Menurut koordinator aksi lagak ngeri dan juga Presiden Persatuan Profesional Pekerja Filem Malaysia (Profima), usaha tersebut adalah untuk menjadikan kerjaya pelagak ngeri sebagai satu profesion yang memiliki kepakaran dan pengiktirafan profesional menerusi penubuhan institusi berkenaan.

“Di negara kita belum ada lagi mana-mana institusi yang memberi pendidikan dan latihan secara formal mengenai industri lagak ngeri.

“Jadi, kita mahu menubuhkan sebuah akademi yang dilengkapi pelbagai peralatan dan teknologi dengan dibantu tenaga pengajar dari dalam dan luar bagi melatih pelapis dan bakat-bakat baharu menjadi tenaga mahir yang profesional dalam aksi lagak ngeri.

“Sasaran akan lebih diutamakan kepada remaja yang tercicir serta golongan yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan. Misalnya remaja yang suka merempit di jalan raya, kita akan latih mereka untuk menjadi ‘mat rempit’ profesional atau penunggang lagak ngeri.

“Jadi, khidmat mereka boleh digunakan kalau pengarah filem aksi memerlukan pelagak ngeri berlakon sebagai mat rempit,” katanya.