Melihat begitu ramai yang suka menayang gambar makanan yang nampak sedap dan tentu mahal kalau lokasinya di hotel dan restoran mewah dalam laman sosial, pernah terfikir tak berapa ramai pula agaknya rakyat negara ini yang susah untuk membeli beras? Hendak beli nasi bungkus pun berkira-kira, terpaksa kira lepas tak minyak motor atau kereta hari ini?

Kepada yang tidak tahu, sebab dari kecil memang dah biasa sarapan minum jus oren, jus epal, makan roti, keju dan croissant bagai, bukan semua rakyat negara ini mampu makan mahal-mahal dan ada yang nak beli nasi pun susah.

Dan hakikatnya juga, yang kerap sangat memuat naik gambar makanan dalam Instagram dan Facebook itu pun, ramai yang pada hujung bulan terpaksa meminjam duit kawan-kawan.

Cuba tanya kawan-kawan yang rapat dengan kita terutamanya pada hujung bulan, tanyalah orang yang diam-diam ni, yang tak banyak mengeluh tetapi sebenarnya bergelut untuk hidup, dah makan ke belum? Soalan seperti ini pasti menyentak hati mereka.

Ada yang sudah biasa makan nasi dengan kicap atau telur. Ada yang beli sekeping roti canai saja untuk makan pada hari itu dan ada setakat minum air kosong untuk hilangkan rasa lapar. Ini semua bukan cerita tipu. Tapi biasalah, cerita tipu juga yang ramai orang suka percaya, lepas itu kena tipulah beramai-ramai.

Ramai yang susah dalam diam. Jangan terkejut, orang yang gaya macam orang senang, tapi sebenarnya perut berbunyi menahan lapar. Ini terutamanya yang hidup di bandar. Mereka ini tergolong dalam kelompok miskin bandar.

Dan baru-baru ini, apabila dua warga emas maut kerana berebut kupon makan di Plaza Pudu ICC di ibu kota, kejadian ini adalah tragedi amat menyedihkan kepada negara ini.

Sepatutnya, penganjur saring dan beri sajalah makanan kepada orang yang benar-benar memerlukan. Hendak bagi, bagilah betul-betul. Kenapa cari cara yang menyusahkan warga emas?

Kita pun tidak tahu berapa ramai yang berebut-rebut itu memang orang susah sebab sudah jadi kebiasaan rakyat di negara ini tidak mengira bangsa memang suka berebut-rebut hendak dapat barangan atau makanan percuma walaupun mampu dan tak memerlukan pun. Ada yang lepas dapat, buang begitu saja. Buruk perangai!

Dalam kita kata negara ini makmur dan maju, ramai warga emas masih terkapai-kapai mencari makan sendiri dengan kudrat yang tak seberapa. Ada masih bekerja jadi pengawal keselamatan, membersihkan bangunan, mengambil upah mengemas rumah, menjual makanan di tepi jalan dan macam-macam lagi.

Jangan tanyalah mana anak-anak atau saudara mara mereka. Semua itu pun mungkin bergelut mencari duit dan tergolong dalam miskin bandar. Kita pun tak boleh menyalahkan mereka sepenuhnya.

Jadi isu yang patut dibincangkan lebih meluas dan dicari pendekatan menanganinya oleh pemimpin-pemimpin negara dan masyarakat adalah berkenaan miskin bandar.

Bila isu ini mahu dilihat secara serius? Bukan heboh-heboh sekejap lepas itu pakat diam. Dulu gaji RM3,000 -RM4,000 masih selesa hidup di bandar. Sekarang tidak begitu. Kos sara hidup mana pernah turun. Kenapa harga barangan terus naik dan tak turun bila harga minyak turun? Harga rumah pula terus mencanak naik begitu juga sewa rumah dalam bandar.

Bukan cerita hal remeh temeh yang jika tak dilaksanakan pun tak jadi hal kepada rakyat. Soal perut kena jaga. Ada orang bila perut dia kosong, dia jadi pemarah dan boleh mengamuk! Jangan main-main.