Tetapi memang benar juga andaian setelah dua tahun Raja Salman mengambil alih tampuk pemerintahan, dasar luar Arab Saudi dikatakan agak lebih menonjol terutama sekali jika dikaitkan dengan faktor Yemen, Syria dan juga Iran.

Sebab itu juga setiap tindakan yang diambil oleh Raja Salman tidak kira sama ada besar atau kecil, ia sudah pasti akan mendapat perhatian dunia.

Apatah lagi dengan kedudukan negara Arab ini yang dianggap sebagai amat berpengaruh dan dominan dalam mempengaruhi geopolitik global.

Telah wujud pada ketika ini apa yang digelar Doktrin Raja Salman yang mengesahkan setiap tindakan Raja Salman bukan sahaja diteliti tetapi dianalisis akan kesannya.

Apabila Raja Salman menolak undangan Presiden Barack Obama untuk melakukan lawatan rasmi ke Amerika Syarikat (AS) pada Mei 2015, tindakan baginda dianggap amat kritikal.

Ini memandangkan jika diambil faktor bahawa AS dan Iran pada ketika itu hampir memuktamadkan perjanjian pembangunan nuklear.

White House merasa agak gusar pada ketika itu kerana tanpa sokongan Arab Saudi, perjanjian tersebut dianggap begitu rapuh dan tidak mempunyai kekuatan tersendiri.

Tetapi akhirnya Raja Salman bersetuju melawat AS pada September 2015 dan peristiwa ini melegakan banyak pihak yang mahu melihat Iran dikekang dari segi pembangunan nuklear mereka.

Begitu tinggi impaknya lawatan Raja Salman ke AS bukan sahaja kerana faktor perjanjian pembangunan nuklear Iran tetapi kerana, jika berlatar belakangkan senario setiap Raja Arab Saudi dan ini termasuk Raja Salman jarang sekali melakukan lawatan rasmi ke luar negara.

Dan jika ia berlangsung, lawatan tersebut tidak dianggap sebagai peristiwa protokol yang lazim tetapi mempunyai maksud yang begitu berat.

Umpamanya Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi adalah dua sekutu yang begitu akrab jika geopolitik Timur Tengah diambil kira.

Tetapi Raja Salman hanya mengunjungi UAE pada Disember lepas dan lawatan tersebut amat dihargai oleh pemerintah UAE kerana implikasinya amat besar sekali.

Kunjungan Raja Salman ke UAE yang diikuti lawatan ke Qatar, Bahrain dan Kuwait dianggap sebagai dasar Arab Saudi untuk mengukuhkan kerjasama ahli Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Hal ini kerana baginda berpendapat ia strategi terbaik bagi mengekang campur tangan asing dalam hal ehwal negara Arab.

Sokongan

Begitu jua dengan lawatan Raja Salman ke Turki untuk bertemu dengan Recep Tayyip Erdogan pada April tahun lepas adalah pengamalan dasar luar sebagai sokongan tidak berbelah bahagi Riyadh kepada Ankara.

Walaupun lawatan Raja Salman itu bersempena dengan Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang diadakan di Istanbul, pertemuan dengan kedua-dua pemimpin tersebut membawa isyarat yang penting terutama sekali perkara berkaitan Syria.

Beberapa hari sebelum berkunjung ke Turki, Raja Salman telah melakukan lawatan rasmi selama lima hari ke Mesir.

Adalah begitu jelas sekali pertemuan baginda dengan Presiden Abdel Fattah al-Sisi adalah manifestasi Arab Saudi membantu Mesir menangani isu keganasan terutama sekali yang membabitkan pertembungan Sunni-Syiah.

Sebab itu juga tidak keterlaluan jika diandaikan kesudian Raja Salman untuk melakukan lawatan rasmi ke Malaysia tidak lama lagi adalah peristiwa yang unik.

Apatah lagi besar kemungkinan lawatan ini diharap akan membawa maksud dan impak yang begitu besar sekali.

Ini adalah kerana baginda jarang sekali melakukan lawatan rasmi terutama bagi negara yang berada di luar rantau Asia Barat.

Jika diteliti di rantau tersebut baginda hanya mengunjungi beberapa negara sekutu kuat Arab Saudi sahaja dan hanya AS sahaja yang Raja Salman pilih untuk berkunjung dan melakukan lawatan bagi negara yang berada di luar rantau Asia Barat.

Walaupun terdapat desas-desus bahawa baginda akan membuat lawatan ke satu lagi negara kuasa besar iaitu Rusia, nampak gayanya ia sukar untuk berlaku berikutan dengan pembabitan Moscow dalam konflik Syria.

Memang benar hubungan antara Kuala Lumpur-Riyadh adalah begitu akrab sejak sekian lama – tidak kira dari segi diplomatik, ekonomi, agama, kebudayaan atau pertahanan.

Tetapi, lazimnya pemimpin tertinggi negara yang akan mengunjungi Raja Salman dan bukan sebaliknya.

Sebab itu menjadi tanda tanya apakah isyarat yang cuba disampaikan oleh baginda apabila sudi membuat kunjungan julung-julung kali ke Malaysia.

Memang menarik bagi pemimpin negara untuk menimbulkan agenda penambahan kuota ibadah haji bagi rakyat Malaysia tetapi agak pasti juga isu geopolitik global akan menjadi tajuk perbincangan utama.

Malaysia sebagai ahli dalam gabungan tentera Islam 34 negara yang diasaskan oleh Arab Saudi pada Disember 2015 untuk memerangi keganasan – besar kemungkinan akan menjadi agenda utama.

Jika Raja Salman berpendapat GCC boleh digunakan sebagai benteng campur tangan asing di sebelah Asia Barat. Maka Malaysia sebagai salah sebuah negara Islam di rantau Asia Pasifik juga boleh dijadikan benteng.

Ia bukan sahaja meliputi dalam memerangi keganasan tetapi juga campur tangan asing terutama sekali yang melibatkan agama, penduduk dan negara Islam.

Jika ketika mula memulakan tugas sebagai Presiden AS pada 2009, Obama secara spesifik menyatakan dunia Islam perlu mencontohi Malaysia sebagai contoh model negara Islam yang terbaik.

Maka tidak keterlaluan juga diandaikan dalam lawatan ini Raja Salman juga mempunyai pendapat selari dengan Obama terhadap Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh yang pragmatik.

* PENULIS ialah Geostrategis di Perdana School and Geospatial Institute, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)