KEATON SCHUBERT
KEATON SCHUBERT 

Namun jumlah kanak-kanak yang merasakan mereka dilahirkan dengan jantina yang salah atau `gender dysphoria’ semakin meningkat terutama dengan sikap dan minda terbuka tanpa batasan golongan ibu bapa di Britain.

Ibu bapa sanggup menukar jantina anak masing-masing seawal usia 10 tahun dengan menukar nama kanak-kanak terbabit melalui permohonan pertukaran jantina dan meletakkan mereka dalam kelompok transgender dengan bayaran 35 pound (RM188).

Remaja berusia bawah 16 tahun perlu mendapatkan kebenaran ibu bapa untuk menukar nama masing-masing dan hanya dibenarkan untuk menjalani pembedahan jantina pada usia 18 tahun.

Berdasarkan laporan pusat Perkhidmatan Deed Poll United Kingdom (UK), setiap hari pasti ada seorang remaja menukar nama mereka daripada seorang perempuan kepada lelaki dan sebaliknya.

Menurut pegawai kanan pusat itu, Louise Bowers, jika dahulu pihaknya akan mengeluarkan satu sahaja dokumen pertukaran jantina dalam tempoh beberapa bulan tetapi kini mereka terpaksa mengeluarkan tujuh sehingga 10 dokumen berkenaan dalam tempoh seminggu.

Dahulu, majoriti adalah remaja berusia 14 atau 15 tahun namun kini tahap umur yang terlibat semakin mengecil iaitu sehingga 10 tahun.

Jika dahulu majoriti permohonan melibatkan kanak-kanak yang dilahirkan lelaki tetapi mahu menukar jantina kepada perempuan tetapi sekarang lebih ramai kanak-kanak perempuan yang mahu menukar jantina kepada lelaki.

Antara 2017-2018 jumlah kanak-kanak perempuan yang terpaksa mendapat rawatan klinik pakar Tavistock adalah dua kali ganda daripada kanak-kanak lelaki.

Klinik tersebut yang terletak di Camden, utara London menyediakan khidmat kepakaran kesihatan mental terhadap mereka yang dikenalpasti mempunyai masalah kecelaruan jantina.

Malah lebih 800 kanak-kanak di England termasuk yang berusia 10 tahun diberi ubat penahan hormon yang turut dikenali `puberty-blockers’ bagi membantu mereka menukar gender.

Suntikan hormon untuk menghentikan pertumbuhan organ seks, payu dara, bulu roma badan diberikan setiap bulan bagi memudahkan para doktor untuk melakukan pembedahan jantina pada masa akan datang.

Wajah Keaton Schubert semasa kanak-kanak yang dilahirkan sebagai
Wajah Keaton Schubert semasa kanak-kanak yang dilahirkan sebagai lelaki.

Seorang remaja lelaki Keaton Schubert, 15, mengambil ubat berkenaan sejak berusia 12 tahun dengan izin ibunya, Annemarie malah wanita itu sanggup mengarahkan pihak sekolah agar merujuk Schubert sebagai perempuan (she) bukannya lelaki (he).

“Sekarang saya seorang perempuan dan saya boleh menjadi apa sahaja yang saya mahu,’’ katanya.

Kye MacKin, 17, remaja perempuan yang mahu menjadi lelaki menegaskan, mereka tidak perlu memohon maaf kepada sesiapa kerana mahu menjadi diri mereka sendiri.

“Ibu bapa dan keluarga saya amat menyokong keputusan saya untuk menukar jantina,’’ katanya.

Ketika golongan ibu bapa dan masyarakat terutama pakar perubatan dilihat memberi sokongan padu terhadap golongan kecelaruan jantina ini untuk melakukan pembedahan jantina, seorang pakar psikoterapi, Bob Withers mempunyai pandangan yang amat berbeza.

Beliau yang mempunyai pengalaman sebagai pakar psikoterapi lebih 30 tahun menyifatkan tindakan yang dilakukan oleh ibu bapa dan masyarakat terhadap kanak-kanak ini adalah suatu ‘kebodohan’.

“Apa yang berlaku sekarang sukar dicabar kerana mereka berpegang atas nama hak transgender tetapi dalam tempoh 20 tahun nanti saya percaya kita akan melihat kebodohan yang dilakukan ini sebagai tempoh paling gelap dalam sejarah perubatan moden.’’

“Kita akan mempersoalkan kenapa kita gagal mencabar kepercayaan mereka yang mendakwa dilahirkan dalam tubuh yang salah. Kita akan bertanya kenapa kita tidak peduli bahawa sebenar mereka mempunyai masalah kesihatan mental,’’ katanya.

Tegas beliau, situasi yang berlaku sekarang amat membimbangkan kerana masyarakat kini melahirkan generasi kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan mental yang serius.

“Pembedahan adalah jalan terakhir untuk menyelesaikan masalah ini sebaliknya kita perlu membantu mental mereka untuk menerima tubuh sedia ada sebelum kita mengubah tubuh mereka semata-mata mahu ia bersesuaian dengan mental mereka,’’ tegas beliau.