Malah Manifesto Pakatan Harapan yang dikeluarkan khas untuk kaum India didapati meniru (copy cat) apa yang terkandung dalam Malaysian Indian Blue Print yang dilancarkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) tahun lalu.

Malaysian Indian Blue Print yang diumumkan oleh BN didapati lebih baik, menyeluruh dan membawa harapan malah menjamin masa depan yang lebih cemerlang kepada kaum India.

Dalam pada itu sebahagian besar janji politik yang terkandung dalam manifesto Gabungan Pembangkang PKR didapati dikitar semula daripada manifesto Pakatan Rakyat atau Buku Jingga yang dijanjikan PRU-13.

Kebanyakan janji yang terkan­dung dalam Buku Jingga terbukti janji kosong kerana janji-janji tersebut tidak ditepati oleh Kerajaan Pakatan Rakyat yang mentadbir Pulau Pinang dan Selangor.

Namun, janji menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah janji baharu yang memerlukan penelitian rapi oleh rakyat khususnya pengundi India.

GST adalah satu bentuk cukai yang diamalkan oleh 85 peratus negara dalam dunia (lebih 160 negara). Malah India juga melaksanakan GST sejak tahun lalu.

GST di Malaysia bukanlah cukai tambahan seperti didakwa oleh pembangkang tetapi menggantikan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diamalkan di Malaysia sejak 1970-an. Meskipun kebanyakan negara termasuk negara ASEAN, Asia Barat dan Eropah menetapkan kadar GST pada tujuh hingga 27 peratus, Malaysia menetapkan kadar GST pada enam peratus.

Jadi, kadar GST di Malaysia bukan sahaja lebih rendah daripada kebanyakan negara malah lebih rendah daripada cukai SST yang dikenakan kepada rakyat Malaysia sebelum GST dilaksanakan pada 2015.

Kadar SST adalah 16 peratus ter­masuk cukai jualan 10 peratus dan cukai perkhidmatan enam peratus. Pengguna membayar cukai SST pada kadar 16 peratus sebelum GST dilaksanakan tanpa disedari kerana ia dimasukkan dalam harga barangan.

Meskipun pembangkang men­dakwa harga barang-barang naik kerana GST, pelaksanaan cukai itu seharusnya mengurangkan harga barang dalam pasaran kerana pihak pengeluar barang-barang boleh tuntut balik cukai yang dibayar daripada kerajaan.

Selain itu, kerajaan juga telah mengecualikan GST ke atas lebih daripada 578 barangan keperluan asas. Misalnya, beras, ayam, telur, ikan, sayur, roti, buah-buahan, petrol, surat khabar dan ubat-ubatan tidak dikenakan GST.

Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang bersidang baru-baru ini mendedahkan bahawa kenaikan harga barang dalam pasaran bukan disebabkan oleh pelaksa­naan GST tetapi lebih kepada faktor ekonomi lain seperti faktor peningkatan kos pengeluaran, kekurangan barangan berbanding dengan permintaan dan kemerosotan nilai ringgit dalam pasaran dunia.

Malah kadar inflasi semasa yang rendah iaitu antara dua hingga tiga peratus jelas membuktikan bahawa kuasa beli rak­yat Malaysia adalah munasabah dan lebih baik berbanding negara-negara lain.

Jadi, sekiranya GST, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), tol dan duti cukai dimansuhkan se­perti dijanjikan dalam manifesto pembangkang, rakyat Malaysia terpaksa menanggung kehilangan hasil lebih kurang sejumlah RM416.6 bilion.

Ini bermakna, sekiranya Pakatan Harapan menang dan membentuk kerajaan selepas PRU-14, rakyat bukan sahaja terpaksa menanggung bebanan lebih dari RM15,000 seorang, malah rakyat terpaksa menghadapi masalah kenaikan harga barangan keperluan asas kerana hilang kemudahan subsidi yang disediakan kerajaan.

Misalnya, pada masa sekarang kerajaan BN mengagihkan RM6.8 bilion sebagai BRIM, RM3.9 bi­lion sebagai subsidi barangan dan pengangkutan seperti tol, gas masak,tepung, minyak masak dan elektrik serta RM26.5 bilion untuk perkhidmatan kesihatan seperti penyediaan ubat-ubatan.

Meskipun kaum India didapati mempunyai persepsi yang berbeza-beza terhadap pelaksa­naan GST, mereka menzahirkan pendapat bahawa janji menghapuskan GST dalam manifesto Pakatan Harapan lebih merupakan satu muslihat untuk memancing undi India.

DATUK M. PERIASAMY ialah Penganalisis Politik yang juga Pensyarah Komunikasi Strategik IPPTAR, Felo Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Komunikasi dan Multimedia.