Restoran ini juga paling `popular’ dan menjadi sebutan ramai dalam media cetak, elektronik dan media sosial. Ada sahaja `isu’ yang terkait dengannya sama ada secara sengaja atau tidak. Baru-baru ini muncul isu larangan merokok, isu kebersihan, halal-haram, pekerja asing dan lain-lain. Semua ini mewarnai populariti restoran 24 jam `siang malam’ ini.

Isu larangan merokok yang panas seketika sejak bermula penguatkuasaan larangan merokok dalam premis restoran 1 Januari lalu sebagai contoh sudah mula reda. Tidak kedengaran lagi cerita si perokok degil bising-bising di situ kerana masing-masing sudah dapat menerima kenyataan bahawa merokok dalam restoran tidak lagi dibenarkan. Ketika isu ini mula tenggelam, timbul pula satu isu lain iaitu soal kebersihan dan status halal restoran mamak walaupun itu bukan perkara baharu.

Sekali lagi media sosial dengan kuasa tular yang ada padanya menjadikan isu ini `diziarahi’ semula. Maka bertebaranlah cerita dan rakaman video yang ada kaitan dengan isu tersebut.

Penulis juga menerima banyak rakaman sedemikian yang dipercayai video lama dan dikitar semula. Antaranya rakaman seorang pekerja restoran mamak sedang asyik `menggali’ lubang hidung dan telinganya, kerja-kerja menguli tepung yang sampai ke pangkal lengan serta meja dilap menggunakan mop lantai.

Selain itu macam-macam gambar yang ada kaitan dengan isu kekotoran restoran turut tersebar. Entah bila gambar-gambar tersebut diambil tidak pasti. Ada yang kata itu foto lama yang diulang putar. Antaranya, gambar sudu garfu yang sudah dibasuh dilonggok di atas jalan, gambar close up luka di bahagian tangan seorang penguli capati yang menjijikkan selain kerja-kerja menyiang biawak di belakang sebuah restoran.

Baru-baru ini muncul pula isu halal-haram, termasuk perbuatan menggantung ayat suci al-Quran serta objek-objek pelik seperti tangkal atau azimat di sudut-sudut tertentu restoran sebagai ‘ayat pelaris’. Gambar dan rakaman itu mungkin ditular kembali bagi `disesuaikan’ dengan beberapa operasi pemeriksaan kebersihan oleh agensi penguatkuasaan yang kebetulan diadakan secara berkala.

Walaupun gambar dan video itu mungkin sudah lama berlaku, tetapi apabila dikitar semula sudah tentu berjaya mencetuskan pelbagai syak wasangka para pelanggan terhadap satu-satu restoran itu apatah lagi jika restoran tersebut terkenal dan menjadi tumpuan ramai. Bukan tidak ada restoran di hotel bertaraf lima bintang atau restoran tom yam lain yang dikenakan tindakan yang serupa tetapi impaknya tidak sama. Para pelanggan khususnya orang Islam sudah tentu merasa bimbang dan curiga apabila isu ini didedahkan. Mereka mungkin boleh sedikit berkompromi jika melibatkan soal kebersihan tetapi tidak soal halal haram.

Kebimbangan tersebut menjadi kenyataan apabila baru-baru ini beberapa agensi penguatkuasaan yang menjalankan operasi ke atas premis-premis sedemikian mendedahkan terdapat segelintir restoran sedemikian menyalahgunakan logo halal serta ayat-ayat al-Quran. Ada restoran yang dimiliki oleh orang bukan Islam dan majoriti pekerja bukan Islam tetapi menggunakan logo halal. Ada yang sudah dikenakan tindakan arahan ditutup bagi tempoh tertentu dan menurunkan logo halal serta surah al-Quran masing-masing.

Dalam isu kebersihan dan halal-haram sesebuah restoran, orang ramai atau pelanggan tidak akan berdiam diri lebih-lebih dalam era teknologi maklumat yang serba canggih ini. Mereka boleh memainkan peranan dalam membantu agensi penguat kuasa menggunakan platform media sosial sebagaimana yang berlaku sekarang. Sekiranya ada perbuatan atau tindakan serta unsur-unsur yang mencurigakan, media sosial boleh menjadi medium paling pantas untuk melaporkan kepada pihak berkuasa atau agensi-agensi berkenaan. Walaupun begitu, jangan sesekali mengambil pendekatan menularkan apa yang tidak sahih kerana kesannya besar terutama kepada pemilik restoran terlibat apatah lagi kalau ia berunsur fitnah. Biarlah pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan.

Seperkara yang menarik tentang restoran mamak ini ialah walau apapun isu dan tindakan serta gambaran negatif yang dilihat membawa kepada `kerosakan’ yang agak besar, umur dan kelangsungan hidupnya tetap panjang dan bertahan. Keadaan ini berkait rapat dengan sikap para pelanggan yang tidak putus-putus menyokong walau dalam apa juga keadaan.

Walau berdentam-dentum bercakap tentang restoran itu kotorlah, tidak halallah, pekerja berpenyakitlah, pergi tetap pergi. Kemarahan dan rasa geli-geleman itu boleh bertahan paling lama pun seminggu iaitu ketika restoran ditutup kerana dikenakan tindakan penguatkuasaan. Lepas dibuka semula, macam biasa maka berpusu-pusulah balik. Rindu nasi kandarlah, ayam bawanglah, daging masak hitamlah, nasi daun pisanglah!. Justeru tidak hairan masih ada yang begitu berselera menghadap nasi kandar atau mencicip teh tarik ketika tikus sebesar anak kucing lalu-lalang atau berlari-lari anak di hadapan mereka! Itulah rakyat Malaysia yang sangat unik. Segala perkara yang buruk-buruk sebelum ini mudah dilupakan dan dimaafi.