Ketika menyentuh soal pembelajaran, kami sedar bahawa anak-anak sekarang perlu melalui satu sistem pendidikan yang sukatan pelajarannya lebih tinggi daripada sistem lama selain perlu berhadapan dengan soalan-soalan peperiksaan berasaskan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Bagaimanapun cabaran itu boleh diatasi asalkan anak-anak ini berusaha lebih keras untuk berjaya manakala guru-guru pula perlu lebih kreatif termasuk menggunakan bahan-bahan luar selain buku teks antaranya keratan akhbar.

Melalui cara ini pelajar-pelajar kita akan sentiasa mengikuti perkembangan semasa dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, sosial dan kepenggunaan sekali gus mampu membantu mereka menjawab soalan-soalan peperiksaan awam dengan baik.

Bagi kami, apa yang lebih membimbangkan adalah ancaman Syiah dan Daesh terhadap anak-anak ini khususnya golongan remaja. Hakikatnya, golongan ini mudah dipengaruhi lebih-lebih lagi pihak yang mendekati mereka itu mempunyai daya tarikan tertentu.

Sebagai contoh, Syiah. Fahaman ini terus menjadi ikutan segelintir umat Islam di negara ini meskipun kerajaan melalui pihak berkuasa agama negeri-negeri telah bertindak menyerbu markas-markas Syiah dan kemudian mengambil tindakan undang-undang terhadap semua pengikutnya.

Tindakan ini bertujuan menyekat fahaman Syiah yang jelas bertentangan dengan mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah daripada terus menular mempengaruhi orang Islam lain.

Untuk pengetahuan, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dalam satu sidang pada 5 Mei 1996 menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pega­ngan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak. Sebahagian besar negeri telah mewartakan fatwa tersebut bagi tujuan penguatkuasaan.

Berbalik kepada isu Syiah ini, ada satu isu yang seolah-olahnya kita terlepas pandang atau memang tidak tahu. Isunya adalah pelantikan tenaga akademik berfahaman Syiah di universiti awam. Perkara ini diberitahu sendiri oleh rakan pensyarah penulis.

Menurutnya, pihak universiti berkenaan khususnya institut yang membawa masuk tenaga akademik tersebut seolah-olah tidak mengetahui statusnya sedangkan dia tanpa berselindung mengaku berfahaman Syiah.

Persoalannya, mengapa keadaan seperti itu boleh berlaku sedangkan implikasinya amat besar kerana melibatkan soal akidah umat Islam. Bayangkan jika dia mengajar 100 orang pelajar dalam kuliah, pada masa sama berusaha mempengaruhi pelajar-pelajarnya dengan fahamannya itu.

Tidak mustahil dalam 100 orang pelajar berkenaan, kemungkinan ada yang terpengaruh. Sepatutnya pihak universiti perlu lebih peka dengan tidak melantik pensyarah atau felo berfahaman Syiah sebagai tenaga akademik mereka.

Begitu juga dengan pelantikan pensyarah-pensyarah asing untuk berkhidmat sama ada di universiti awam mahupun swasta. Perlu dipastikan mereka ini berfahaman Sunni dan bukannya Syiah.

Sehubungan itu, penulis ingin mencadangkan supaya semua universiti awam mempunyai satu panel khas yang turut dianggotai oleh wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memastikan setiap pensyarah yang dilantik sama ada rakyat tempatan mahupun rakyat asing bukan yang berfahaman Syiah atau apa-apa fahaman yang bertentangan dengan Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Satu lagi kebimbangan adalah tentang pengaruh Daesh yang seperti tiada kesudahan. Kes membabitkan bekas seorang pelajar sarjana, Siti Noor Aishah Atam, 30, sebelum ini harus membuka mata semua pihak bahawa pelajar aliran agama sekali pun tidak terlepas daripada turut terpengaruh dengan gerakan militan ini.

Justeru, setiap ibu bapa perlu sentiasa memerhatikan anak-anak mereka. Sekiranya terlibat, ibu bapa atau ahli keluarga perlu melaporkan segera kepada pihak polis supaya anak-anak ini segera diselamatkan daripada terus terjerumus dalam aktiviti militan ini.