjaan kepada warga asing tersebut dan seterusnya majikan hendaklah menepati segala urusan perundangan. Dalam kes pemerdangangan manusia ia melibatkan penipuan dan paksaan. Namun, dalam urusan yang dibuat oleh majikan ini, mereka perlu menandatangani perjanjian.  

Dari segi penguatkuasaan undang-undang pula, adalah lebih mudah untuk pihak berkuasa, atau pihak imigresen untuk  mengenal pasti mereka yang bertindak melanggar undang-undang berkaitan kerana tatacara yang disediakan bagi permohonan atas talian itu mempunyai aspek-aspek pengenalpastian yang jelas. 

Antara kebimbangan lain tentang pelaksanaan polisi ini ialah ia akan menggalakkan penglibatan ejen-ejen haram untuk membantu para majikan mendapatkan pembantu rumah asing. Namun, masalah ejen haram ini sentiasa tidak lekang dan ia memerlukan kesedaran pihak majikan sendiri.

Ejen-ejen haram ini, sebagaimana juga amalan sebelum ini sentiasa menjadi masalah. Kesedaran dalam kalangan majikan adalah perkara utama yang perlu diberikan perhatian. Majikan hendaklah sedar bahawa penggunaan ejen haram akan lebih menyusahkan mereka. 

Akhir sekali hal keselamatan majikan juga menjadi aspek penting untuk diperkatakan dalam polisi terbaru ini. Pihak Kementerian Dalam Negeri sentiasa menjadi rujukan kerana agensi ini adalah agensi yang bertanggungjawab mempastikan keselamatan para majikan dengan segala sistem penyaringan warga asing, termasuklah pembantu rumah asing. 

Sistem sedia ada yang mengenal pasti mengenai identiti setiap warga asing yang tiba di negara kita hendaklah digunakan bagi menjaga keselamatan majikan.

PENULIS adalah Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)