Apabila beralih kuasa kerajaan maka sistem dan corak pemerintahan mungkin berubah berdasarkan kepada objektif perjuangan parti politik. Perkara ini sering berlaku dalam negara-negara Islam yang berkiblat kepada kuasa besar bagi mencorakkan sistem pentadbiran dan pemerintahan negara. Ini disebabkan setiap parti politik dalam negara tersebut amat bergantung kepada kuasa besar untuk menentukan kejayaan mereka menguasai negara.

Jika parti politik yang me­nerajui negara kecundang dalam perebutan kuasa maka sistem pentadbiran dan pemerintahannya dihapuskan dan diganti de­ngan sistem dan polisi yang baharu berdasarkan kepada ideologi dan polisi kuasa besar yang menjadi kiblat kepada parti politik tersebut. Misalnya, jika parti politik yang kalah berkiblatkan kepada kuasa besar yang menganuti sistem sosialis, maka kesemua sistem pentadbiran dan pemerintahannya dihapuskan oleh parti politik yang baharu. Jika parti politik yang menerajui negara itu berkiblatkan kepada kuasa besar yang mengamalkan sistem kapitalis, maka sistem pemerintahan negara tersebut akan bertukar menjadi sistem kapitalis. Ini adalah fenomena yang wujud dalam negara Islam terutamanya negara-negara Arab.

Suasana peralihan kuasa dan perubahan sistem pemerintahan negara begini bukan sahaja boleh menyebabkan negara menjadi mundur dan tidak berupaya untuk membentuk satu sistem pemerintahan secara berkesan dan makmur, malah ia juga menjadi medan perebutan kuasa besar untuk mengaut kekayaan dalam negara dan secara tidak langsung rakyat dalam negara tidak dapat menikmati kekayaan yang dianugerahkan oleh Allah kepada mereka.

Fenomena begini adalah salah satu faktor utama kewujudan beratus pergerakan radikal Islam di negara-negara tersebut. Mereka menentang dasar Ekonomi Terbuka Tanpa Batasan (Infitah) yang diamalkan oleh negara dan pelbagai sistem yang mencengkam rakyat. Apabila suasana begini wujud dalam negara, maka tidak mungkin kerajaan boleh membangun dan memajukan negara kerana kerajaan perlu me­numpukan perhatian kepada keamanan dan ketenteraman.

Malaysia adalah sebuah negara Islam yang amat berbeza dengan negara-negara Islam yang lain. Sikap yang terlalu gemar mencontohi sistem dan corak peme­rintahan negara-negara lslam yang lain tidak akan diterima oleh rakyat dalam negara ini. Setiap pemimpin dan pentadbir dalam negara ini perlu memahami bahwa kekerasan dan tindakan yang terlalu membatasi suara rakyat untuk mengkritik dasar dan sistem pemerintahan secara memperkenalkan pelbagai akta tidak boleh diterima oleh masyarakat dalam negara ini. Sejarah menunjukkan bahawa kebanyakan para pemimpin negara Arab sejak mendapat kemerdekaan daripada penjajah sehingga kini kurang menumpukan perhatian kepada pembangunan negara berdasarkan kepada konsep dan prinsip yang digariskan oleh Islam.

Para pemimpin lebih gemar untuk menunjukkan kuasa secara kekerasan kepada rakyat dan memperkayakan diri masing-masing. Kekerasan dan kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat dengan memperkenalkan pelbagai akta untuk menutup mulut rakyat seperti the Law of Shame yang memberi kuasa kepada polis menembak sesiapa yang disyaki menentang kerajaan yang diamalkan oleh kebanyakan negara Arab menyebabkan ramai golongan bijak pandai berhijrah ke negara lain.

Apabila ramai golongan bijak pandai berhijrah ke negara lain maka negara menghadapi ke­tandusan idea yang bernas untuk merancang pelbagai perancangan yang boleh membangunkan negara. Oleh itu proses pembangunan yang bertepatan dengan kehendak rakyat dan negara sukar untuk dilaksanakan. Keadaan begini memberi kuasa sepenuhnya kepada pemimpin untuk menindas rakyat dan mengaut kekayaan.

Sistem pendidikan Malaysia yang bertaraf antarabangsa mampu menjadikan anak-anak petani dan nelayan mencapai taraf golo­ngan pertengahan dan menjawat jawatan penting dalam pentadbiran dan pemerintahan negara. Masyarakat yang dibesarkan dengan sistem pendidikan yang sempurna dan kelunakan kepimpinan negara tanpa mencengkam kebebasan untuk bersuara adalah asas kepada pembangunan negara dan pengekalan kuasa.

Jika rakyat merasai hak dan kebebasan mereka dicengkam dan kehidupan semakin terdesak untuk mendapat nafkah dalam kehidupan maka sifat lunak dan tolak ansur semakin hari kian luntur terhadap kerajaan. Oleh itu mereka menuntut perubahan kerajaan. Sejarah menunjukkan ini adalah realiti yang berlaku dalam setiap kerajaan di dunia ini.

PROF. MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN dari Jabatan Usuludin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).