Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih juga kepada pihak sekolah dan para guru atas segala sumbang bakti, pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit bagi memberi pendidikan terbaik.

Ini termasuklah mengadakan kelas tambahan di sebelah malam dan hujung minggu serta aktiviti pengukuhan beberapa bulan sebelum peperiksaan bermula.

Namun begitu, persoalan yang bermain di fikiran lepasan SPM kini ialah ke mana arah tuju pendidikan mereka. Secara umumnya terdapat beberapa laluan melanjutkan pelajaran bagi lepasan SPM. Pelajar boleh memilih untuk ke Tingkatan 6, matrikulasi ataupun mengikuti program asasi, diploma dan ijazah di dalam dan luar negara.

MATRIKULASI, ASASI, DIPLOMA

Bagi yang memperoleh keputusan cemerlang, peluang mereka terbuka luas. Pelajar boleh memilih untuk melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Kementerian Pendidikan. Terdapat sekurang-kurangnya 17 buah Kolej Matrikulasi di seluruh negara yang menawarkan kursus aliran sains, teknikal dan perakaunan.

Tempoh pembelajaran selama dua hingga empat semester bergantung kursus yang dipilih. Pelajar yang tamat dengan cemerlang berpeluang untuk melanjutkan pelajar ke peringkat ijazah mengikut aliran masing-masing.

Lepasan SPM juga boleh memilih untuk mengikuti pengajian di peringkat asasi dan diploma di IPTA, IPTS dan Politeknik mengikut bidang yang diminati. Bagi program asasi tempoh program antara satu hingga dua tahun.

Untuk pengetahuan pelajar, program asasi adalah sama seperti program matrikulasi sebagai kursus persediaan ke peringkat ijazah. Cuma bezanya ia dilaksanakan di universiti. Setelah tamat, pelajar boleh memilih untuk meneruskan pengajian ijazah di universiti yang sama atau di institusi pendidikan lain.

Program di peringkat diploma pula biasanya 5 – 6 semester dengan tajaan biasiswa, pembiayaan sendiri atau boleh memohon Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Di peringkat ini pelajar boleh memilih bidang sains dan teknologi ataupun bidang sains sosial berdasarkan kecenderungan masing-masing. Atau boleh juga mengikuti Kursus Diploma Kemahiran Malaysia di Institut Latihan Perindustrian, Kolej Komuniti dan Akademi Binaan Malaysia CIDB dalam kemahiran industri, pertukangan dan pertanian.

IJAZAH PERGURUAN

Satu lagi yang popular dan menjadi pilihan lepasan SPM ialah Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP). Ia merupakan laluan pantas dan selamat kepada lepasan SPM kerana berpeluang melanjutkan pelajaran dan pada masa yang sama kerjaya masa depan sudah terjamin. Namun begitu syarat kemasukannya agak ketat dengan calon mestilah memperoleh Gred Cemerlang (A+, A dan A-) dalam mana-mana 5 mata pelajaran sebagai syarat minimum.

Melalui program ini pelajar akan mengikuti program perguruan selama empat tahun dengan setahun program persediaan. Calon yang terpilih akan menduduki Ujian Kelayakan Calon Guru sebelum dipanggil untuk menduduki temu duga.

Calon yang berjaya kemudiannya akan ditempatkan di mana-mana Institut Pendidikan Guru sebelum tamat sebagai guru terlatih dan ditempatkan untuk mengajar di sekolah ditetapkan pihak KPM.

Terdapat juga Program Persediaan Luar Negara untuk pelajar yang mendapat keputusan sangat cemerlang. Biasanya calon yang terpilih akan mendapat tajaan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ataupun Mara. Selain itu terdapat juga institusi dalam dan luar negara yang menyediakan biasiswa tertentu yang diiklankan di akhbar tempatan.

TINGKATAN ENAM

Bagi pelajar yang tidak mendapat tawaran ke mana-mana laluan di atas usah gundah-gulana dan berkecil hati. Pelajar boleh menunggu tawaran untuk memasuki Tingkatan Enam. Tempoh pembelajaran selama 18 bulan atau 3 semester dan pelajar dikehendaki mengambil kesemua lima atau enam mata pelajaran.

Walau bagaimanapun tawaran ini tertakluk kepada syarat am, sekurang-kurangnya lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dengan kepujian selain syarat khas mengikut jurusan yang dipilih sama ada jurusan sains, sains sosial, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Berasrama Penuh terpilih.

Walaupun Tingkatan Enam biasanya menjadi pilihan akhir lepasan SPM, pelajar yang tamat juga boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama menggunakan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Malah pelajar juga boleh melanjutkan pelajaran ke luar negara yang menerima kemasukan STPM setaraf dengan Al-Level.

Dengan penilaian mengikut semester dan kaedah pembelajaran seperti di universiti, pembelajaran di Tingkatan 6 juga sesuatu yang mencabar dan menyeronokkan. Menariknya lagi pelajar tidak tertakluk dengan uniform sekolah dan paling senior di sekolah.

Pelajar aliran agama boleh menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Tingkatan 6 bagi melayak diri untuk melanjut pengajian dalam bidang agama di Timur Tengah.

DI MANA ADA KEMAHUAN, DI SITU...

Bagi lepasan SPM yang kurang cemerlang pula usah berduka lara, kerana banyak lagi kaedah untuk menjadi seorang yang berjaya dan bekerjaya. Terdapat Institusi Pendidikan Tinggi Swasta yang diiktiraf oleh KPM dan menerima kemasukan pelajar dengan minimum tiga kepujian di peringkat SPM.

Malah tidak salah jika mengulang semula SPM dan belajar daripada kesilapan lalu. Pelajar juga dinasihatkan berbincang dengan ibu bapa serta kaunselor di sekolah bagi mendapatkan nasihat dan pandangan kedua selain boleh melayari laman sesawang KPM untuk mendapatkan maklumat mengenai syarat kemasukan dan informasi terkini.

Percayalah di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Usah difikirkan kos dan perbelanjaan yang terpaksa ditanggung. Apa yang lebih penting ialah kesungguhan untuk belajar dan menjadi individu yang berjaya.

Malah ibu bapa pastinya yang paling gembira apabila anak-anak mendapat tawaran ke IPT sehingga mereka sanggup bergolok gadai demi kejayaan anak-anak di masa hadapan.

DR. MOHD. ALI MUHAMAD DON ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.