IMTIAS di Terengganu, Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Maahad Tahfiz di Jugra, Selangor mengambil pendekatan integratif dalam pe­ngajaran dan pembelajarannya di samping negeri lain yang me­nganjurkan corak sama.

Tradisi hafazan telah bermula sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Ia berkembang apabila tradisi quttab dan suffah diasaskan dan disuburkan oleh para sahabat dan seterusnya institusi nizamiyyah dan madrasah yang digerakkan oleh para ulama dan lembaga-lem­baga Islam yang melihat ke­pentingan tahfiz dalam memba­ngun kekuatan rohaniah, sumber ilmu dan kewujudan sistem yang merintis jalan tamadun.

Di zaman puncak tamadun Islam, menjadi kelaziman ilmuwan Islam menjalani tradisi tahfiz bagi membolehkan sumber ilmu diambil untuk dikembangkan da­lam kepakaran dan keahlian yang pen­ting untuk membangun sistem.

Ilmuwan Islam seperti Ibn Nafis, pakar dalam bidang ilmu perputaran darah (blood circulation); Al Khawarizmi, pakar dalam bidang matematik; Ibn Sina, ahli dalam bidang perubatan; Abu Qasim az Zahrawi, pakar dalam bidang ilmu bedah dan ramai lagi adalah huffaz di samping memiliki keahlian dalam pelbagai disiplin ilmu. Mereka berjaya menghasilkan tradisi ulul al bab yang memberi suluh kepada tamadun yang berkembang lebih 700 tahun dan diambil oleh ilmuwan Barat untuk mencetuskan perubahan dan kemajuan di sana.

Al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia khususnya golo­ngan bertakwa (hudan linnas dan huddan lil muttaqeen) memberi kesan amat besar terhadap kebangkitan ilmu dan kesuburan tamadun. Ia bukan sekadar ilmu yang sifatnya rabbaniyyah tetapi ia terkandung perisyaratan dan prinsip mengenai sains, teknologi, angkasa lepas, kemasyarakatan, hukum, psikologi dan banyak lagi. Terdapat jumlah yang besar ayat-ayat al-Quran memberi perisyaratan mengenai sains. Keupayaan ilmuwan silam menguasai bidang taf­sir menyebabkan al-Quran men­jadi suluh untuk meneroka alam dan kehidupan supaya perubahan yang berlaku terpandu dan tamadun yang lahir terpimpin.

Cabaran globalisasi yang ada ingin menjadikan umat Islam se­perti orang Barat. Jalur liberalisasi yang sedang berkembang bakal memberi kesan terhadap umat Islam dan umat manusia dalam semua dimensi. Liberalisasi yang didukung oleh media cetak dan elektronik, sistem komunikasi dan telekomunikasi, pengaruh digital dan elektronik bakal membangun teknologi tinggi (high-tech) dan mencairkan hubungan keinsanan (high-touch).

Oleh itu, amat perlu kebangkitan Islam digilap kembali menerusi terhasilnya generasi al-Quran yang tidak sahaja huffaz tetapi pada masa sama mampu mencetuskan perubahan ke arah kemajuan lebih bermakna berasaskan pengembangan ilmu bersumberkan al-Quran dan as-sunnah.

Contohnya, institusi Darul Qu­ran Jakim telah memulakan tradisi hafazan yang baik dan menghasilkan ramai huffaz yang menyumbang ke arah peningkatan syiar Islam. Melihat cabaran globalisasi kini, sudah sampai masanya bidang pengajian di Darul Quran di­tingkatkan supaya mampu menghasilkan graduan yang bersedia menghadapi cabaran zaman.

Sekiranya bidang pengajian di Darul Quran diperluaskan skop­nya dan institusi itu dinaikkan ke taraf Jamiah al-Quran Malaysia, ia tidak saja menawarkan program pensijilan dan diploma saja malah bakal menawarkan diploma lanjutan, ijazah dan ijazah lanjutan.

Permulaan kepada langkah itu sudah pun berjalan. Pengambilan pelajar terbaik dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) mengikuti kursus persijilan al-Quran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kerjasama Jakim dan JPA adalah suatu usaha baik ke arah cita-cita besar menggerakkan proses integrasi dan Islamisasi ilmu di Malaysia. Pelajar lulusan persijilan ini disalurkan ke Kulliyyah Perubatan, Farmasi, Sains, Kejuruteraan, Ekonomi, Ilmu Wahyu dan Kemanusiaan dan lain-lain bakal tampil dalam sistem dengan kemampuan dan watak berbeza. Tetapi pelajar ini memerlukan perhatian dan tumpuan UIAM supaya tidak sahaja mereka ini huffaz tetapi pada masa sama penguasaan bahasa Arab dan asas tafsir, usuluddin, syariah dan fikah perlu diberi supaya menjadi landasan untuk peningkatan masa depan.

Bayangkan sebahagian dari me­reka yang terbaik dipilih sebagai calon pensyarah untuk melanjutkan pengajian ke tahap tinggi, mereka adalah calon terbaik untuk membawa perubahan di Jamiah al-Quran Malaysia mahupun UIAM. Kalau ini dapat dilakukan, proses integrasi dan Islamisasi ilmu dapat berjalan dengan baik.

Binaan pendidikan integratif ini harus bermula dengan binaan kurikulumnya. Kurikulum integra­tif memerlukan olahan para pendidik dan pensyarah yang memiliki peribadi holistik. Islam bukan sekadar agama rohaniah tetapi kekuatan rohaniah kelihatan terpancar dalam watak dan diri.

Cita-cita di atas adalah cita-cita besar. Langkah bermula sudah ki­ta garap.

Olahannya perlu bijaksana dan tidak gopoh. Perubahan adalah suatu proses. Ia menuntut jiwa-ji­wa besar yang gigih dan ikhlas ke­rana membangunkan generasi Qurani di tengah-tengah gelombang globalisasi tidaklah mudah. Tetapi kalau kita memiliki tekad tinggi dengan perancangan betul, ia bukan mustahil berlaku. Moga-moga Allah memberikan kita kekuatan untuk terus berusaha tanpa rasa lelah kerana apa yang kita lakukan hari ini adalah untuk kebaikan ge­nerasi hari depan.

Wallahu a’lam.

DATUK DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).