Baginda sanggup meredah air banjir, memanjat trak tentera dan menaiki bot untuk bertemu sendiri dengan mangsa musibah itu bagi menghulurkan bantuan serta bertanya khabar. Baginda juga pasti turun padang mencemar duli memasak untuk mereka setiap kali banjir melanda.

Tunku Azizah dilihat menitis air mata ketika berkongsi perasaan sedih bersama ibu salah seorang kanak-kanak lemas di kolam takungan bauksit ketika mencemar duli melawat keluarga mangsa di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, awal Februari lalu.

Kasih sayang dan keikhlasan baginda terhadap rakyat cukup menyentuh perasaan.

Wartawan Mingguan Malaysia, ZAMZURINA AHMAD berpeluang menyelami apa yang tersirat dalam minda dan sanubari Tunku Azizah pada pertemuan di Istana Abdul Aziz, Indera Mahkota, Kuantan baru-baru ini.

MINGGUAN: Sebagai Tunku Puan Pahang, iaitu kedudukan tinggi dalam masyarakat di Pahang, Tuanku dilihat mengetepikan protokol ketika turun padang mencemar duli untuk menjenguk rakyat. Mengapakah Tuanku memilih pendekatan sedemikian?

TUNKU AZIZAH: Dengan kedudukan tersebut memberi peluang dan ruang kepada saya untuk membantu rakyat. ‘The position gives me power to deliver’. Sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai manusia, tanpa mengira darjat dan kedudukan untuk terus membantu sesiapa sahaja yang memerlukannya. Alhamdulillah, Allah SWT telah mengurniakan saya kedudukan yang sangat baik, mudah untuk saya memberi bantuan. Satu lagi, saya sebenarnya kurang selesa jika dikatakan sebagai ‘Puteri Berjiwa Rakyat’.

Ini kerana saya salah seorang daripada 1.6 juta rakyat Pahang. Suami saya adalah Pemangku Raja (Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah) yang amat dihormati dan disanjungi rakyat, bukan orang lain tetapi diri saya sendiri. Maka, saya sekeluarga adalah sebahagian daripada mereka (rakyat Pahang). Kami bekerja untuk mereka dan sedaya upaya berusaha memastikan rakyat Pahang mendapat layanan seadil-adilnya.

Tidakkah terlintas di fikiran Tuanku soal keselamatan diri apabila bersama-sama turun padang menghulurkan bantuan terutama di kawasan berisiko. Seperti kejadian banjir baru-baru ini Tuanku menaiki bot dan trak tentera meredah air untuk melawat mangsa banjir.

TUNKU AZIZAH: Tidak pernah terlintas langsung ada risiko dan tidak juga berasa takut kerana anggota keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sentiasa bersama saya. Saya yakin mereka cukup terlatih.

Saya akui keselamatan adalah perkara penting yang perlu diberikan keutamaan. Bagaimanapun, dalam keadaan tertentu seperti dalam kejadian banjir yang mana rakyat memerlukan bantuan, kita perlu berani mengambil risiko tetapi dengan persiapan rapi. Satu lagi faktor mungkin juga saya seorang yang lasak dan lebih mengutamakan keselamatan orang lain berbanding diri sendiri.

Tuanku selalu juga dilihat ketawa dan menangis bersama rakyat. Sentiasa bersama rakyat terutama apabila mereka ditimpa musibah?

TUNKU AZIZAH: Saya selesa dan senang setiap kali bersama mereka. Saya dapat merasai susah dan senang yang mereka lalui. Tidak ada apa yang lebih utama dalam fikiran saya, selain ingin melihat mereka selesa dan tersenyum walau dalam apa juga keadaan. Jika saya boleh beri mereka kekuatan, itulah yang saya akan lakukan kerana mereka adalah sebahagian daripada institusi yang saya duduki.

Bagaimana perasaan Tuanku ketika bersama keluarga tiga kanak-kanak mati lemas di takungan bauksit khususnya semasa duduk bersama ibu mangsa di HTAA baru-baru ini?

TUNKU AZIZAH: Sebagai seorang ibu apatah lagi saya mengambil masa hampir 10 tahun sebelum dikurniakan seorang anak. Mereka adalah jiwa dan hidup saya. Pastinya saya berasa amat sedih atas apa yang berlaku. Jika perkara ini berlaku kepada saya, mungkin saya boleh jadi gila. Anak adalah segala-galanya bagi saya. Peristiwa itu menjadi pengajaran penting kepada kita agar sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan orang lain. Saya berdoa agar keluarga mangsa diberikan kekuatan untuk berdepan kehilangan tersebut.

Apakah yang mendorong Tuanku mencemar duli memasak di pusat pemindahan sementara setiap kali berlaku banjir? Tuanku dilihat cukup bertenaga setiap kali memasak dalam kuantiti yang banyak dan mengunjungi satu persatu pusat pemindahan sementara di Pahang.

TUNKU AZIZAH: Memasak bukan sekadar hobi, ia adalah kehidupan saya. Saya memasak untuk keluarga saya, untuk tetamu, saya fikir kelebihan yang ada ini apa salahnya jika saya gunakan ketika rakyat negeri Pahang dalam musibah. Saya dapat rasakan mereka gembira bila dapat menikmati hasil air tangan saya dan saya amat gembira dapat membuatkan mereka gembira serta ceria.

Bagaimana pula pendekatan yang Tuanku gunakan sehingga anakanda (Yang Mulia Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Yang Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah) dilihat bersama-sama Tuanku turun membantu rakyat. Contohnya memasak di pusat pemindahan sementara ketika banjir?

TUNKU AZIZAH: Sebagai ibu kepada enam cahaya mata, saya juga sentiasa inginkan anak-anak menjadi contoh yang terbaik kepada anak-anak orang lain. Sejak kecil mereka saya didik untuk tahu menghormati orang lain dan membantu orang dalam kesusahan. Mereka juga saya didik untuk melakukan kerja-kerja di rumah dan di dapur. Jadi, mereka tidak ada masalah dan tidak kekok untuk turut bersama saya ketika membantu mangsa banjir.

Ketika rakyat Pahang ditimpa musibah sama ada banjir atau apa sahaja bencana seperti kebakaran, anakanda saya tidak perlu disuruh (turun padang). Jika ketiadaan Tengku Mahkota sekalipun, saya atau anak-anak bergerak sendiri untuk melihat dan memastikan bantuan disalurkan dengan cepat.

Jika saya atau anakanda (Yang Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Tengku Hasanal) mencemar duli, saya yakin agensi kerajaan terlibat turut serta dan keadaan ini akan mempercepatkan bantuan kepada mangsa.

Apakah harapan Tuanku pada rakyat di negeri ini. Secara peribadi, apakah yang Tuanku mahu zahirkan kepada masyarakat tentang peranan institusi diraja?

TUNKU AZIZAH: Pahang adalah negeri saya, walaupun saya dilahirkan di Johor tetapi hati dan jiwa raga saya sudah saya serahkan sepenuhnya kepada negeri ini. Tentu sekali saya ingin melihat Pahang terus maju dan makmur. Saya ingin melihat seluruh anak Pahang mendapat pendidikan yang baik kerana hanya dengan pendidikan yang boleh mengubah kehidupan kita. Pahang bertuah kerana Pemangku Raja Pahang amat menitikberatkan soal pendidikan.

Jadi saya fikir seluruh rakyat Pahang tidak mengira kaum dan agama perlu sentiasa berfikiran ke hadapan dan mengambil peluang yang ada untuk memajukan diri. Suka juga saya katakan, saya bertuah kerana memiliki seorang ayahanda yang tegas dan amat menitikberatkan soal menghormati orang lain.

Kita perlu mencontohi sifat padi, ‘makin berisi makin tunduk’. Itulah antara pesanan ayahanda saya yang masih ingat dan pegang sehingga hari ini. Setelah saya berkahwin dan tinggal di Pahang, suami saya, Pemangku Raja Pahang banyak mengajar saya cara melayan orang ramai dan memberi saya banyak ruang untuk membantu rakyat yang memerlukan. Jadi, boleh katakan diri saya bertuah kerana mempunyai seorang ayah dan seorang suami yang sentiasa memberi tunjuk ajar dan teladan yang baik untuk menjadikan saya seperti hari ini. Yang paling penting, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana saya dapat berkhidmat untuk Pahang Darul Makmur yang amat saya cintai ini.