Salah satu yang paling berharga yang hinggap di benak fikiran abang hensem adalah apa sahaja yang dulu tak boleh, kini boleh. Luar biasa!

Bukan saja dalam merubah secara drastik senario politik tanah air, dalam hal-hal lain pun. Kalau dalam bab filem, jika dulu-dulu yang ditayangkan paling boleh pergi pun setakat RM12 atau RM13 juta kutipan tiket. Sekarang? Wah! mencanak-canak satu dua filem tu sampai nak pergi ke RM40 juta.

Kadang-kala bila duduk bersendirian, abang hensem insaf dengan apa yang terjadi. Cuma abang hensem perhatikan, anak-anak muda masih boleh mainkan peranan lebih lagi dalam politik. Jadilah pemain. Maksud abang hensem, selain pengundi, anak-anak muda agresiflah sebagai pemainnya.

Bukankah kata-kata bijak pandai berbunyi, “setiap manusia ada masanya”? Maka yakinlah jika terus konsisten berjuang, masa itu akan datang. Anak muda akan mendapat gelanggang juga sebagai wakil rakyat.

Cumanya, berpolitik harus dilakukan dengan jujur. Wajah parti yang masih bopeng-bopeng di mata anak muda masih boleh diperbaiki demi kelangsungan demokrasi ke depan.

Cubalah anak muda layari sebentar sejarah lalu. Keterlibatan anak muda dalam politik bukan benda baharu.

Ketika gerakan nasionalisme di Asia Tenggara sedang memuncak pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, anak muda giat memainkan peranan langsung. Contohnya di Filipina, Andres Bonifacio dan Emilio Jacinto hanya berusia 20-an ketika mengasaskan gerakan nasionalis Katipunan yang melawan penjajah Sepanyol. Rakan seperjua­ngan mereka dan seorang wanita, Gregoria de Jesus, hanya berusia 21 tahun ketika menyertai gerakan itu pada 1896.

Emilio Aguinaldo pula berusia 29 tahun apabila bendera Republik Filipina dikibarkan buat julung kali pada 1898 dan beliau diangkat menjadi presiden pertama negara tersebut. Tokoh nasionalis terkemuka Filipina, José Rizal pula mengarang bukunya yang sangat berpengaruh, Noli Me Tangere (1887) ketika berusia 25 tahun.

Di Burma, gerakan nasionalismenya juga diterajui pada awalnya oleh organisasi anak muda. Antara individu pen­ting ketika itu adalah Aung San, tokoh nasionalis Burma. Pada 1938, beliau meninggalkan kampus dan menyertai politik ketika berusia 23 tahun dan menjadi presiden parti Anti-Fascist People’s Freedom League pada 1946. Beliau kemudian mengetuai rundingan dengan pihak British dan berjaya menandatangani perjanjian yang menjaminkan kemerdekaan Burma. Malangnya, sebelum sempat melihat hasil usahanya, beliau dibunuh pada 1947 ketika berusia 32 tahun.

Di negara ini, peranan anak muda dalam gerakan nasionalisme Melayu di peringkat kebangsaan juga terserlah. Sebagai contoh, Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang merupakan gerakan politik kebangsaan yang pertama di negara kita telah diasaskan oleh Ibrahim Yaacob dan Ishak Haji Muhammad yang masing-masing berusia hanya 27 tahun dan 29 tahun pada tahun 1938. Komposisi pengge­rak KMM juga terdiri daripada golongan anak muda seperti pelajar Maktab Perguruan Sultan Idris, Kolej Pertanian, Sekolah Teknik Kuala Lumpur, wartawan dan siswazah. Walaupun akhirnya disekat dan ditindas oleh penjajah British, sumbangan KMM terhadap kesedaran nasiona­lisme di peringkat kebangsaan tidak boleh dinafikan.

Abang hensem akui proses pertumbuhan semula (regeneration) berlaku agak perlahan dalam parti-parti politik yang dipenuhi oleh golongan tua.

Malah, ada anak muda sukar mendaki hierarki dalam parti politik kerana elit-elit lama yang sangat sukar untuk melepaskan jawatan mereka. Trend ini amat malang sekali dan sebenarnya bercanggah dengan perkembangan di serata dunia, khususnya di Eropah dengan penglibatan anak muda dalam arus perdana politik makin rancak.

Pada 2010 di United Kingdom, umpamanya, tiga orang yang berusia awal 40-an telah berjaya dipilih sebagai perdana menteri, timbalan perdana menteri dan ketua pembangkang. Sweden mempunyai beberapa menteri yang dilantik pada usia 20-an sementara menteri luar negeri Austria berusia hanya 30 tahun pada 2017 (beliau dilantik pada tahun 2013 ketika berusia 27 tahun).

Jika di era baharu ini abang hensem boleh ambil Emmanuel Macron yang menjadi presiden termuda Perancis di usia 39 tahun sebagai contoh ikon anak muda selain Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau (43 tahun).

Kisah-kisah lepas pula menyaksikan Jean-Claude Duvalier menjadi Presiden Haiti pada usia 19 tahun; Muammar Al Gaddafi, pemimpin Revolusi Libya (27), Kim Jong-un, pemimpin tertinggi Korea Utara (28) serta Milo Dukanovic, Perdana Menteri Montenegro (29).

Tidak terkecuali, Shamma Bint Suhail Faris Al Mazrui yang menyandang jawatan sebagai Menteri Negara Emiriyah Arab Bersatu (UAE) bagi Ehwal Belia pada umurnya 22 tahun.

Apa kata anak muda di Malaysia?