Mengapa Felda dikatakan pen­ting dalam pilihan raya kali ini? Ini kerana daftar pengundi baharu menunjukkan seramai lebih kurang 570,000 pengundi terdiri daripada warga Felda di seluruh negara. Hampir kesemua negeri di dalam negara mempunyai pengundi warga Felda.

Secara puratanya sebanyak 54 kawasan Parlimen mempunyai pe­ngundi Felda yang melebihi 1,000 pengundi manakala 93 Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara mempunyai pengundi warga Felda. Lima Parlimen yang mempunyai pengundi Felda tertinggi adalah Jempol, Kuala Krau, Rompin, Kota Tinggi dan Pengerang.

Untuk melihat dengan lebih tepat mengapa pengundi Felda dan organisasi Felda menjadi tum­puan dalam menghadapi P­­RU-14 ini, mari kita kaji beberapa Parlimen terpilih. Parlimen Pengerang contohnya, pengundi Felda ber­jumlah lebih kurang 24,300 manakala jumlah ke­seluruhan pe­ngundi di Parlimen ini adalah 40,070 orang. Ini bermaksud lebih kurang 60 peratus pengundi di Parlimen ini adalah warga Felda. Dalam congakan mudah, jika i­ngin menang bergaya di Parlimen Pengerang, jaga pengundi Felda sebaik-baiknya.

Contoh lain yang agak signifikan adalah Parlimen Bera. Jumlah keseluruhan pengundi di Parlimen ini adalah sekitar 56,600, sementara pengundi warga Felda berjumlah 23,300 orang mewakili kira-kira 41 peratus daripada pengundi keseluruhan di Parlimen ini. Majoriti kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dalam PRU-13 pula adalah 2,143 sahaja.

Secara perkiraan mudah, ke mana perginya undi warga Felda dalam PRU lalu di Parlimen ini? Adakah mereka tidak keluar me­ngundi atau memilih pembangkang? Atau mungkinkah kerana wujud sokongan pengundi warga Felda yang menyebabkan BN memperoleh kemenangan tipis di Parlimen ini. Perkembangan daripada keputusan PRU-13 ini jika masih berterusan di Parlimen Bera, kawasan ini mungkin boleh diibaratkan seperti telur di hujung tanduk kepada BN.

Di Parlimen Raub pula, pe­ngundi keseluruhan sekitar 57,000 orang dengan pengundi Felda berjumlah sekitar 7,300 orang. BN tewas dengan majoriti 2,814 undi di Parlimen ini. Ke mana pergi pengundi Felda? Adakah mereka yang menyebabkan punca BN tewas di Parlimen ini atau mungkinkah undi mereka yang membantu mengelak BN daripada kalah lebih besar di situ.

Parlimen Bentong pula melibatkan jumlah keseluruhan pe­ngundi sekitar 66,320 orang. Pengundi warga Felda berjumlah 12,800. Ahli Parlimen di situ, Da­tuk Seri Liow Tiong Lai yang juga Presiden MCA menang de­ngan majoriti 379 undi. Persoalannya, mengapa BN menang tipis sedang­kan pengundi Felda berjumlah lebih 12,000 orang? Adakah majoriti pengundi Felda tidak memilih calon BN atau pun mungkin dengan bantuan pengundi Felda yang membolehkan BN menang tipis di Parlimen ini?

Secara rambangnya, beberapa kawasan Parlimen yang mempunyai pengundi warga Felda ramai perlu dikaji secara mendalam tahap semasa kecen­derungan pengundi kepada BN. Antara Parlimen berkenaan adalah Pengerang, Kuala Krau, Kota Tinggi, Maran, Jempol, Bera, Paya Besar, Jerantut, Jelebu, Bentong, Tanjung Malim, Tampin dan beberapa Parlimen lagi.

Dengan melihat statistik diberikan, kita boleh membuat pelbagai andaian terhadap pengundi Felda ini. Bagaimanapun, dalam PRU-13 lalu tidak dinafikan pengundi Felda telah memberi sokongan besar terhadap BN. Daripada 54 kawasan Parlimen yang mempunyai pengundi Felda, cuma dua Parlimen sahaja BN tewas iaitu di Parlimen Raub dan Dungun. Prestasi ini perlu dikekalkan jika BN mahu terus berkuasa.

Statistik pengundi warga Felda dan kedudukan mereka di dalam Parlimen perlu diperhalusi kerana ia membantu jentera BN memfokuskan gerak kerja meraih sokongan warga pengundi Felda. Dalam menggerakkan jentera, BN perlu mengetahui lokasi pe­ngundi Felda, di samping melihat keputusan PRU lepas sebagai perbandingan.

Begitu juga dengan kecen­derungan pengundi berdasarkan margin kemenangan di peti undi dan lokaliti boleh dibuat perbandingan bagi melihat tahap sokongan warga Felda kepada BN. Semua ini perlu dikaji bagi menilai sejauh manakah soko­ngan sebenar warga Felda terhadap BN untuk PRU akan datang.

Setelah melihat statistik dan sedikit gambaran tentang pe­ngun­di warga Felda serta kedudukan mereka di Parlimen-Parlimen tertentu, kita akan sedari me­ngapa pembangkang begitu fokus menyerang BN di kawasan Felda. Ini kerana peluang untuk mereka menguasai kerusi Parlimen ter­tentu terbuka luas jika pengundi warga Felda beralih arah.

Antara kerusi-kerusi Parlimen yang berada dalam keadaan genting dengan jumlah pengundi yang ramai warga Felda adalah Labis dengan majoriti tipis dimenangi oleh BN sebanyak 343 undi, Bentong (379), Bera (2,143), Ca­meron Highlands majoriti (462) dan Sekijang (3,007).

Gambaran keputusan PRU lalu dan pandangan umum menunjukkan di sesetengah tempat, pengundi warga Felda ternyata tidak memilih calon BN seperti di Parlimen Bentong dan Bera. Ini mungkin atas faktor tradisi kawasan ini merupakan kubu kuat pembangkang, terpengaruh de­ngan dakyah pembangkang, tidak berpuas hati dengan calon BN, tidak berpuas hati dengan isu-isu setempat yang timbul atau janji-janji tidak ditunaikan. Semua ini perlu dikaji BN dalam mendepani gerakan memancing pengundi Felda.

Kebelakangan ini isu dan sentimen berkaitan Felda kembali didendangkan. Kali ini isu Felda hebat diperkatakan dalam pelbagai peringkat masyarakat - tidak ha­nya dalam kalangan warga Felda.

Dalam kedudukan begini, mam­­pukah BN untuk terus memperoleh sokongan majoriti pe­ngundi Felda? Atau isu Felda ini akan menjadi nila yang bakal me­rosakkan susu sebelanga. Hanya BN dan UMNO yang bakal menentukannya nanti.

DATUK AHMAD FARIS ABDUL HA­LIM ialah penganalisis isu-isu semasa.