Afrika telah mencapai kemajuan baik dari segi politik, budaya, seni bina mahupun ilmu pengetahuan ketika Eropah masih berada dalam zaman kegelapan.

Tetapi kenapa hampir kesemua bukti tamadun hebat itu telah hilang dan Afrika kini digambarkan sebagai sebuah tempat yang mundur dan miskin?

Malah, sebahagian besar artifak bersejarah dari Afrika kini disimpan di muzium-muzium di Eropah atau berada dalam koleksi peribadi orang Eropah.

Rencam minggu ini memaparkan beberapa bandar hebat yang pernah wujud di Afrika dan bagaimana ia boleh hilang dalam lipatan sejarah.

Jawapan kepada persoalan di atas mungkin mengejutkan sebahagian besar daripada kita.

Penjajah Eropah telah memusnahkan sebahagian besar bukti kewujudan tamadun di Afrika sama ada sebagai hukuman atau merampas tanah tersebut di bawah undang-undang Terra Nullius.

Di bawah undang-undang tersebut, kaedah utama untuk membuktikan bahawa tanah tersebut layak dijajah ialah, Terra Nullius yang bermaksud ‘tanah tidak dimiliki sesiapa’.

Istilah tersebut digunakan dalam undang-undang antarabangsa bagi menunjukkan sesuatu wilayah tidak pernah mempunyai kerajaan ataupun telah diserahkan atau ditinggalkan oleh kerajaan sebelumnya. Cara untuk mengambil tanah tidak bertuan itu adalah menerusi penjajahan.

Banyak pulau diambil oleh orang Eropah dengan cara tersebut. Ini kerana mudah bagi mereka membunuh populasi kecil penduduk di situ bagi membuktikan tempat itu tidak berpenghuni sebelum ketibaan penjajah.

Namun, penjajah Eropah sukar untuk mencari tanah tidak bertuan di Afrika kerana benua itu bukan Terra Nullius. Undang-undang Terra Nullius kemudian dipinda bagi memasukkan tanah yang didiami orang gasar dan tidak bertamadun.

Sekali lagi, kuasa penjajah menghadapi kesulitan untuk membuktikan Afrika adalah tempat orang gasar dan tidak bertamadun.

Sebaliknya, mereka mendapati tempat itu mempunyai kerajaan dan sangat maju dari segi politik dan budaya.

Bagi menjarah wilayah tersebut, penjajah Eropah memusnahkan apa sahaja bukti kewujudan tamadun di situ dan menjadikan penduduknya sebagai hamba abdi. Itulah apa yang telah berlaku ke atas Afrika.

Benin

Pada zaman pertengahan, bandar Benin yang terletak di Nigeria boleh disamakan dengan Tembok Besar China. Bandar tersebut mempunyai sistem pertahanan yang merangkumi tembok yang keseluruhannya sepanjang 16,000 kilometer dan seluas 6,500 kilometer persegi.

Tembok tersebut adalah benteng diperbuat daripada tanah yang terbesar di dunia sebelum era mekanikal.

Tembok tersebut adalah empat kali ganda lebih panjang berbanding Tembok Besar China dan menggunakan 100 kali ganda lebih banyak bahan daripada Piramid Agung Giza.

Benin mempunyai 30 batang jalan utama yang sangat lurus dan selebar 36.5 meter. Kedudukan setiap rumah adalah sangat tersusun dan rapat antara satu sama lain.

Menurut Walter Rodney dalam bukunya How Europe Underdeveloped Africa, penduduk Benin amat mementingkan kebersihan. Mereka membersih dan menggosok rumah dengan baik sehingga berkilat seperti kaca.

Seni bina Benin juga sangat berkualiti dan setanding dengan hasil kerja terbaik Eropah.

Namun, bandar tersebut hancur dimusnahkan tentera British pada 1897. Bandar itu diletupkan dan barangan berharganya dicuri.

Koleksi barangan tembaga Benin yang popular kini disimpan di Muzium British di London. Sebahagian daripada 700 barangan tembaga yang dicuri oleh tentera British dijual semula kepada Nigeria pada 1972.

Timbuktu

Timbuktu adalah bandar purba yang terletak di Mali, Afrika Barat. Pada abad ke-14, Timbuktu adalah lima kali ganda lebih besar daripada London dan merupakan bandar terkaya di dunia, mengatasi China dan Iraq.

Populasi penduduknya pada masa itu adalah seramai 115,000 orang, lima kali ganda lebih besar berbanding London ketika itu.

Namun, hari ini, Timbuktu adalah 236 kali lebih kecil daripada London dan tidak ada langsung ciri-ciri bandar moden. Populasinya juga dua kali ganda lebih kecil berbanding lima abad dahulu dan bilangan peminta sedekah semakin bertambah. Bandar itu sendiri tidak mampu memulihara monumen-monumen bersejarah yang telah hancur.

Ketika abad ke-14, Timbuktu berada di bawah Empayar Mali meliputi Mali, Senegal, Gambia dan Guinea. Pada masa itu, Empayar Mali mengeluarkan lebih daripada separuh bekalan garam dan emas dunia. Empayar tersebut diperintah Mansa Musa yang dikatakan sebagai manusia terkaya dalam sejarah kemanusiaan. Mansa Musa yang meninggal dunia pada 1331, dikatakan mempunyai nilai kekayaan bersamaan dengan AS$400 bilion.

Dari segi budaya intelektual, National Geographic menggambarkan Timbuktu ibarat Paris zaman pertengahan. Menurut Profesor Henry Louis Gates, seramai 25,000 pelajar universiti belajar di situ.

Di Timbuktu hari ini, terdapat kira-kira 70,000 buku lama yang masih terselamat. Buku tersebut ditulis dalam bahasa Mande, Suqi, Fulani, Timbuktu dan Sudan. Kandungannya termasuk matematik, perubatan, puisi, undang-undang dan astronomi.

Ensiklopedia pertama di dunia dihasilkan di Mali pada abad ke-14. Orang Eropah hanya mendapat idea untuk menghasilkan ensiklopedia 400 tahun kemudian.

Ahli matematik Timbuktu juga mengetahui tentang peredaran planet dan gerhana 150 tahun hingga 200 tahun sebelum Galileo Galilei dan Nicolaus Copernicus tampil dengan teknik pengiraan yang sama.

Kumasi

Kumasi adalah ibu kota Empayar Asante yang wujud dari 1670 hingga 1957. Empayar Asante terletak di Ghana. Lukisan-lukisan menceritakan kehidupan di Kumasi pada 1800-an, menunjukkan banyak rumah dua tingkat, bangunan segi empat dengan atap jerami.

Kompleks Istana Manhyia yang dilukis dalam satu lukisan lain hampir serupa dengan istana Kota Norman tetapi seni binanya lebih menarik. Menurut portal AfricanAgenda.net, rumah di Kumasi memiliki tandas di tingkat atas pada 1817. Kekayaan, kemodenan dan kemakmuran bandar tersebut pada 1800-an banyak didokumentasikan di dalam lukisan dan gambar.

Seorang ahli sejarah dan penjelajah British, Winwood Reade yang pernah melawat istana Raja Ashanti di Kumasi pada 1874 menyatakan: “Kami pergi ke istana raja, yang terdiri daripada banyak ruang, setiap satunya mempunyai sudut kecil dan beranda, dan mempunyai dua pintu, supaya setiap halaman bersambung....” Menurut Reade, bahagian istana yang menghadap jalan merupakan binaan batu dengan gaya seni bina Moor. Bilik di tingkat atas pula memiliki persamaan dengan Wardour Street.

Namun, bandar Kumasi dimusnahkan dan barangan berharganya dicuri oleh tentera British pada penghujung abad ke-19.

Loango

Bandar Loango terletak di dalam kawasan Congo dan Angola pada masa sekarang. Kehidupan di bandar tersebut digambarkan dalam beberapa lukisan pada pertengahan 1600-an.

Berdasarkan lukisan tersebut, Loango adalah sebuah bandar terancang yang sangat luas dan di kelilingi tembok serta rancak dengan perdagangan. Keluasan kompleks istana sahaja hampir satu kilometer persegi dan mempunyai banyak halaman dan taman.

Dari segi kemajuan sains, penduduk Loango menggunakan matematik untuk aritmetik malah kajian bintang. Mereka menggunakan matematik peringkat tinggi dan algebra linear. Tulang Ishago dari Congo merupakan kalkulator yang berusia 25,000 tahun.

Namun, keindahan bandar Loango dan sejarahnya dihancurkan oleh penjelajah Eropah yang mencari kekayaan.

Kilwa

Kilwa merupakan sebuah bandar purba di Tanzania dan bandar tertua di Afrika Timur. Bandar tersebut wujud pada abad kesembilan dan mencapai puncak kemakmurannya pada abad ke-13 dan ke-14.

Pengembara terkenal, Ibn Battuta mengatakan Kilwa adalah sebuah bandar berkelas dunia. Dalam catatannya pada 1331, beliau menggambarkan Kilwa sebagai “antara bandar tercantik dan dibina dengan baik di dunia, keseluruhannya dibina dengan menarik”.

Kehebatan Kilwa masih dapat dilihat pada kesan tinggalan yang ada pada tapak arkeologi kota lama itu. Arca gotik dan kerja pemahatan batu yang rumit adalah antara bukti kehebatan seni bina Kilwa suatu ketika dahulu.

Kilwa yang berfungsi sebagai pelabuhan antarabangsa Afrika pernah mengeluarkan mata wangnya sendiri dari abad ke-11 hingga ke-14.

Namun, segala sejarah hebat Kilwa dimusnahkan oleh tentera Portugis pada 1505.