Kalam sendiri pada satu masa dahulu iaitu ketika masih bersekolah pernah membantu ayah mengutip sekerap. Ayah mula menoreh getah selepas bersara daripada perkhidmatan tentera. Ketika itu umur ayah masih muda, dalam sekitar 41 tahun dan Kalam sendiri berumur 13 tahun. Dengan duit pencen dan duit jual getah itulah Kalam empat beradik dibesarkan.

Harga getah pada masa itu antara 70 sen hingga RM1 sekilogram. Sungguhpun harga getah rendah, harga barang-barang keperluan masih murah berbanding sekarang. Jadi, kehidupan penoreh getah pada masa itu tidaklah begitu terbeban.

Ini senario yang berlaku kira-kira 30 tahun lalu. Sungguhpun begitu tidak dinafikan penoreh pernah hidup selesa bermula dalam tempoh beberapa tahun iaitu apabila berlaku kenaikan harga komoditi itu sehingga mencecah RM7 sekilogram.

Namun disebabkan penentuan harga getah berdasarkan pasaran semasa, harganya mula turun sehinggalah hari ini. Untuk rekod harga getah sekilogram pada masa ini sekitar RM1.60 sehingga RM2.40, bergantung kepada kawasan.

Bayangkan dengan harga yang begitu rendah, apa yang penoreh getah boleh harapkan lebih-lebih lagi di saat-saat mereka memerlukan wang tambahan untuk perbelanjaan sekolah anak-anak tahun depan.

Ketika Kalam menziarahi ayah dan emak di kampung baru-baru ini, ayah beritahu kehidupan orang kampung ketika ini agak tertekan. Pendapatan mereka sebagai penoreh getah susut berganda-ganda kerana harga getah jatuh merudum.

Mana hendak belanja anak hendak sekolah lagi, belanja harian, belanja anak di universiti, bil-bil dan macam-macam lagi. Yalah, daripada mendapat ribu-ribu sebulan sudah menjadi ratus-ratus.

Utusan Malaysia sendiri sebelum ini pernah menyiarkan keluhan seorang penoreh getah dari Johol, Hairul Azri Md. Diah, 36, yang menyatakan pendapatannya ketika ini adalah antara RM450 hingga RM600 sebulan berbanding RM2,000 (2017) dan RM4,000 (2016).

Tidak dapat Kalam bayangkan bagaimana Azri menyusun perbelanjaan khusus untuk keluarganya apabila pendapatannya berkurangan 60 peratus hingga 70 peratus. Apatah lagi dalam keadaan semua barang khususnya barangan keperluan dan makanan mahal.

Difahamkan nasib peneroka sawit juga serupa. Pak cik Ka­lam, seorang peneroka memberitahu, kalau dahulu senang-senang dapat RM3,000 hingga RM4,000 sebulan tetapi sekarang hendak dapat RM1,000 sebulan pun susah.

Silap-silap RM300 hingga RM500 sebulan. Biasanya itulah angka pendapatan peneroka sawit ketika ini. Bagi Kalam kerajaan perlu berbuat sesuatu bagi membantu penoreh getah dan pengusaha sawit di negara ini. Tidak terkecuali golongan nelayan.

Kepada Menteri Industri Utama, Teresa Kok dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, tolonglah buat sesuatu untuk bantu mereka. Kepada Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila membangkit isu berkenaan dalam sidang Dewan Rakyat, baru-baru ini, Kalam ucapkan syukran dan terima kasih

Hasilnya, Kalam difahamkan kerajaan bersetuju mempertimbangkan peruntukan tambahan kepada golongan terbabit. Harapan Kalam, tolonglah luluskan dan tolong laksanakan segera kerana kehidupan mereka semakin terhimpit.

Ini soal kelangsungan hidup rakyat yang tiada kena me­ngena dengan ideologi politik sebaliknya melibatkan soal kemanusiaan, janji, moral dan amanah. Renung-renungkanlah.